Saturday, April 29, 2023

Segar Dalam Ingatan...

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.

Masih terngiang-ngiang kata-kata beliau ketika di konsert XPDC di D'va Seri Alam pada tahun 2015 yang lalu, "Kami bukan band yang protokol...semua nak perfect macam nak bertanding juara lagu... kami adalah sebuah band yang penonton boleh enjoy dan bernyanyi sama-sama". 

Dan itulah yang berlaku di dalam setiap konsert XPDC. Beliau dengan auranya yang tersendiri hanya perlu berdiri di atas pentas. Kami penonton akan tolong menyanyi bersama. Rasanya tidak ramai penyanyi yang mempunyai aura sebegitu. Segala kelebihan atau kekurangan diterima seadanya oleh peminat.

Beliau adalah XPDC. Tanpa beliau ianya bukan lagi XPDC. Izo boleh menjadi Kirk Hammett. Zuar adalah Cliff Burton atau pun Jason Newstead...tetapi Mael tidak pernah akan menjadi James Hetfield. Mael akan tetap menjadi Mael!

Terimakasih lagenda. Suara anda adalah soundtrack terindah kehidupan kami.

Thank you for the music


Syed Ismail Syed Ibrahim
7 Mac 1967 - 27 April 2023

"Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" 

 "Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."



Tuesday, April 18, 2023

Rawak - Holy Water

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...


Bad Company - Holy Water (1990)

Bad Company adalah antara pengenalan pertama saya terhadap muzik. Kaset mereka yang bertajuk Run with the Pack (1976) adalah antara kaset terawal yang pernah saya tengok, pegang dan belek ketika saya masih kanak-kanak.

Lagu "Ready for Love" pula adalah mainan halwa telinga ketika zaman sekolah rendah. Ianya antara lagu wajib untuk belajar bermain gitar. Menjelang pertengahan 80an, ketika muzik yang didengar menjadi semakin "extreme", Bad Company tidak pernah lagi di endahkan.

Tetapi pada awal 90an, nama Bad Company secara tiba-tiba kembali menjadi sebutan. Lagu "If You Needed Somebody" menjadi popular dan sering dimainkan di radio. Saya sendiri jatuh suka tetapi tidak pernah mengambil tahu ianya dari album yang mana. Beberapa tahun kemudiannya baru tahu yang penyanyinya adalah Brian Howe bukan lagi Paul Rodgers. 

Pembelian ini adalah semata-mata kerana "If You Needed Somebody". Ianya adalah hard rock dan AOR ala-ala Journey, Foreigner dan band-band penghujung 80an seperti Bad English dan Alias.



Friday, April 14, 2023

Rawak - Trouble Walkin'

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...

Ace Frehley - Trouble Walkin' (1989)

Ada pilihan samada membeli ini atau Frehley's Comet (1987). Tetapi percubaan mendengarnya di spotify akhirnya memilih yang ini. 

Touble Walkin' bersesuaian dengan tahun ianya dikeluarkan mempunyai pengaruh Glam/Hair Metal yang kuat. Ianya lebih berat dari album sebelumnya. Malah Sebastian Bach, Dave Sabo dan Rachel Bolan dari Skid Row turut menjadi penyanyi latar untuk lagu "Back to School"

Dulunya tak mengambil tahu sangat tentang Ace. KISS yang betul-betul saya dengar adalah zaman Mark St. John (Animalize) dan kemudiannya Bruce Kulick. Saya tak merasakan yang Ace adalah shredder. Ketika itu saya lebih gemarkan band-band yang mempunyai gitar shredder. Kemudiannya bila saya mula mengumpul cd-cd KISS baru saya dapat menghargai beliau.

Tak rasa pun yang album ini popular. Tetapi lagu cover dari ELO, "Do Ya" sedap. Dan mungkin juga "Hide Your Heart" versi Ace lebih menarik dari versi Paul Stanley dalam album KISS - Hot In The Shade (1989)...


Monday, April 10, 2023

Carnival of Souls: The Final Sessions

Baru-baru ini ada menonton youtube berkenaan 6 album terlepas pandang yang dikeluarkan pada era grunge oleh band-band hard rock / hair metal. Dan KISS - Carnival Of Souls adalah satu darinya.

KISS - Carnival of Souls: The Final Sessions (1997)

Tahun 90an adalah tahun yang mengecewakan bagi peminat hard rock / heavy metal. Band-band yang diminati terpaksa berubah mengikut trend semasa. Kebanyakan dari album-album tersebut memang gagal di pasaran. Peminat lama tidak sukakan perubahan manakala peminat era 90an mengangap mereka telah ketinggalan zaman.

Tetapi kebelakangan ini semacam menjadi satu trend pula untuk mendengar semula album-album sebegini. Ternyata kebanyakkan darinya bagus dan berkualiti. Mereka adalah mangsa keadaan. 

KISS seperti diketahui ramai adalah band yang gemar berubah mengikut peredaran zaman. Mereka pernah menjadi disko dan glam metal. Kali ini mereka mencuba grunge. Tetapi ianya kurang mendapat sambutan. Mungkin sebab utamanya adalah tahun ianya diedarkan. Album ini dirakamkan pada tahun 1995. Tetapi sayangnya hanya menemui pasaran pada penghujung kegemilangan grunge (1997). Alasannya pada ketika itu KISS sedang bercadang untuk mengadakan reunion tours. Line-up album ini (Paul Stanley, Gene Simmons ,Bruce Kulick, Eric Singer) diangap tidak sesuai utuk tujuan promosi tours tersebut.

Carnival Of Souls sememangnya kuat pengaruh Alice In Chains. Ini tidak menghairankan kerana Alice in Chains sememangnya mempunyai sound yang hampir kepada heavy metal. Maka kebanyakan band-band hard rock / heavy metal mengambil mereka sebagai rujukan.

Ianya seperti bukan album KISS yang biasa. Bruce Kulick berjaya membawa sound grunge ke dalam permainan gitarnya. Nak kata bagus atau tidak, terpulang kepada selera individu. Mungkin ianya terlampau berat dan gelap untuk sesetengah peminat mereka. 

Tetapi bagi saya ianya adalah sesuatu “menarik”. Album-album sebegini sememangnya patut diberi peluang kedua. Banyak lagu-lagu yang sedap. Tak sangka yang saya akan “enjoy” dengannya. Mungkin saya yang menongkah arus atau mungkin anda yang patut mencubanya semula.


Thursday, April 6, 2023

The War to End All Wars

Dah setahun dah album ni. Baru sekarang nak buat cerita 😁.

Sabaton - The War to End All Wars (2022)

Sambung lagi cerita tentang album-album terbitan tahun lepas

The War to End All Wars masih dalam acuan yang sama dengan album yang sebelumnya. Tidak banyak yang berbeza. Band yang sudah ada tanda nama seperti mereka pastinya tidak mahu terlalu banyak perubahan. Setiap perubahan ada risikonya.

Mereka masih mengekalkan lirik bertemakan perang dunia pertama (WW1). Penceritaan kali ini tertumpu untuk tempoh tahun 1914 ke 1918. Ianya adalah konsep album sambungan dari album yang sebelumnya ("The Great War - 2019").

Lagu-lagu mereka yang kedengaran agak bombastik sememangnya bersesuaian untuk didengar dan ditonton secara "live". Maka tidak menghairankanlah kenapa mereka adalah antara band yang sering diberikan peranan utama (headliner) dalam mana-mana festival rock dan metal untuk masa sekarang.

Secara ringkasnya jika anda baru dengan Sabaton, mereka adalah sebuah band yang bolehlah dikategorikan sebagai power metal. Yang membezakan mereka adalah gaya nyanyian vokalisnya yang tidak menggunakan high pitch dan lirik yang berkisarkan tentang sejarah perang dunia pertama (WW1). 

Mungkin "The War to End All Wars" tidak akan mendatangkan peminat baru untuk mereka. Tetapi ianya cukup untuk memuaskan hati peminat setia mereka secara khususnya dan genre power metal secara amnya.


Sunday, April 2, 2023

65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986)

65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986) - Muhamad Takiyuddin Ismail 

Saya tak mahu mengulas panjang.  Ianya adalah RM150 yang berbaloi untuk dibelanjakan. 

Sebagai seorang ahli akademik yang dah berpengalaman menghasilkan beberapa buah buku, Prof. Dr. Takiyuddin sudah semestinya tahu bagaimana sebuah buku tentang sejarah muzik rock patut dihasilkan.

Tetapi yang lebih utamanya, sebagai seorang yang mengaku dirinya rocker, beliau paham apa yang perlu ditulis. Dan beliau telah melakukannya dengan cemerlang. Tahniah Doc!

Sekarang tak sabar nak tunggu siri yang kedua pula....

Buku ini boleh didapatkan di Shopee atau terus menghubungi Dr. Taki di Facebook (Taki Takiyuddin) ataupun whatsapp 0192060568.