Monday, June 26, 2023

A Little South of Sanity

Antara cd terkini dalam simpanan... 

Aerosmith - A Little South of Sanity (1998)

A Little South of Sanity adalah apa yang selalu dicadangkan oleh Portdy dan Deaf apabila berborak tentang album live di dalam group whatsapp blogger. Tetapi tak ada lah rasa teruja sangat nak membeli sehinggalah terjumpa ianya di jual di Shopee dengan harga serendah RM16.62.

Cd ini bolehlah dianggap seperti album greatest hits. Terutamanya bagi yang mengikuti Aerosmith hanya dari zaman 80an dan awal 90an mereka sahaja. Semua lagu popular di zaman tersebut ada. Di tambah pula ini adalah zaman penghujung kemuncak mereka. Bermakna dari segi vokal Steven Tyler, ianya adalah masih di dalam keadaan yang terbaik.


Band yang mempunyai 2 pemain gitar solo sememangnya seronok untuk didengar secara live. Terutamanya jika menggunakan ear atau head phone. Jelas bunyi gitar Brad Whitford di kiri dan Joe Perry di kanan telinga. 

Tak pasti samada ianya ada melalui proses "baik pulih" di studio. Tetapi secara keseluruhannya ia berjaya menangkap suasana atau pun aura sebenar seperti betul-betul berada di ruang konsert mereka. Kalau ada yang kurang pun, sepatutnya bunyi bass Tom Hamilton perlu lebih dikedepankan.


Wednesday, June 21, 2023

Bloodied, But Unbowed

 Antara cd yang lama dah cari tetapi baru sekarang berjaya dimiliki...

Desperado - Bloodied, but Unbowed (1996)

Kali pertama tahu tentang band ini adalah melalui satu artikel di majalah Metal Hammer pada tahun 1989. Desperado adalah band Dee Snider selepas beliau keluar dari Twisted Sister. Memang rasa teruja nak dengar. Tambah pula pemain drum mereka adalah Clive Burr yang bermain untuk 3 album awal Iron Maiden. Sayangnya selepas dari itu tak ada dengar khabar berita tentangnya lagi. Tahu-tahu Dee Snider telah pun menubuhkan band yang lain (Widowmaker).

Akhirnya di zaman info di hujung jari baru tahu cerita yang sebenar. Mereka dah pun siap merakamkan album pada tahun 1988. Tetapi masalah dengan syarikat rakaman menyebabkan ia tidak pernah diedarkan sehinggalah tahun 1996. Sayangnya ia agak terlambat. Pertengahan 90an bukanlah lagi zaman untuk album hard rock seperti ini. Walaubagaimana bagus dan berkualiti pun ianya tidak lagi mendapat sambutan. 

Setelah lama mencari, akhirnya berjaya juga menjejaki album ini. Ianya bukan seperti muzik Twisted Sister. Ada antara lagunya yang sedikit bluesy dan ala-ala country dan cowboy. Tetapi yang pentingnya lagu-lagunya melodic dan sedap. Dee Snider sebagai seorang penulis lagu sememangnya tidak pernah mengecewakan. 

Kalau anda adalah peminat Dee Snider dan muzik hard rock 80an, "Bloodied, but Unbowed" adalah sesuatu yang berbaloi untuk anda miliki. Memang best!



Monday, June 19, 2023

Last Action Hero

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 8hb Jun yang lalu... (runut bunyi bukan cerita wayangnya)..

Last Action Hero: Music from the Original Motion Picture (1993)

Dah pernah tulis dah pasal ni 12 tahun yang lalu. Tetapi secara kebetulan, terjumpa pula cdnya di jual di Shopee.

Apa yang saya boleh ingat filemnya tak lah menarik sangat. Saya menontonnya di panggung. Lupa dah samada Rex atau Lido Johor Bahru kerana panggungnya bersebelahan. (Lama dah pupus 2 panggung ni. Sekarang kat situ dah jadi Zenith / Hotel Suasana). 

Memang teruja nak tengok. Maklum lah pada ketika itu nama Arnold Schwarzenegger sememangnya tengah popular. Filem beliau yang sebelumnya Terminator 2: Judgment Day (1991), memang filem pecah panggung. Sayangnya Last Action Hero sekadar ok ok sahajalah.

Tetapi yang paling diingati tentangnya adalah album soundtracknya. Jarang nak jumpa satu album soundtrack yang hampir keseluruhannya adalah lagu rock. Mungkin juga penangan populariti You Could Be Mine (Guns N' Roses) dalam soundtrack Terminator 2 atau sememangnya genre rock adalah genre utama di dunia pada ketika itu. Mungkinlah...


Kalau nak pilih satu lagu pilihan dari album ini sudah semestinya "Angry Again" dari Megadeth. Best!


Thursday, June 15, 2023

Rawak - Sail Away

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...

Great White - Sail Away (1994)

Pembelian cd ini adalah semata-mata kerana nama "Great White" itu sendiri. Kali terakhir mendengar album Great White secara betul adalah album "Hooked" (1991).

Membeli secara buta tanpa pra-dengar di youtube mahupun spotify. Betul-betul ikut cara lama. Adakalanya pembelian sebegini berbaloi dan adakalanya agak kurang menjadi. Dan pembelian ini tergolong dalam kumpulan yang kedua.

Sail Away sememangnya berbeza dengan album-album lama mereka. Ianya lebih menumpukan kepada lagu-lagu akustik dan unplugged yang bluesy. Memang hampir tiada lagu-lagu hard rock yang berat seperti album-album yang sebelumnya. Mungkin mereka terpengaruh dengan demam MTV Unplugged yang sedang hangat pada ketika itu. Cuma yang berbezanya, ia bukanlah rakaman live dan bukan juga benar-benar sepenuhnya akustik dan unplugged.

Bukanlah nak kata tak sedap. Tetapi lagu-lagu sebegini memerlukan saya didalam mood yang tertentu menghayatinya. Jika anda minat lagu-lagu perlahan yang bluesy mungkin ini adalah makanan anda. Tetapi yang perlu menjadi perhatian adalah vokal Jack Russell dan solo gitar Mark Kendall. Power!


Monday, June 12, 2023

At the Heart of Wintervale

Tahun ini agak kurang membeli album baru. Sehingga kini (Jun), inilah satu-satunya album terbitan 2023 yang dibeli..


Twilight Force - At the Heart of Wintervale (2023)

Saya sudah bertekad untuk tidak lagi membeli apa-apa album terbaru dari genre power metal. Tahun lepas adalah tahun yang saya terlalu banyak membeli cd-cd dari genre tersebut menyebabkan rasa sedikit tepu. Tetapi apabila mendapat tahu yang Twilight Force ada menghasilkan album baru, tekad tersebut terpaksa saya tangguhkan dahulu...huhuh...

Twilight Force adalah generasi baru symphony power metal yang saya berkenan. Nak kata ada benda baru, sememangnya tidak. Mereka memainkan apa yang kita dah jangkakan dari sebuah band yang berkonsepkan begini.

Band-band begini biasanya siapa yang lebih melodic, lebih cheesy itulah yang lebih best sebenarnya. Dah sememangnya konsep power metal adalah begitu. Dan saya rasakan yang Twilight Force menepati ciri-ciri tersebut. Lagu-lagu mereka sememangnya melodic dan lunak di dengar. Malah bagi telinga saya, album terbaru ini lebih sedap lagu-lagunya dari album yang sebelum.

Makanya, jika anda sukakan muzik sebegini, At the Heart of Wintervale adalah apa yang anda patut cuba untuk tahun 2023.



Friday, June 9, 2023

Dead End

Pembelian yang ini bukanlah secara rawak, tetapi selepas proses pendengaran di youtube dan jatuh suka...

Turbo - Dead End (1990)

Zaman pembelian secara online seperti sekarang perkara yang susah sudah menjadi senang. Yang penting ongkosnya. Album yang dulunya sekadar dibaca dan dilihat di Metal Hammer/Kerrang kini sudah berada di tangan.

Turbo adalah salah satu band metal terawal dari Poland. Mereka adalah salah satu band yang dulunya teringin sangat nak dengar tetapi tidak berpeluang. 

Mereka adalah seperti apa yang pernah saya baca. Muzik thrash tetapi dengan vokal garau ala-ala death metal tetapi di dalam lingkungan yang masih boleh difahami bunyi butirnya. Mereka juga bukanlah thrash yang straight forward. Dead End mengandungi sedikit elemen progressif dan teknikal dengan melodi dan tempo yang berubah. 

Ini sememangnya hidden gem bagi pengemar thrash. Peminat Slayer dan Sepultura amatlah digalakkan. Mungkin ianya bukan yang asli. Tetapi dengan lagu yang sedap, rif hanguk kepala, shredding solo...apa lagi yang peminat thrash mahukan...


Wednesday, June 7, 2023

Coverdale · Page

Antara yang baru dimiliki..

Coverdale · Page (1993)

Zaman remaja dulu memang tak berapa nak masuk lagu-lagu yang sebegini. Maklumlah tengah kemaruk dengan lagu-lagu hantu yang lebih ekstrem. Tetapi dengan peningkatan usia, sedikit sebanyak selera muzik pun semakin berubah dan bertambah matang. Yang dulunya tak boleh nak faham tetapi sekarang mungkin ianya boleh menjadi satu kegemaran.

Begitulah yang terjadi dengan album ini. 30 tahun dulu pernah cuba mendengar kasetnya. Tetapi tak boleh nak masuk. Teori saya yang mengatakan muzik sebegini adalah untuk golongan yang lebih dewasa adalah betul. Ianya memang berlaku kepada saya. 

Kalau dulu nak menghabiskan satu lagu pun gagal, tapi kini langsung tak ada masalah untuk mendengar keseluruhan album. Tak perlu skip mana-mana lagu pun. Tapi kalau kena pilih lagu paling suka, mungkin pilihan saya adalah balada "Take Me For A Little While" dan bluesy hard rock "Pride And Joy".

Album ini sebenarnya tak lari jauh dari bunyi Led Zeppelin dan Whitesnake terutamanya ketika zaman bluesy hard rock mereka. Tetapi disebabkan aura vokal David Coverdale yang kuat, saya rasakan yang ianya lebih kepada Whitesnake berbanding Led Zeppelin. Ianya tak ubah seperti Jimmy Page bermain gitar untuk Whitesnake.


Friday, June 2, 2023

Rawak - In the Ancient Days

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...

Asgard - In the Ancient Days (1986)

Ada cd yang dibeli kerana tertarik dengan cover artworknya. Ini adalah salah satu darinya. Tambah pula ianya adalah terbitan Noise Records. Satu masa dahulu memang teruja nak dengar apa-apa sahaja produk dari Noise Records.

Dah beli baru tahu yang mereka adalah band yang berasal dari Belanda. Sebuah negara yang bukan sinonim dengan muzik metal. Ini bermakna mereka sememangnya hebat. Bukannya mudah nak sign dengan Noise Records.

Tetapi sayangnya, ini adalah satu-satunya album dari mereka. Mungkin dari segi jualan album mereka kurang berjaya. Tetapi sebenarnya kalau dari segi muzik dan lagunya, mereka agak setanding dengan band-band speed metal atau early thrash yang lainnya. 

Mungkin ianya bukanlah sesuatu yang baru. Tetapi jika anda pengemar metal 80an, semua yang anda mahu terutamanya dari segi lagu-lagu yang laju, rif yang melodic, chorus yang catchy pastinya akan memikat hati. 

Pembelian cd ini bolehlah dikatakan sekadar menambah satu lagi koleksi album obscure heavy metal 80an.