Friday, July 28, 2023

Songs of White Lion

 Antara album pilihan untuk tahun 2023...

Mike Tramp  - Songs of White Lion (2023)

Berdasarkan apa yang diceritakan oleh Mike Tramp, rasanya memang tidak akan ada sebarang ruang untuk White Lion melakukan reunion. Masalah utamanya adalah Vito Bratta. Dia sememangnya dah pencen dari bermain muzik. 

White Lion adalah milik mereka berdua. Tak kisahlah kalau James LoMenzo boleh mencuri masa dari Megadeth atau Greg D'Angelo bersetuju untuk reunion. Tetapi tanpa Vito, ianya memang tidak akan menjadi kenyataan.

Album ini adalah rakaman semula lagu-lagu pilihan Mike Tramp dari dari 3 album White Lion. Ianya dimainkan oleh pemuzik yang agak kurang dikenali. Tiada perubahan yang ketara. Kecuali When The Children yang menggunakan piano, lagu-lagu lainnya masih mengikut acuan lagu yang asal.

Tabik untuk gitaris yang bermain di dalam album ini, beliau tidak banyak mengubah solo-solo Vito terutamanya untuk bahagaian-bahagian yang bermelodi. Solo-solo melodic dari Vito sudah menjadi seperti lirik kepada lagu-lagu tersebut. Jika diubah, maka hilanglah seri dan identiti lagu-lagunya. 

Secara keseluruhannya sebagai seorang peminat besar Vito, saya rasakan yang Mike Tramp telah yang melakukan yang sepatutnya. Dia tidak cuba mengubah legasi Vito. Dan vocal beliau pun masih cemerlang. Cumanya kali ini lagu-lagunya dinyanyikan dengan cara yang lebih santai mungkin bersesuai dengan usia beliau.


Monday, July 24, 2023

Tangled in Reins

Yang menyambut ulang tahun ke 31 pada 10hb Julai yang lalu.

Steelheart - Tangled in Reins (1992)

Steelheart dikenali kerana lagu-lagu baladanya dan kemampuan Miljenko Matijevic menyanyikan lagu bernada tinggi dengan baik. Saya tidak pernah membeli kaset mereka. Kecenderungan dengan genre yang lain menjadi penyebabnya. Namun begitu, ada 2 lagu yang saya ingat dari album ini.

1 - "Mama Don't You Cry" - lagunya sering dimainkan di radio.

2 - "Sticky Side Up" - muzik videonya ada dimainkan di channel MTV.

Tetapi semenjak kebelakangan ini (mungin atas faktor usia), rasa tertarik pula untuk mendengar semula album-album era 90an dari band-band hard rock dan glam metal seperti mereka. Tangled in Reins adalah salah satu darinya.


Dengan imej seluar bermuda dan kemeja flanel (video clip "Sticky Side Up"), saya sangkakan yang muzik mereka juga sudah terpengaruh dengan grunge. Tetapi ternyata saya tersilap. Mereka masih dengan hard rock / glam metal seperti album pertama. Malah ada lagu-lagunya yang lebih berat dan laju (mengingatkan saya kepada Skid Row). Lagu "Loaded Mutha" dan "Steelheart" adalah contohnya. 

Sayangnya sebagus mana pun mereka. Dengan zaman yang berubah dan ditambah pula dengan kemalangan yang menimpa Miljenko Matijevic. Mereka gagal bertahan. Ini adalah album terakhir dari line-up klasik mereka. Mereka adalah contoh sebuah lagi band bergenre hard rock /glam metal yang menjadi mangsa keadaan.


Friday, July 21, 2023

Into Glory Ride

Yang menyambut ulang tahun ke 40 pada 1hb Julai yang lalu...

Manowar - Into Glory Ride (1983)

Saya hanya mula mendengar Manowar pada penghujung tahun 80an. 40 tahun yang lalu (1983) saya tak tahu pun tentang kewujudan mereka. Ketika itu muzik bagi saya adalah Duran Duran. Kemudiannya baru mendengar album-album awal mereka. 

Into Glory Ride adalah album kedua. Tempo lagu-lagunya yang agak perlahan mengingatkan kepada “doom" ala-ala Black Sabbath. Ianya juga tidak mengandungi satu pun lagu "popular/hits" mereka. Mungkin itu penyebab mengapa ianya bukanlah album pilihan bagi kebanyakan peminat.


Tetapi bagi saya selain gambar kulit album dan intro yang mengarut, yang lainnya saya suka. Ianya adalah epik heavy metal yang menjadi trademark Manowar. Soundnya agak kasar dan "raw tetapi itulah sound heavy metal yang saya suka. Sound begitu mengembalikan ingatan mengapa saya sukakan muzik sebegini ketika zaman budak-budak dahulu.

Album yang seronok untuk dimainkan secara "full blast"....tetapi berhati-hati dengan permulaan intro track pertama. Terutamanya jika anda berada di tempat awam atau di sisi keluarga...haha...



Monday, July 17, 2023

Rawak - Destination Anywhere

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...

Jon Bon Jovi - Destination Anywhere (1997)

Jujurnya tak pernah ambil tahu pun sebelum ini. Satu-satunya lagu yang pernah dengar adalah "Midnight in Chelsea". Tak berminat dengan lagu tersebut menyebabkan tak rasa ada keperluan untuk mendengar lagu-lagu yang lainnya.

Bila terjumpa di Shopee yang cd ini dijual dengan harga serendah RM14.85 dengan pos percuma bila dibeli dengan cd-cd lain. Maka rasa tak rugi pun untuk mencuba.

Tetapi...saya gagal untuk mendengarnya tanpa skip. Selain lagu "Janie, dont take your love to town" yang kedengaran seperti lagu-lagu balada Bon Jovi era 90an, lagu-lagunya lainnya adalah lagu-lagu balada pop alternative mendayu yang pada saya meletihkan. Ianya jauh berbeza dengan album solo beliau yang pertama (Blaze of Glory) dan juga bukan seperti album-album Bon Jovi.

Maka secara rasminya, cd ini akan terus masuk ke rak dan ntah bila akan disentuh semula Pembelian secara rawak sememangnya tidak semua akan menjadi...


Wednesday, July 12, 2023

Scorched

Calon album kegemaran untuk tahun 2023...

Overkill - Scorched (2023)

Ada yang membandingkan ini dengan 72 seasons. Mungkin kerana ianya dikeluarkan pada hari yang sama. Tetapi pada saya ianya perbandingan yang kurang tepat. Metallica adalah sebuah band mainstream yang peminatnya dari pelbagai lapisan manakala Overkill peminatnya pula hanya dari golongan Mat Metal...itupun Mat Metal tua 😁. Kalau bukan peminat metal, rasanya ada yang tak tahu pun kewujudannya.

Maka kalau nak kata yang ini lebih sedap atau yang itu lebih bagus itu sebenarnya terpulang kepada kedudukan anda di mana. Kalau tanya pendapat saya, sebagai seorang Mat Metal tua 😁 sudah pastinya pilihan saya adalah Scorched. Bukan nak kata 72 seasons tak bagus...tetapi ianya lebih kepada keutamaan selera.

Overkill sejak beberapa tahun kebelakangan ini sememangnya tidak mengecewakan peminatnya yang sepeti saya. Mereka tetap dengan thrash. Tidak ada yang berubah sangat. Banyak melodi dan rif yang sedap. Senang cakap, yang suka akan terus suka. 

Tetapi dari apa yang saya rasa, Scorched dari segi muzikalnya adalah lebih "lembut" dari album yang sebelum. Ianya mungkin memberi ruang untuk yang minat Metallica tetapi kurang tahu tentang thrash untuk lebih mudah hadam dengan muzik yang sebegini. Agaknya la...


Sunday, July 9, 2023

Pride & Glory

 Lagi pembelian dari shopee...

Pride & Glory - Pride & Glory (1994)

Ini adalah side projek band bagi Zakk Wylde. Tetapi saya membeli cd ini bukan kerana beliau. Ianya kerana James LoMenzo. Saya adalah peminat besar White Lion. Ketika itu sememangnya rasa teruja apabila mendapat tahu yang beliau terlibat sama dalam projek Pride & Glory. Ini adalah kemunculan pertama beliau selepas menyepi bersama White Lion. Sayangnya kaset/cd ini tidak nampak ada di jual di Malaysia.

Akhirnya selepas 29 tahun, terjumpa pula cd terpakainya di jual di Shopee dengan harga serendah RM11.32. Saya tak pernah mendengarnya sebelum ini walaupun di Spotify mahupun Youtube. Tetapi dengan harga sebegitu dan ianya adalah James LoMenzo, rasanya tak akan ada rasa menyesal pun jika lagu-lagunya tak kena dengan jiwa.

Dan ternyata ianya betul. Ianya memang tak kena pun dengan jiwa. Zakk Wylde memlih untuk lari dari imej muzik Ozzy Osbourne. Pride & Glory mengambil pengaruh southern rock ala-ala seperti seperti Lynyrd Skynyrd. Ini membuktikan yang James LoMenzo sememangnya seorang pemain bass yang versatile. Muzik yang berbeza dari White Lion ke Pride & Glory ke Megadeth .

Kesimpulannya, ini adalah satu lagi cd yang hanya akan menjadi perhiasan di rak 😁.


Wednesday, July 5, 2023

Black Diamonds

Antara album pilihan untuk 2023...

L.A. Guns - Black Diamonds (2023)

Siapa kata hanya di Malaysia sahaja ada band berebut nama dan berpecah dua. Band orang putih pun sama. L.A. Guns adalah salah satu contohnya. 

Yang ini adalah album terbaru dari kem Tracii Guns (gitar) dan Phil Lewis (vokal). Mereka berdua adalah pemegang hak atas nama L.A. Guns selepas menang tuntutan di mahkahmah. Ini adalah album ke 4 dari reunion mereka berdua. 

Aktif sungguh. Satu album untuk setiap 2 tahun semenjak 2017. Namun begitu masih belum kekeringan idea. Walaupun sedikit merundum dengan album sebelumnya (Checkered Past – 2021), Black Diamonds membuktikan yang mereka masih tetap relevan untuk genre muzik yang sebegini. Banyak lagu yang sedap.

Kalau ada yang kurang pun rasanya dari segi mixing. Soundnya agak tenggelam. Perkara yang sama dari album sebelumnya. Mungkin juga itu sound yang mereka mahukan. Tetapi bagi yang sukakan sound bersih ianya sedikt menganggu. Selain dari itu, tiada apa yang nak dipertikaikan. Masih terasa aura glam metal 80annya.

Dengan tak banyak pembelian album baru untuk 2023. Rasanya album ini mungkin akan masuk senarai untuk album kegemaran untuk 2023.

*kita tunggu pula album terbaru dari kem yang lagi satu (Riley’s L.A. Guns) yang akan terbit tak lama lagi. Berdasarkan satu lagu yang dah disiarkan di youtube, band serpihan yang dianggotai oleh Steve Riley (drums) dan Kelly Nickels (bass) ini ternyata tak kalah. Harapnya akan lagi bagus dari album sebelumnya, Renegades (2020).


Saturday, July 1, 2023

72 Seasons

 Album terbitan 2023...

Metallica - 72 Seasons (2023)

Jujurnya saya tidak lagi mempunyai perasan teruja dengan Metallica. Nak kata pembelian ini untuk sekadar melengkapkan koleksi pun tidak juga. Ada beberapa album terkini dari mereka yang tidak saya miliki. 

Punca utama pembelian ini rasanya lebih kepada warna kulit albumnya. Warna kuningnya agak menarik perhatian (striking). Mungkin ada yang tak suka dengan cover sebegini tetapi inilah penyebab mengapa saya membelinya...haha...

Matching la warnanya dengan warna kereta saya 😁

Dari segi lagu-lagunya tak adalah saya nak kata tak sedap atau tak bagus. Ianya sememangnya kena dengan konsep Metallica sekarang. Yang tak boleh "move on" dengan 4 album terawal tetap tak akan ada rasa terkesan. 

Cumanya bagi saya jika lagu-lagu mereka durasinya lebih pendek mungkin ianya akan lebih menarik. Saya akan cepat merasa bosan dengan lagu-lagu yang panjang. Ianya samalah seperti yang berlaku kepada Iron Maiden. 

Entah mengapa band-band yang berumur ni suka sangat meleweh dengan lagu-lagu yang panjang. Sedangkan peminat berumur mereka seperti saya sudah agak sukar bagi otak untuk memproses lagu-lagu yang sebegitu. Tetapi mungkin ini hanya sekadar saya. Peminat tegar Metallica mungkin mempunyai pendapat yang lain...