Monday, November 27, 2023

U2 - The Best of 1980–1990

 Hasil menyelongkar gerobok cd...

U2 - The Best of 1980–1990 (1998)

Saya bukanlah peminat U2. Dan tak ingat bagaimana cd ini boleh berada dalam simpanan. Berkemungkinan besar ianya adalah pemberian dari abang. 

Beliau sememangnya peminat besar U2. Terutamanya album The Joshua Tree (1987). Saya cuba juga untuk jatuh minat. Tetapi tidak berjaya. Sememangnya selera berbeza walaupun dari pertalian darah yang sama.


Tetapi sejarah saya bersama U2 adalah lebih awal dari itu. Lagu pertama mereka yang saya dengar adalah Pride (In the Name of Love) dari album The Unforgettable Fire (1984). Ianya juga adalah dari abang. 

Lagunya sedap. Tetapi ianya hanyalah sekadar lagu yang mengamit memori zaman awal remaja. Nak kata minat sangat pun tak juga.

Tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya cd ini, boleh la juga menyampuk kalau ada yang nak berbual tentang U2. Dan rasanya tak ada masalah juga untuk menamakan 3 lagu jika ada yang bertanya…hahah..


Monday, November 20, 2023

Race Against Time

 Lama juga dah beli...tapi baru sekarang ada rasa nak menulis tentangnya...

Banshee - Race Against Time (1989)

Antara band yang boleh di kategorikan sebagai "underated".

Dulunya macam pernah terbaca tentang mereka di majalah. Tetapi mana-mana band yang tak ada kasetnya dijual di sini dan tak ada juga dimiliki oleh kawan sememangnya kurang di ambil endah. Hanya mula mencuba muzik mereka apabila EP mereka, Cry In The Night (1986) ada termasuk di dalam senarai antara album pilihan dari genre US Power Metal.

Tak dapat cari EP tersebut dalam bentuk cd , yang ada cuma album pertama mereka ini. Ianya sedikit berbeza dari EP tersebut. Race Against Time muziknya lebih bersih (polished). Walaupun masih ada bunyian USPM, tetapi ianya lebih pelbagai. Melodic metal yang didalamnya ada elemen pop dan heavy metal. Tetapi yang pentingnya sedap bagi yang gemar genre sebegini.

Tetapi tidak semua yang bagus itu akan berjaya. Banshee termasuk di dalam senarai antara band yang gagal. Dan band-band sebegini biasanya akan masuk di dalam senarai band obscure bagi golongan yang mencari. Dan saya adalah salah seorang dari golongan tersebut.


Friday, November 17, 2023

The Hallowed

Album terkini dari lagenda US Power Metal...

The Hallowed - Jag Panzer (2023)

Band-band lama seperti mereka dah tahu apa yang mereka dan peminat setia mahukan. Walaupun ianya formula yang sama berulang-ulang, tetapi itulah tujuannya mengapa kita terus mendengar band-band seperti mereka.

Apa yang kita mahu, itulah yang mereka berikan. Klasik heavy / power metal yang melodic, catchy tetapi sedikit moody dan perlahan. Mungkin bersesuaian dengan usia.

Kalau ada nak komplen pun mungkin dari segi momentum yang agak menurun apabila menuju ke penghujung album. Namun ianya bukan alasan untuk menidakkan yang The Hallowed adalah sebuah album klasik heavy metal yang berkualiti.

The Hallowed meletakan Jag Panzer terus utuh sebagai salah sebuah band heavy metal terbaik dari era awal US Power Metal.


Tuesday, November 14, 2023

Morbid Visions

Tak lengkap kalau ada cd reissue Bestial Devastation tetapi tak ada yang ini...


Cavalera - Morbid Visions (2023)

Sama seperti Bestial Devastation, album ini juga diberi nafas baru dengan produksi rakaman yang lebih bagus dari yang asal. 

Tabik kepada adik beradik Cavalera. Rakaman semula ini dilakukan dengan sebaik mungkin tanpa mengubah rasa muziknya yang asal. Yang berubahnya hanya dari segi produksi bunyi dan skill permainan individu mereka yang semakin bertambah baik. Tetapi "rasa"nya masih seperti yang lama.

Walaupun begitu…ramai jer yang suka dengan sound album yang lama. Lagi rabak dan sebu lagi "true" katanya… haha…



Friday, November 10, 2023

Bestial Devastation

 

Lagi antara yang terkini di pasaran....


Cavalera - Bestial Devastation (2023)

Memang rasa teruja bila dapat tahu yang Max dan Igor Cavalera mahu merakamkan semula lagu-lagu dari EP Bestial Devastation.

Tak berapa suka dengan produksi yang asal. Soundnya mendap dan tak "balance". Tetapi sedikit bimbang jika ianya diubah dan tak sama dengan yang asal. Tetapi adik beradik Cavalera telah melakukan apa yang sepatutnya. Ianya masih mengekalkan rasa dan sentuhan yang asal. Apa yang berubah hanya soundnya yang lebih rapi, kemas dan jelas. Ianya memberikan satu keadilan kerana lagu-lagu dari Bestial Devastation sememangya bagus dan sepatutnya mendapat produksi yang lebih baik.

Rakaman kali ini meggunakan khidmat anggota Cavalera Conspiracy yang terkini, Igor Amadeus Cavalera (anak Max) di posisi bass dan Daniel Gonzales di bahagian gitar. Tambahan menarik cover albumnya juga diberikan sentuhan baru yang pada saya lebih menarik dari yang asal.

Kalau anda merindui Sepultura yang lama, album ini tidak sepatutnya anda lepaskan.


Tuesday, November 7, 2023

Congregation of Annihilation

 Antara album terkini dalam pasaran...

Metal Church -  Congregation of Annihilation (2023)

Saya menjangkakan yang Metal Church akan berkubur dengan kematian Mike Howe. Ternyata Kurdt Vanderhoof (gitaris dan satu-satunya anggota asal Metal Church yang tinggal) masih tidak berputus asa. Album terbaru ini yang sepatutnya dinyanyikan oleh Mike Howe, diteruskan bersama vokalis baru. Saya tak tahu siapa Marc Lopes. Tetapi berdasarkan resume, beliau adalah vokalis untuk album Ross The Boss, By Blood Sworn (2018) dan Born of Fire (2020), Sayangnya saya tidak pernah mendengar kedua-dua album tersebut.



Bak kata Kurdt Vanderhoof, ini adalah lembaran baru bagi Metal Church. Mungkin agak sukar untuk peminat lama menerima gaya vokal yang baru. Perkara yang sama pernah terjadi sebelum ini, tetapi dari segi muziknya ianya tidak banyak berubah. Malah mereka menjadi lebih berat dan agresif berbanding album-album sebelumnya. Seperti yang kita tau, Metal Church muziknya sentiasa berada di sempadan diantara thrash dan power/heavy metal. Tetapi untuk Congregation of Annihilation, ianya lebih berperisa thrash berbanding power/heavy metal. 

Jujurnya saya mengharapkan yang album ini dapat diterima baik oleh peminat mereka. Sememangnya tabik hormat untuk band-band yang masih tidak berhenti untuk terus berkarya. 

Friday, November 3, 2023

Six

Satu lagi album pilihan untuk 2023..

Extreme - Six (2023)

Antara kumpulan yang  saya tidak ketinggalan membeli dan mendengar setiap album mereka adalah Extreme. Sebahagian besarnya adalah kerana Nuno Battencourt. Beliau adalah salah seorang gitar hero yang cukup saya minati. Muka hensem, rambut lurus mengurai dan permainan gitar yang hebat menjadikan beliau mempunyai pakej seorang rockstar yang lengkap.

Selain album baru Winger, ini adalah album baru yang paling ditunggu-tunggu untuk 2023. Kebetulan pula kedua-dua mereka menggunakan nombor album sebagai tajuk. Dan kedua-duanya membuatkan saya tersenyum. 2023 telah menghasilkan 2 album hard rock gitar shredder yang hebat.

Kalau Reb Beach lebih kepada "team player" untuk album terbaru Winger, tetapi Nuno memilih untuk terus kedepan. Dan sememangnya beliau layak dan sepatutnya berbuat begitu. Tarikan utama Extreme sememangnya Nuno. Tak rasa ramai yang nak dengar Extreme kalau bukan kerana beliau. Ok la... saya tidak menafikan kehebatan vokal Gary Cherone dan anggota band yang lain. Tak padan dengan usia vokal beliau masih hebat. 

Six muziknya kurang funky seperti Extreme yang dulu. Mereka kali ini lebih kepada rock n roll moden. Ada juga sisi Nu Metal, Industrial dan Europop. Tetapi tiada yang pelik pun. Extreme sememangnya selalu bereksperimen dengan lagu-lagu yang kadang-kadangnya tak kena dengan keseluruhan album. Dan kebiasaannya itu yang kita tunggu.

Secara keseluruhannya memang padu. Solo-solo gitar berapi dan berasap. Kalau ada yang nak komplen pun dari segi soundnya yang agak mendap. Tak pasti adakah Nuno memang mahukan sound begitu (ala-ala sound 80an) atau ada sesuatu yang tak kena ketika produksinya.

Sebagai peminat, saya tidak teragak-teragak untuk terus membeli versi vinyl. Six adalah yang ke 4 selepas Senjutsu, Rock Believer dan Rad Wings of Destiny yang terus saya beli dalam 2 versi cd dan vinyl sebelum mendengar keseluruhan album. 

Satu lagi album kegemaran untuk 2023!