Wednesday, May 31, 2023

44 hari di tahun 1991

Di awal 90an dulu pastinya kaset-kaset ini pernah kita beli, pinjam, dengar atau sekurang-kurangnya nampak di kedai. Yang menarik kesemuanya diterbitkan dalam tempoh 44 hari dari 12/08/1991 hingga 24/09/1991. Dan kesemuanya membawa pengaruh besar di dalam muzik era 90an.

Tetapi posting ini sebenarnya bukanlah nak cerita pasal tu sangat....tetapi ini hanyalah sekadar bertujuan untuk tujuan riak kasetwi...hahaha....😁


Metallica – Metallica, 12/08/1991

Pearl Jam – Ten, 27/08/1991

Guns N’ Roses – Use Your Illusion I, 17/09/1991

Guns N’ Roses – Use Your Illusion II, 17/09/1991 

Red Hot Chilli Peppers – Blood Sugar Sex Magik, 24/09/1991

Soundgarden – Badmotorfinger, 24/09/1991 

Nirvana – Nevermind, 24/09/1991 



Friday, May 26, 2023

Filth Hounds of Hades

Beberapa hari lepas (17hb Mei) terbaca tentang kematian Algy Ward, vokalis merangkap pemain bass kumpulan Tank. Maka posting ini adalah tribute untuk beliau...


Tank - Filth Hounds of Hades (1982)

Tak banyak yang saya tahu tentang Tank. Dulunya sekadar membaca di majalah dan membelek kasetnya di kedai tetapi tak berpeluang untuk mendengar. Apa yang saya tahu mereka adalah antara pelopor genre New Wave Of British Heavy Metal. Kekangan kewangan seorang pelajar dan tiadanya kawan yang mempunyai kasetnya untuk dipinjam menyebabkan mereka antara band yang saya tinggalkan. 

Mendengar lagu "Turn Your Head Around" yang di cover oleh Sodom dalam album "Better Off Dead (1990)" menyebabkan rasa terpanggil untuk mendengar Tank. Dengan munculnya era internet dan MP3, pencarian saya untuk mendengar lagu tersebut dengan versi asal menjadi lebih mudah. Dan tanpa disangka, lagu-lagu lain dari album Filth Hounds of Hades juga bagus dan sedap. 


Muzik mereka seakan-akan Motörhead. Latar belakang Algy Ward dari band punk The Damned mungkin antara penyebab. Bila mereka menggunakan "Fast" Eddie Clarke dari Motörhead sebagai penerbit, maka teori tentang muzik mereka mendapat pengaruh dari Motörhead adalah betul.

Mungkin ada yang tak bersetuju, tetapi bagi saya mereka adalah versi Motörhead dengan penyanyi yang lebih bagus...

Klasik NWOBHM! Thank you for the music Mr. Ward.


Tuesday, May 23, 2023

No Place for Disgrace

Yang menyambut ulangtahun ke 35 pada 20hb Mei yang lalu...

Flotsam and Jetsam - No Place for Disgrace (1988)

Ini adalah album pertama mereka selepas Jason Newsted. Walaupun mereka ditinggalkan, tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat juga sedikit tempias populariti secara mainstream sebagai band awal Jason Newsted.

Tetapi bagi peminat thrash sejati, mereka sememangnya telah dikenali. Album pertama mereka bersama Jason Newsted, Doomsday for the Deceiver (1986) sering tersenarai sebagai salah satu album klasik thrash terbaik sepanjang zaman.

No Place for Disgrace pula membuktikan yang mereka masih boleh terus hidup walaupun tanpa Jason. Malah ada yang berangapan yang No Place For Disgrace adalah jauh lebih baik dari Doomsday for the Deceiver. Saya adalah salah seorang yang bersetuju dengan kenyataan ini. 

Mungkin mereka tak sekaya Jason. Tetapi sekurang-kurangnya nama Flotsam and Jetsam akan tetap diingati. Ini adalah antara album yang wajib dengar jika anda adalah pengemar thrash. Semua lagu sedap termasuk lagu cover yang tak dijangka,  "Elton John - Saturday Night's Alright (For Fighting)".


Friday, May 19, 2023

All Systems Go

Yang menyambut ulanggtahun ke 35 pada 17hb Mei yang lalu...

Vinnie Vincent Invasion -  All Systems Go (1988)

Ketika zaman tape video VHS (penghujung 80an hingga awal 90an), saya sememangnya akan sentisa bersedia dengan tape video kosong untuk merakam apa-apa sahaja video clip yang di mainkan di tv. Tak kiralah samada di MTV/Channel V untuk lagu-lagu antarabangsa ataupun Muzik Muzik TV3 untuk lagu-lagu rock tempatan.

Salah satu yang sempat saya rakam adalah "Love Kills" dari Vinnie Vincent Invasion. Tak tau apa-apa tentang band ini, tetapi saya tahu yang Vinnie Vincent adalah pemain gitar KISS. "Love Kills" adalah lagu dari soundtrack filem "A Nightmare on Elm Street 4: The Dream Master". Disebabkan lagu ini juga saya menyewa tape video VHS filem tersebut. Saya berharapkan yang video clipnya ada di dalam tape tersebut sepertima mana lagu Dokken -  Dream Warriors yang video clipnya ada pada permulaan video sebelum bermulanya cerita A Nightmare on Elm Street 3: Dream Warriors. Tetapi sayangnya tidak ada.


Sejak dari itu mula mencari 2 album dari VVI. Tetapi kerana nilai nostalgianya, saya lebih menyukai album ini berbanding album pertama mereka. Untuk All Systems Go, Vinnie Vincent lebih berlagu berbanding album sebelumnya yang lebih kepada kelajuan permainan gitarnya. Tambahan pula, All Systems Go penyanyinya adalah Mark Slaughter. Salah seorang vokalis era glam metal yang diminati. 

Saya baru perasan yang rupa-rupanya saya tidak mempunyai album ini dalam versi cd. Nampaknya tak bolehlah nak ber"gila format". Versi kaset kalau memori saya masih betul, dibeli di KOMTAR JB pada tahun 1989. Versi piring hitam baru sahaja dimilik dari Discogs. Rasanya cukuplah tak perlu ada versi cd kecuali terjumpa dengan harga rahmah.



Tuesday, May 16, 2023

Rawak - In The Army Now

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...


Status Quo - In the Army Now (1986)

Pembelian cd ini adalah semata-mata kerana lagu "In The Army Now". Ianya adalah diantara 2 lagu Status Quo yang saya tahu. Satu lagi adalah "Rockin' All Over the World".

Status Quo adalah satu contoh band yang sekadar tahu nama tetapi tidak lagunya. Kali pertama tahu tentang mereka adalah dari majalah Kerrang! Asalnya saya sangkakan yang mereka adalah heavy metal seperti Judas Priest. Maklumlah keluar dalam Kerrang!

Mereka dah wujud sejak tahun 60an lagi. Tidak pasti apa genre muzik asal mereka sebenarya. Tetapi “In The Army Now” adalah sebuah album yang berkonsepkan hard rock dan rock and roll. Kalau mereka dari US, mungkin boleh juga dikategorikan sebagai AOR.

Dari beberapa ulasan yang saya baca, In The Army Now bukanlah satu album yang digemari oleh peminat tegar mereka. Mungkin mereka telah berubah. Tetapi seperti yang saya katakan sejak awal tadi, pembelian cd ini adalah semata-mata kerana lagu “In The Army Now”. Lagu-lagu lainnya sekadar mendengar sambil lalu. 

* Saya cukup tertarik dengan persembahan live "In The Army Now" di Wacken 2017. Ianya antara yang diulang-ulang tonton di youtube.


Saturday, May 13, 2023

Dilute to Taste

 Kenangan dari zaman remaja...

Xentrix - Dilute to Taste (1991)

Membeli cd ini semata-mata kerana lagu "Ghostbuster". Ianya adalah lagu cover dari Ray Parker Jr. yang menjadi tema filem Ghostbuster. Banyak juga peminat mereka yang mencemuh. Bagi saya ianya sekadar lagu suka-suka dari mereka sementara menunggu album baru. Menarik juga bila sebuah lagu pop berjaya di"thrash"kan oleh mereka. Tetapi ramai juga yang menganggapnya sebagai serius.

Pertama kali melihat video clipnya melalui satu tape video terbitan Kerrang! (Kalau tak silap lah). Sayangnya tak pernah pula terjumpa single dari tahun 1990 ini dijual di sini. Lagu ini tak pernah ada di dalam mana-mana album mereka sehinggalah versi cd reissue "Shattered Existence" pada tahun 2006.

Sayangnya versi dalam cd ini adalah versi live. Sehingga sekarang saya tidak pernah mempunyai lagunya dalam versi yang asal,

Untuk nota, cd ini adalah cd EP. Ianya mengandungi 2 lagu baru dan 4 lagu live termasuk lagu Ghostbuster. Ianya dikeluarkan ketika menunggu album baru ketika itu (Kin - 1992) disiapkan. 

Di cadangkan beli hanya jka anda adalah seorang peminat sejati Xentrix!


Tuesday, May 9, 2023

Gila Format - Samarkand

Antara "wish list" untuk dimiliki dalam bentuk piring hitam yang akhirnya tercapai. 

Bloodshed - Samarkand (piring hitam keluaran semula - 2023)

Samarkand tidak perlukan pengenalan. Ianya adalah salah satu album terbaik hard rock / heavy metal yang pernah dihasilkan. Period!

Sound piring keluaran semula ini bolehlah dikategorikan sebagai boleh tahan. Dengan sumber asal yang terhad, mungkin ini yang terbaik kita boleh dapat. 

Kalau ada isu yang hendak di ketengahkan pun cuma gambar cover yang tidak menggunakan gambar asal (seperti cover kaset) dan sedikit ganguan pada awal lagu Satria Mega. (Saya mencuba dengan 2 pemain turntable. Satu "jumping" dan satu lagi sekadar menghasilkan bunyi "tap")

Kini lengkaplah sudah gila format. Seperti gambar di bawah, kiri atas adalah cd cetakan pertama 1997, kanan pula cd rilisan semula 2015 dan bawah adalah kaset asal 1987.


Tetapi yang pastinya, harga piring hitam sebegini semakin mahal. Mungkin ada benarnya kata-kata "hobi kami mahal". Muzik secara fizikal bukanlah sesuatu yang mampu dimiliki oleh semua orang. Semakin mahal harganya semakin generasi baru menjauhkan diri. Tak hairanlah kalau format begini semakin dilupakan.

Muzik secara fizikal sudah menjadi satu cabang hobi dan kenangan silam. Dan membeli kenangan itu sememangnya sesuatu yang semakin mahal…😞



Saturday, May 6, 2023

Rawak - Sonic Temple

Rawak adalah cd/lp yang dibeli secara rawak yang tiada perancangan awal tetapi dibeli bersama-sama dengan cd/lp yang memang dicari kerana ianya secara purata akan dapat menjimatkan kos postage dan adakalanya percuma...


The Cult - Sonic Temple (1989)

Sebuah lagi album yang tak di ambil tahu walaupun ceritanya sering keluar di majalah Kerrang!. Ingatkan mereka adalah band alternatif dari US. Rupa-rupanya mereka bergenre hard rock berasal dari UK. Padanlah Kerrang! beriya-riya mempromosikan album mereka satu ketika dahulu.

Tertarik untuk mencuba setelah terbaca beberapa ulasan yang meletakkan album ini didalam senarai album terbaik hard rock / glam metal untuk tahun 1989. Gambar covernya juga adalah satu tarikan.

Kali pertama mendengarnya dah boleh agak yang ianya bukan dari USA. Hard rock acuan dari Britain sememangnya berbeza. Mereka selalunya lebih kepada straight forward heavy rock n roll berbanding band dari US yang lebih kepada blues. Mendengarnya mengingatkan saya kepada Thunder. Sebuah lagi band hard rock asal Britain. 

Sebagai peminat muzik sebegini, tidak ada yang tak kena dengan Sonic Temple. Vokal bagus, kerja gitar hebat dan lagu pun sedap. Malah penerbitnya adalah Bob Rock. Mungkin kalau saya mendengarnya pada tahun 1989, kesannya adalah lebih mendalam.


Tuesday, May 2, 2023

In Your Face

Sempena ulang tahunnya yang ke 34 pada 24hb April yang lalu... 

Kingdom Come - In Your Face (1989)

Pernah buat cerita tentangnya 3 tahun yang lalu >SINI<. 

Mungkin ini pun boleh masuk dalam kategori pembelian rawak. Asalnya mencari piring hitam yang lain tetapi terjumpa yang ini dengan harga "rahmah". Bekas sticker yang bertampal di covernya menyebabkan harganya menjadi murah. Ini lah bahayanya bila "merayau-rayau" di Discogs ataupun Ebay. Tersilap langkah terus terjebak...huhu...

Gambar covernya adalah satu tarikan untuk saya membeli. Kali pertama melihatnya dalam bentuk kaset 33 atau 34 tahun dah rasa tertarik. Walaupun muzik mereka bukanlah sesuatu yang saya minat sangat pada ketika itu, tetapi gambar covernya memang melekat dalam kepala.

Semakin tua berusia selera muzik pun sedikit sebanyak akan berubah. Kalau dulu-dulu terasa agak sukar nak hadam dengan rock yang bluesy, tetapi sekarang ada masa dan ketikanya terasa lunak pula di dengar di telinga...