Tuesday, October 31, 2023

Gila Format - Retro Active

Sempena ulang tahun yang ke 30 tahun (5hb Okt)

Def Leppard - Retro Active (1993)

Lama dah tak buat cerita gila format. Padahal banyak lagi yang belum ditulis. Malas adalah alasan yang utama. Yang ini pun tak ada nak tulis apa. Dulu dah pernah tulis dah >SINI> Kali ini sekadar berkongsi gambar.

Retro active adalah album terakhir Def Leppard yang saya betul-betul suka. Mungkin kerana ianya masih ada sentuhan Steve Clark dan lagu-lagunya masih ada perisa Def Leppard yang lama.

Kalau ikut tarikh di kaset, ianya dibeli pada 7hb Okt 1993, bermakna 3 hari selepas ianya dilancarkan. Zaman kaset dulu biasanya band-band besar seperti Def Leppard setiap album baru mereka pastinya ada promosi dari syarikat rakaman dan kedai-kedai kaset yang terlibat. Dan ianya akan mula dijual secara serentak serata dunia. Bagi yang "die hard fan" biasanya pagi-pagi dah terpacak di kedai kaset untuk menjadi antara orang yang pertama membeli.  

Perkara yang dah tak wujud untuk masa sekarang. Zaman dah berubah. Sekarang, sambil baring atas katil dengar Spotify/Youtube pun dah boleh menjadi antara orang yang pertama dengar. Benda dah jadi mudah. Tetapi perasaannya memang tak akan sama. Itupun untuk mereka yang pernah hidup zaman tersebut. Bagi budak sekarang ianya tak penting sangat pun...


Friday, October 27, 2023

Friday, October 20, 2023

Horns for a Halo

 Lagi album terkini di pasaran...

Elegant Weapons - Horns for a Halo (2023)

Pembelian secara cuba jaya. Membelinya kerana nama Richie Faulkner (Judas Priest) dan cadangan dari Deaf.

Sound dan permainan muziknya tip top. Maklumlah, ini adalah super band. Yang bermain bass adalah Rex Brown (Pantera) dan drummer mereka adalah Scott Travis (Judas Priest). Semuanya pemuzik yang hebat. 

Tambah pula vokalisnya adalah Ronnie Romero. Vokalis metal yang paling "in demand" buat masa sekarang. Pernah menghasilkan album bersama gitaris lagenda seperti Ritchie Blackmore (Rainbow), Michael Schenker (MSG) dan Adrian Vandenberg (Vandenberg) menjadikan beliau adalah seorang vokalis yang berprofil tinggi.

Horns for a Halo adalah "straight forward" heavy metal yang "generic". Lagu-lagunya melodic. Kerja gitar Richie Faulkner tidah boleh dinafikan hebat. Tetapi tak ada lagu yang meninggalkan kesan sangat. Saya lebih tertarik dengan lagu cover "Lights Out" dari UFO. Mungkin kena ambil masa untuk mendengarnya lebih lagi. 

Tetapi jika selera anda adalah muzik sebegini berkemungkinan besar anda akan jatuh suka



Thursday, October 12, 2023

Seven

 Antara album pilihan untuk 2023...

Winger - Seven (2023)

Saya dah lama tak mengikuti Winger. Yang betul-betul dengar hanyalah album pertama (1989). Ianya adalah sebuah album glam/hair metal yang saya suka. Mempunyai seorang shredder seperti Reb Beach sememangnya banyak membantu. Kerja beliau adalah antara penyebab saya jatuh suka.

Berita tentang album terbaru ini menarik perhatian saya untuk mendengar mereka semula. Ternyata banyak album mereka yang bagus. Pull (1993) adalah diantaranya. Ianya menjadi penanda aras untuk album-album mereka yang lainnya. .

"Seven" seperti namanya adalah album mereka yang ketujuh. Ianya adalah sebuah album hard rock yang cukup “solid”. Makin lama dengar makin sedap. Sesuai dengan usia, lagu-lagu mereka lebih dewasa. Tak ada yang tak sedap untuk telinga saya. Melodi, vocal, solo gitar, produksi sound semuanya secukup rasa. Senang cerita kalau “Pull” adalah penanda aras, "Seven" telah lulus dengan cemerlang!

Ramai yang hanya ingat Winger adalah Kip Winger dan Reb Beach. Memang tak boleh dinafikan mereka berdua memang hebat. Kip Winger di usia 62 tahun pun masih mempunyai kekuatan vokal orang muda. Tetapi sedar atau tidak, anggota yang lainnya telah bersama mereka sejak dari album pertama. Mungkin mereka adalah satu-satunya band yang bertahan selama 35 tahun dan 7 album dengan anggota yang sama.

Pastinya ini adalah salah satu album terbaik untuk 2023!




Monday, October 9, 2023

Slaves And Masters

 Yang menyambut ulangtahun ke 33 pada 5hb Oktober yang lalu...

Deep Purples - Slaves And Masters (1990)

Slaves dan Masters adalah Deep Purple yang berbeza. Kalau tak kerana trademark sound gitar Ritchie Blackmore dan Hammond organ Jon Lord, ia sememangnya lari terus dari bunyi kebiasaan Deep Purple.

Salah satu penyebab utamanya adalah Joe Lynn Turner. Gaya nyanyian beliau lebih bercirikan penyanyi pop. Sememangnya berbeza dari zaman Ian Gillian mahupun David Coverdale yang lebih kepada hard rock dan blues. Pengaruh pop beliau dah boleh dikesan semenjak zaman beliau bersama Rainbow dan Malmsteen lagi.

Percubaan sebegini biasanya akan gagal secara komersil. Ramai peminat tegar tak suka. Tetapi jika anda tak berkira tentang Deep Purple bermain pop rock ataupun AOR, album ini sebenarnya bagus. Banyak lagu sedap. 

Saya sendiri tak ambil tahu pun tentangya dulu. Bukan kerana mereka sudah berubah. Tetapi lebih kepada selera muzik yang berlainan. Satu-satunya lagu yang saya tahu hanyalah lagu balada "Love Conquers All". Itupun kerana lagunya ada dimainkan di radio. Sekali dengar memang tak boleh nak cam itu lagu Deep Purple.

Mungkin bukan yang popular dari mereka. Tetapi ianya sedap!


Tuesday, October 3, 2023

Shout At The Devil

Sempena ulang tahun yang ke 40 pada 26 hb September tang lalu...

Mötley Crüe - Shout At The Devil (1983)

Ini adalah pengenalan saya kepada Mötley Crüe. Lagu-lagunya bagi saya mewakili generasi heavy metal pada ketika itu. Sound gitar kasar berserta imej setan pentagram menjadikan ianya sebuah album yang boleh diterima oleh semua peminat muzik ekstrem tak kira sama ada mat rock ataupun mat metal.

Mick Mars bagi bukanlah seorang shredder yang popular. Tetapi sound dan riff beliau menjadi ikutan kepada band-band rock pada ketika itu. Tiada mereka berkemungkinan tiadanya sound dan imej SYJ di zaman Battle Of The Bands. Sayangnya, Mötley Crüe berubah menjadi lebih bluesy untuk album-album yang berikutnya. Bukan tak bagus... tetapi tak kena dengan selera.


Shout at the Devil bagi saya adalah sebuah album greatest hits. Semua lagu pun best. Lagu-lagu seperti "Shout at the Devil", "Looks That Kill", "Red Hot", "Too Young to Fall in Love" sememangnya mengembalikan nostalgia di zaman sekolah menengah.

Sebuah album yang patut ada dalam koleksi semua mat rock...