Saturday, September 28, 2024

40 tahun Forever Young

Yang menyambut ulangtahun ke 40 semalam (27hb September)...

Alphaville - Forever Young (1984)

Sebelum terjebak dengan seragam hitam, muzik yang saya dengar adalah muzik Top 40 dari radio berbahasa Inggeris (Radio One Singapura).

Big in Japan dari Alphaville adalah antara lagu yang cukup popular pada ketika itu. Rentak new wave atau synth pop sebegini sememangnya mendominasi carta pop pada ketika itu. Satu lagi lagu yang sering dimainkan di radio adalah Sounds Like A Melody.

Tetapi lagu yang benar- benar buat saya jatuh hati adalah "Forever Young". Sebuah balada pop yang sangat catchy. Liriknya mengembalikan saya ke usia 14 tahun. Siapalah yang tak mahu muda selamanya.

Ianya sebuah lagi lagu kegemaran sepanjang zaman. Dan saya tidak keseorangan. Setiap kali radio Singapura membuat undian lagu paling popular era 80an pastinya Forever Young akan sentiasa berada di kedudukan paling atas.


Wednesday, September 25, 2024

Schizophrenia

 Album baru 2024...

Cavalera - Schizophrenia (2024)

Ini adalah yang ketiga dalam siri rakaman semula album album Sepultura oleh adik beradik Cavalera.

Saya adalah antara yang teruja apabila mereka merakamkan semula Bestial Devastation dan Morbid Visions. Tetapi ia sepatutnya hanya perlu berhenti di situ. 

Saya boleh menerima alasan untuk rakaman semula Bestial Devastation dan Morbid Visions. Tetapi sebenarnya tiada keperluan untuk Schizophrenia. Sound asalnya pun sudah cukup bagus untuk tahun 1987. Tetapi mungkin sahaja alasan yang sebenarnya adalah "duit". 

Namun begitu, adik beradik Cavalera sememangnya tidak mengecewakan. Mereka sedaya upaya cuba mengikut acuan yang asal. Dan ianya berjaya. Ianya memberikan kita pilihan untuk mendengar versi yang mana. Tetapi saya memilih versi yang memberikan royalti kepada Andreas Kisser 😅...


Monday, September 23, 2024

40 tahun Powerslave

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 3hb September yang lalu...

Iron Maiden - Powerslave (1984)

Asalnya malas nak menulis tentang Powerslave. Dah beberapa kali pun menulis tentangnya. Kali terakhir 5 tahun yang lalu. Tetapi memandangkan ianya angka cantik 40. Rasa terpanggil juga untuk menulis.

Ianya ada nilai sentimental yang tinggi. Walaupun pengenalan nama Iron Maiden kepada saya adalah dari album Killers (sekitar tahun 1982 - 1983) tetapi "2 Minutes to Midnight" adalah lagu Iron Maiden pertama saya. Mendengarnya pada sekitar tahun 1985.

Ianya menjadi pembuka jalan untuk saya bukan sahaja meminati Iron Maiden malah menjadi peminat genre heavy metal secara keseluruhannya.

Ada ketiga-tiga format dalam simpanan. Sayangnya kaset asal cap "apache" yang dibeli pada sekitar tahun 1987 dah hilang...


Wednesday, September 18, 2024

Circle of Stone

 Lagi album terbaru 2024...

Blaze Bayley - Circle of Stone (2024)

Secara jujurnya saya peminat Blaze Bailey. Tetapi bukanlah zaman beliau bersama Iron Maiden, tetapi lebih kepada ketika beliau bersama Wolfsbane

Kalau dulu memang tak sangka yang beliau boleh menjadi penyanyi Iron Maiden. Wolfsbane lebih cenderung kepada Van Halen. Vokalnya pun berbeza dari Bruce Dickinson. Tetapi lengoknya tu masih boleh dikesan pada 2 album beliau bersama Iron Maiden.

Selepas bersama reunion Wolfsbane untuk album Genius (2022), kini beliau kembali dengan album solo. Ianya mengekalkan konsep yang hampir sama dengan album album sebelumnya.

Circle Of Stone lebih straight forward berbanding album solo Bruce Dickinson yang agak progressif. Beberapa lagu awalnya memang menarik. Sedap! Sayangnya, grafnya menurun sedikit untuk lagu-lagu yang terkemudiannya.

Absolva, band yang mengiringi beliau di dalam album ini dan di pentas sememangnya banyak membantu. Kerja gitar 2 gitarisnya memang hebat. 

Walaupun agak kurang konsisten, Circle of Stone membuktikan yang beliau boleh terus berdiri teguh tanpa nama Iron Maiden.


Thursday, September 12, 2024

Hybrid Theory

Nak menyibuk juga tentang Linkin Park sementara isu penyanyi baru mereka tengah hangat diperkatakan sambil-sambil membaca entri Ijau.

Linkin park - Hybrid Theory (2000)

Bukanlah peminat nu metal ataupun Linkin Park. Tetapi sebagai peminat muzik memang tak boleh lari dari mereka. Terutamanya jika anda adalah pendengar radio ataupun penonton tv. Lagu-lagu dan video clips mereka sememangnya kerap dimainkan. 

Benda yang sedap dan lunak ditelinga sememangnya susah untuk dinafikan. Tak kisah lah walau apa pun genrenya. Linkin Park termasuk didalam golongan tersebut. Lagu-lagu mereka sememangnya catchy. Makin lama dengar makin sedap. Tak hairanlah kenapa mereka boleh menjadi popular.

Tak pernah terfikir untuk membeli cdnya. Maklumlah saya bukannya dari generasi Millennials. Sehinggalah terjumpa ianya dijual secara lelong RM10 sekeping di Lexter House, Kg Kurnia, Johor Bahru sempena penutupan kedai.

Tak ada rasa pun untuk membeli cd mereka yang lainnya kecualilah kalau terjumpa juga harga lelong RM10.

Yang ini pun tak pernah putar semenjak beli. Tapi untuk entri ni, putarlah sekali… haha..


Monday, September 9, 2024

Don't Break the Oath

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 7hb September yang lalu...

Mercyful Fate - Don't Break the Oath (1984)

Cepat betul masa berlalu. Sekejap dah 40 tahun. Ini adalah antara cd terawal yang dibeli ketika kenal e-bay. 

Mercyful Fate pertama saya adalah Melissa dan kemudiannya melompat ke album-album King Diamond. Biasalah...tiada sumber untuk dibeli atau dipinjam. Tahun 80an keadaannya bukannya seperti sekarang.

Hanya mula berpeluang mendengarnya secara betul pada awal 90an. Ada seorang sahabat di IPT yang "die hard" King Diamond/Mercyful Fate meminjamkannya. Masa tu dah lebih dewasa, makanya tak ada lah perasan takut seperti kali pertama mendengar album Melissa.


Ini sememangnya salah satu album terpenting untuk heavy metal. Selain vokal KD, riff dan solo solonya yang teknikal tetapi melodic sememangnya banyak membantu. Rekomended kepada sesiapa yang belum pernah dengar.

Tetapi yang pastinya setiap kali nak bermesyuarat, pastinya terngiang-ngiang lagu "A Dangerous Meeting" dan tersengeh-sengeh sendiri...😁


Thursday, September 5, 2024

Desert Moon

Yang menyambut ulang tahun ke 40...

Dennis DeYoung - Desert Moon (1984)

"Desert Moon" dari Dennis DeYoung adalah lagu yang mengembalikan memori saya ke zaman budak-budak. Ketika itu muzik yang didengar oleh abang adalah apa yang saya sebagai adik terpaksa dengar. Maklumlah berkongsi bilik. 

Selain lagu-lagu new wave yang sedang popular pada ketika itu, beliau juga mempengaruhi saya untuk mendengar lagu-lagu rock AOR yang beliau minat. Dan Styx adalah salah satu darinya. Dari situlah pengenalan saya kepada Dennis DeYoung.

"Desert Moon" adalah album solo pertama penyanyi Styx, Dennis DeYoung. Dan lagu yang menjadi tajuk album tersebut menjadi lagu "one hit wonder" kepada beliau. Melodinya yang mudah menangkap menyebabkan ianya adalah antara lagu kegemaran sepanjang zaman untuk saya. 

Cd ini dibeli semata-mata kerana lagu tersebut. Kurang berminat dengan lagu-lagu lainnya. Hasil kerja beliau bersama Styx lebih menarik.