Saturday, December 28, 2019

Awakening

Post terakhir untuk 2019...


Sacred Reich - Awakening (2019)

Sesuatu yang menarik apabila band-band metal/thrash 80an membuat kemunculan semula adalah mereka tidak lagi memikirkan pasal populariti atau mencari peminat baru. Tidak seperti di tahun-tahun 90an di mana arah muzik mereka di paksa untuk mengikuti apa yang sedang popular pada ketika itu. Hasilnya ramai yang hanyut entah kemana. Sacred Reich adalah salah satu darinya.


Ini adalah kemunculan mereka yang pertama sejak kali terakhirnya dengan album Heal pada tahun 1996. Tiada lagi beban untuk mereka menjadi trendy. Phil Rind dan rakan-rakan bermain seperti Sacred Reich yang sebenar. Mungkin ianya tidaklah sehebat album "Ignorance" atau pun "The American Way". Tetapi sekurang-kurangnya Awakening lebih thrash dari 2 album terakhir mereka di tahun 90an


Bukanlah sesuatu yang baru dan tiada juga sebarang kejutan. Ianya hanya sebuah album dari sekumpulan orang tua lama untuk peminat mereka yang juga orang tua lama untuk sama-sama meraikan kenangan silam mereka. Tetapi untuk golongan yang lebih muda, yang tak merasai zaman kegemilangan mereka. Inilah dia perisa thrash metal awal 90an yang boleh mengimbau ke zaman tersebut.

Antara kegemaran untuk kategori album "comeback" 2019. Padu!



Wednesday, December 25, 2019

Cd 2019 - Bahagian 15

Dah nak masuk tahun baru dah. Masih ada lagi cd-cd terbitan tahun 2019 yang dibeli tapi tak sempat lagi nak tampal kat sini. Lajak kan jer lah ke tahun depan yer...

Kali ini nak kongsi dua cd yang tajuknya pun dah metal. Satu band dari England dan satu lagi dari Jerman. Kedua-duanya pun berkonsepkan power metal.

Yang satu tu agak popular juga manakala yang lagi satu mungkin pengemar Helloween patut tahu. Ianya adalah band asal Sascha Gerstner. Tapi yang pastinya dua-dua pun sedap. Itu yang penting.

DragonForce - Extreme Power Metal

Freedom Call - M.E.T.A.L.

Hmmm... Tahun ni memang kemaruk betul dengan power metal.




Friday, December 20, 2019

Bahang Bahang

Sempena 30 tahun...


Sahara - Bahang Bahang (1989)

Ramai yang tak tahu kewujudan band ini. Kalau tak pasal satu kampung mungkin saya pun tak tahu. Mereka antara band rock yang hilang di telan zaman.

Jujurnya tak pernah dengar pun dulu kecuali lagu yang menjadi tajuk album. Ntah lah, ketika itu tak ada rasa nak beli atau dengar walaupun ada rakan-rakan yang beli. Maklumlah band satu kampung. Tetapi ianya memang ada banyak kenangan disebaliknya. Bila terjumpa seorang rakan menjual piring hitamnya, memang terus sambar.

Sahara adalah nama sebuah studio muzik yang beroperasi di pekan Ulu Tiram. Lama dah tutup kot. Ini cerita pada tahun 1988. Ianya kepunyaan bapa kepada seorang rakan sekelas. Tempat jamming kami setiap minggu. Biasalah band budak-budak sekolah. Walaupun anaknya tak rock dan tak minat muzik, kesempatan atas nama rakan sekelas memang selalu kami gunakan supaya dapat jamming lebih dari masa sewa yang ditetapkan. Sewa satu jam..mainnya 2 jam...haha..


Kumpulan Sahara ni pula sememangnya tertubuh dari studio tersebut. Gitar bercabang dalam gambar cover album itu pun adalah gitar yang pernah kami gunakan di studio tersebut. Ada di antara mereka bekerja sebagai penjaga studio. Paling kenal adalah gitaris mereka, Hussin. Dia senior setahun. Yang lain-lain tu dah tak berapa nak ingat nama-namanya. Maklumlah yang lain-lain tu beza umur agak jauh juga. Dah selalu lepak situ, maka selalu jugalah tengok mereka jamming. Dah pernah juga jamming sekali. Paling ingat ada satu hari tu bassist mereka datang lambat. Merasa jugalah main bass lagu "Secebis Rayuan - Burnmarks" bersama-sama mereka.

Kemudiannya selepas tahun 1988, dah habis sekolah. Band kami pun berpecah. Ada yang kerja atau sambung belajar di negeri lain. Jarang dah berjumpa. Susah dah nak jamming. Studio Sahara pun kami tinggalkan. Kemudiannya dapat tahu yang kumpulan Sahara ada mengeluarkan album. tapi tak beli dah tak follow pun. Masa tu dah gila muzik metal yang lebih extreme. Dan selepas 30 tahun, baru ni lah berpeluang untuk dengar...haha...


Muzik mereka agak "raw" sebenarnya. Tiada bunyian keyboard. Banyak solo-solo gitar. Memang rock. Tapi feelnya lebih kepada rock 70an. Tak pelik pun, Johor Bahru pada tahun-tahun 80an memang masih kuat pengaruh rock 70an. Deep Purple, Rainbow, Scorpions sememangnya kiblat. Kalau 80an pun biasanya Iron Maiden, Dio dan Malmsteen. Pengaruh Iron Maiden memang boleh kita dengar dalam lagu "Hamba Seni". Ada rif dari "Killers".

Tetapi lagu yang paling best adalah yang jadi tajuk album, "Bahang Bahang". Intronya memang ciplak "Iron Man" dari Black Sabbath. Lain-lainnya banyak lagu perlahan. Sayangnya lagu-lagu perlahan mereka tiada yang cukup kuat untuk menjadi popular. Ada juga satu lagu berentak joget/dangdut. Mungkin juga pengaruh dari penerbit album mereka, Abang Mokhtar The Goodman Brothers.

Kalau kenang-kenang balik, kalau dulu kita orang serius main muzik, hari-hari jamming. Mungkin kami pun dah jadi artis seperti mereka....hahaha...






Monday, December 16, 2019

Humanicide


Death Angel — Humanicide (2019)

Dah tua-tua ni mengharapkan mereka akan "slow down". Teringin nak dengar Act III part 2. Lagu perlahan seperti "A Room With A View" atau "Veil Of Deception". Tetapi sebaliknya yang berlaku. Kudrat mereka masih seperti remaja belasan tahun. Mereka seperti band-band thrash veteran yang lainnya seperti Overkill dan Testament contohnya. Memang tak reti nak "slow down". Tetap aggresif. Tetap bertenaga. Tetap thrash.


Rob Cavestany dan Mark Osegueda sememangnya jarang mengecewakan. Album-album reunion mereka semenjak The Art of Dying (2004) adalah album-album thrash moden yang berkualiti. Humanicide juga begitu. Tidak meletihkan kerana adanya variasi. Ada lagu yang laju dan aggresif (contoh - Humanicide). Dan ada pula yang melodic (contoh - Immortal Behated). Dan ada juga pengaruh NWOBHM (contoh - I Came For Blood). Tetapi yang pastinya album ini dipenuhi dengan rif-rif dan shredding solo yang padu. Alexi Laiho (Children Of Bodom) juga menjadi gitaris jemputan untuk menyolo dalam lagu "Ghost of Me".


Tidaklah sempurna tetapi tidak juga mengecewakan. Antara album thrash pilihan untuk 2019.

Wednesday, December 11, 2019

"It Must Have Been Love"



Terimakasih Marie. Anda dan Per telah memberikan kami satu soundtrack kehidupan yang indah. Terlalu banyak lagu yang merdu dan terlalu banyak kenangan yang manis......

What a time to be alive....It must have been love...


THANKS FOR THE MUSIC


(30 May 1958 – 9 December 2019)



Thursday, December 5, 2019

CD 2019 - Bahagian 14







Gambar kedua-duanya berkonsepkan sama. Suasana sejuk dan dingin. Maklumlah kedua-duanya berasal dari Negara Nordic. Tetapi genre muziknya tak sama. Sonata Arctica berkonsepkan power metal dari Finland manakala Borknagar pula progresif black metal dari Norway.

Sonata Arctica dah lama dengar sejak album Silence (2001) tetapi Borknagar ni baru jer belajar dengar dan terus melekat. Kedua-duanya antara calon album pilihan 2019.



Sunday, December 1, 2019

Legends From Beyond the Galactic Terrorvortex



Gloryhammer - Legends From Beyond the Galactic Terrorvortex (2019)

Kebelakangan ini agak kemaruk juga mendengar semula album-album yang berkonsepkan symphonic power metal. Gloryhammer adalah antara penyebab utamanya. Mendengar Legends From Beyond the Galactic Terrorvortex mengingatkan kepada Dawn Of Victory - Rhapsody. Ianya tidaklah seratus peratus sama. Tetapi ada lagu-lagunya yang terarah ke situ. Keadaan pertama kali dengar dan terus melekat dan mahu mendengarnya lagi dan lagi adalah sama. Lagu-lagunya memang catchy dan sedap.


Tetapi jika anda tidak berminat dengan muzik yang cheesy, yang over-the-top, boombastic... Mungkin ini bukan untuk anda. Mereka sememangnya terlebih cheesy...terlebih over-the-top. Tetapi itulah yang menariknya. Segala ramuan yang terlebih cukup sifat. Epic neoclassical solo gitar berserta bahagian string, horn, synth dan choir yang di adun terlebih rasa. Singalong chorus. Melodi yang catchy. Suara vokalisnya pun padu. Memang sedap lah. Tetapi kalau dah tak minat...cakap apa pun tak ada gunanya...hahaha....

Salah satu album pilihan untuk 2019!