Hiburan hari-hari terakhir bekerja di rumah...
Enuff Z'Nuff - Enuff Z'Nuff (1989)
Bila terjumpa cd ini dijual di Facebook, saya sememangnya tidak berfikir panjang untuk membeli. Sebab utamanya kerana album-album bergenre sebegini agak susah juga nak jumpa ianya di jual. Kalau ada di discogs/ebay pun boleh tahan juga harganya.
Meraka adalah generasi kedua dalam zaman emas era hair/glam metal 80an. Rasanya tak ramai yang tahu tentang mereka. Saya sendiri pada ketika itu hanya tahu lagu "Fly High Michelle". Itupun melalui kaset kompilasi lagu-lagu slow rock milik kawan. Namun begitu, memang biasalah nampak gambar-gambar mereka didalam majalah Kerrang! dan Metal Edge.
Pada ketika itu sememangnya kurang mengambil tahu tentang mereka. Pengenalan kepada muzik yang lebih extreme membuatkan rasa kurang berminat untuk mendengar atau membeli band-band seperti mereka. Seiring dengan kematangan fikiran dan peningkatan usia, saya mula mencari semula band-band seperti ini. Ternyata band-band seperti mereka sememangnya bagus. Sayangnya pada ketika itu imej dan penampilan lebih ditonjolkan berbanding mutu muzik. Namun ada bagusnya juga imej sebegitu, muzik video atau rakaman konsert band-band sebegini sememangnya lebih menarik visualnya berbading band-band yang memilih imej seperti pekerja kontrak 😅.
Satu yang patut dipuji tentang band-band seperti mereka adalah gitarisnya. Solo-solo gitar di dalam album ini sudah semestinya menjadi satu penyebab kenapa saya sukakannya. Mereka bukanlah sebuah band yang berat. Muzik mereka agak pop. Mereka sendiri pernah mengatakan yang mereka adalah power pop. Lagu-lagu seperti "New Thing", "Fly High Michele" dan "Hot Little Summer Girl" sememangnya sangat lunak di telinga saya.