Friday, July 29, 2022

Power Metal

 Bersempena dengan berita yang Pantera akan mengadakan reunion tour…


Pantera - Power Metal (1988)

Ramai yang tak setuju bila Phil Anselmo dan Rex Brown nak gunakan nama Pantera dalam siri konsert reunion mereka nanti. Iyer la…betul juga…tanpa adik beradik Abbott mana mungkin ianya adalah Pantera. Tetapi bagi generasi yang baru, inilah sahaja peluang bagi mereka untuk menonton separuh dari Pantera. Tambahan pula Zakk Wylde dan Charlie Benante pun bukannya calang-calang. Mungkin kalau mereka tak menggunakan Pantera, isu ini tak akan timbul.

Ok kita tinggalkan isu tersebut. Mari bercerita perihal album pertama Phil Anselmo dalam Pantera. Power Metal dan 3 album awal yang lainnya ketika bersama Terry Glaze, seolah-olah dipinggirkan atau mahu dilupakan terus dari discography Pantera. 


Sebenarnya ia tidaklah seburuk mana. Pengaruh glam/hair metal memang ada terutamnya dari sebahagian lagu serta imej mereka. Kejayaan mereka bersama Cowboy From Hell dengan konsep muzik yang berbeza berkemungkinan menjadi penyebab kenapa mereka mahu melupakan zaman tersebut. Glam/Hair Metal bagi saya bukanlah satu genre muzik yang khusus. Ianya lebih kepada imej dan gaya pada era tersebut. Power Metal bukanlah seperti Open Up and Say... Ahh!. Ianya lebih laju dan lebih berat. Ianya adalah straight forward heavy metal.

Jika anda pengemar muzik sebegini, rasanya album ini tidak akan mengecewakan. Ianya kedengaran seperti Judas Priest atau mana-mana album US Power Metal 80an yang lainnya. Yang menyebabkan rating album ini menjadi rendah pada saya adalah kerana nama "Pantera" tersebut. Maklumlah majoritinya termasuk saya hanya mula kenal Pantera dari zaman thrash, Cowboy From Hell. 

Sedikit trivia -
Proud to Be Loud adalah lagu ciptaan Marc Ferrari, gitaris kumpulan Keel. Asalnya adalah lagu untuk album pertama Keel. Tetapi ianya tidak pernah dirakamkan oleh Keel sehinggalah album ke 6 mereka Back In Action (1998). Marc Ferrari juga bertindak sebagai penerbit dan memainkan bahagaian rhythm gitar untuk lagu tersebut. Disamping itu beliau juga terlibat untuk solo akhir lagu "We'll Meet Again".




Tuesday, July 26, 2022

Gila Format - Kill 'Em All

Bersempena ulang tahun yang ke 39 dan yang terkini berjaya di"gila format"kan...

Metallica - Kill 'Em All (1983)

Semua kenangan lama tentang album ini dah pun ditulis 9 tahun yang lalu. Kalau ada yang berminat nak baca, sila tekan >SINI<

Ini adalah antara album thrash kegemaran dan banyak kenangan. Kali pertama dengar rasa terkejut. Tak sangka ada lagu yang laju dan berat sebegini. Maklumlah pada ketika itu paling berat pun setakat Iron Maiden. Banyak lagu sedap yang dah menjadi klasik. Seek And Destroy adalah lagu pertama Metallica yang saya belajar dan di bawa pergi jamming. 

Cumanya baru-baru ini sahaja ianya berjaya di"gila format"kan. Versi kaset dibeli di bandar Segamat. Zaman belajar di ITMCJ berbekalkan duit pinjaman Yayasan Pelajaran Johor. 😁   

Ianya di beli pada tahun 1990. Sebelum itu memang tak pernah nampak kasetnya dijual di kedai. Mungkin saya yang tak tahu dan ketinggalan atau berkemungkinan juga ianya tidak pernah sampai ke kedai-kedai kaset yang sering saya kunjungi. Kaset pertama Metallica yang saya nampak di kedai adalah The $5.98 EP : Garage Days Re-Revisited. Hanya pada tahun 1990 barulah Polygram Malaysia mengeluarkan semula kesemua 3 album awal mereka selepas muzik thrash mula menjadi kegemaran ramai pada ketika itu.

Versi cd saya tak ingat beli di mana. Berdasarkan sticker Polygram Malaysia di kotak cd, pastinya ia dibeli secara fizikal. Mungkin juga di Tower Records, KL Plaza. Semestinya ia adalah antara yang terawal dicari ketika zaman cd mula dijual secara meluas. Zaman tersebut memang kemaruk untuk "upgrade" versi kaset menjadi cd. Kaset memang dah tak pandang dah. Nasib juga masih ada yang terselamat. Ada tu yang selamat juga... tapi selamat ke ke tong sampah lah bila mak mengemas rumah....haha...


Piring hitam pula adalah hadiah dari anak sulong. Ianya adalah dari gaji pertama beliau bertugas sebagai seorang peguam. Dari beli benda yang tak nampak atau lama kelamaan akan jadi rosak, ada baiknya membeli benda yang boleh menjadi kenangan dan ada nilainya di kemudian hari.

Jujurnya piring hitam ini belum pun diputarkan walaupun sekali. Jangan tanya bagaimana soundnya. Ianya sekadar buka plastik. Pasang outer sleeve dan anti static inner sleeve lepas tu simpan di rak.

Biasalah…piring hitam untuk saya bukanlah untuk didengar. Leceh kan nak tukar-tukar sebelah. Ianya lebih kepada masa-masa santai. Waktu lainnya adalah lebih mudah dengan menggunakan cd ataupun spotify. Bagi saya membeli piring hitam adalah lebih kepada apa yang saya nak simpan, belek dan tayang…. Mainkan tu adalah sekali sekala...hahaha...



Friday, July 22, 2022

Dystopia

Sesi ulangkaji sempena menunggu ketibaan album baru Megadeth yang akan terbit pada 2hb September nanti...


Megadeth - Dystopia (2016)

Lama tak dengar. Kali terakhirnya ketika persediaan menghadiri konsert Megadeth live in Malaysia (2017). Kalau ada pun yang sekali sekala dengar adalah The Threat Is Real dan Dystopia. Itupun sekadar youtube ataupun spotify. Malas rasanya nak mengembur rak.

Biasalah… sesedap mana pun album-album terkini, balik-balik album lama juga yang dicari. Betul tak?


Dari apa yang didengar sekarang berbanding 5 tahun yang lalu, rasanya tak banyak perubahan dari segi penerimaan. Ianya sebuah album thrash yang bagus. Ianya teknikal tetapi dalam masa yang sama agak melodic. Solo gitar Kiko Loureiro lebih berjiwa. Sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada Marty Friedman atau mungkin Chris Poland

Namun begitu saya akan cuba untuk mendengar semula album-album zaman Chris Broderick dan Glen Drover sebagai perbandingan. Ada masanya suasana, ketika, emosi dan usia juga mmainkan peranan.


Monday, July 18, 2022

Phenomenon

Merujuk kepada komen Encik Skudal dalam entri Phenomenon lebih kurang 8 tahun yang lalu… akhirnya berjaya juga ianya dimiliki dalam bentuk piring hitam…


UFO - Phenomenon - 2019 double disc deluxe edition vinyl

Beberapa kali cuba membeli. Tetapi samada harga pos yang mahal atau kondisi lp/cover yang kurang elok menbantutkan niat. Tetapi apabila mendapat berita yang ianya akan dikeluarkan semula (reissue) pada tahun 2019, ianya adalah satu peluang yang tak boleh dilepaskan. Hasil kesabaran menunggu, akhirnya dapat juga membelinya dengan harga yang mampu milik. (£24.20 dengan pos dari Rarewaves UK)




Ini adalah versi 4 disc deluxe edition. Disc 1 dan 2 adalah album penuh Phenomenon. Manakala disc 3 dan 4 pula adalah album Live at The Electric Ballroom USA 1974. Sememangnya sangat berbaloi.



Sayangnya tak pernah ada versi kaset untuk dijadikan entri "gila format".

Album wajib bagi pengemar muzik hard rock umumnya dan pengemar muzik rock 70an khususnya. Rekomemded!


Tuesday, July 12, 2022

Hey Stoopid

 Lagi membeli sebuah kenangan….


Alice Cooper - Hey Stoopid (1991)

Kenangan zaman belajar di ITM. Kasetnya (kaset pinjam) terutamanya lagu "Might As Well Be on Mars" asyik di ulang-ulang pasang di walkman sampai habis bateri. Ntah kenapa suka betul dengan lagu ini. Lirik dan melodinya agak terkesan di hati.

Antara kaset pinjam yang hampir-hampir nak jadi harta sendiri. Berminggu atau berbulan atau mungkin juga hampir satu semester tak pulang. Tapi akhirnya dipulangkan juga. Kalau tak... jadi dah entri ni entri gila format…haha...


Alice Cooper sama seperti Aerosmith dan Whitesnake antara artis rock 70an yang berjaya meloloskan diri di era yang dipanggil sebagai hair metal. Itupun kerana mereka bersalin kulit mengubah muzik mereka mengikut aliran semasa. Kurang gemar dengan album-album awal beliau, tetapi trilogy Trash (1989), Hey Stoopid (1991) dan The Last Temptation (1994) adalah "holy grail" bagi yang minat beliau dari lewat 80an.

Tak ingat bila dan di mana versi cd dibeli. Tetapi versi piring hitam ini adalah antara yang baru berjaya dimiliki.  Antara yang menarik tentang album ini adalah barisan gitaris jemputannya. Joe Satriani, Steve Vai, Slash, Vinnie Moore dan Mick Mars…semua pun hebat. Tetapi yang lebih menarik lagi, bolehlah dikatakan yang kesemua lagunya sedap. Tak perlu skip!

3 album yang disebut tadi amatlah dicadangkan jika anda mahu mencuba dengar Alice Cooper di dalam genre pop metal.


Friday, July 8, 2022

Hall of the Mountain King

 Yang ke 5 dalam siri keluaran semula kesemua album Savatage dalam bentuk piring hitam...

Savatage - Hall of the Mountain King (1987)

Versi reissue ini diterbitkan pada 11 Februari yang lalu. Selamat sampai dalam simpanan pada awal bulan Mac. Baru sekarang ada kerajinan untuk menulis tentangnya.

Album ini adalah permulaan Savatage berubah. Bersama Paul O'Neill (penerbit yang bertanggungjawab mengubah hala tuju muzik mereka), mereka mula menghasilkan lagu-lagunya lebih progressif dengan memasukkan elemen opera di dalam muzik mereka. Ianya adalah sesuatu yang baru pada ketika itu dan akhirnya menjadi satu trend kepada band-band metal yang kemudian darinya.


Versi reissue ini dikeluarkan dalam 2 versi. Seperti pembelian sebelumnya, memang tak mampulah untuk membeli versi yang ada bonus single 7 inchi. Dapat versi biasa seperti yang ini pun dah cukup bagus dah. Dari segi packaging dan sound memang tak ada apa yang nak dikomplenkan.

Album ini sangatlah dicadangkan jika muzik kegemaran anda adalah di dalam lingkungan  heavy metal, power metal atau pun progressif metal opera dengan melodi dan solo-solo gitar yang membunuh.

Antara lagu yang tak jemu dengar dari album ini adalah "Strange Wings". Ianya adalah antara lagu yang sering saya selitkan dalam setlist kompilasi cd, mp3 mahupun playlist dalam spotify lagu-lagu kegemaran.


Tak pernah pula terjumpa versi kaset untuk dijadikan entri gila format. Ianya adalah album yang ke 4 saya dengar dari mereka selepas Gutter Ballet (1989), Edge Of Thorns (1993) dan Handful of Rain (1994). Maklumlah zaman sebelum internet yang hanya mengharapkan kedai kaset dan rakan-rakan.

# Lp reissue seterusnya yang sudah pun dimiliki adalah Gutter Ballet dan Streets: A Rock Opera (akan ada entri untuknya nanti. Yang berikutnya pula adalah Edge of Thorns dan Handful of Rain. Akan terbit pada 15hb Julai nanti. #hatigembirapoketmenangis.


Tuesday, July 5, 2022

Gila Format - South Of Heaven

 Sempena ulangtahun yg ke 34 pada hari ini...

Slayer - South Of Heaven (1988)

Album yang tak perlu di perkenalkan lagi. Semua yang mendengar muzik ekstreme pasti dah berpuluh kali mendengarnya. Blog ini pun dah pernah menulis tentangnya dulu.

Ianya adalah antara permulaan saya terjebak dengan thrash. Kasetnya di beli pada tahun 1989. Antara bekalan kaset yang di bawa ketika menuntut di ITM. Ianya diletakkan di atas meja untuk menunjukkan yang konon-kononnya kita adalah true bukannya seorang poser. Walhal dalam drawer ada beberapa keping kaset hair metal seperti Poison, White Lion, Warrant dan sebagainya...hahaha...


Ini bukanlah kaset yang asal. Yang itu tak pasti kemana hilangnya. Mungkin ketika berpindah. Yang pasti ianya bukannya hilang kerana dipinjam. Memang tak pernah bagi kawan pinjam. Kecuali kes terpaksa kepada seorang senior di minggu suai kenal. Kononnya dia seorang mat metal tetapi yang musykilnya dia tak pernah pun dengar Slayer...haha...

Kaset yang ini dibeli pada tahun 2018 melalui facebook. Tak sama dengan versi asal. Ada perbezaan dari segi susunan atur tulisan dan inlaynya. Ianya pernah diceritakan sebelum ini. 


Versi cd pula adalah dari dari Tower Records KL Plaza  dibeli sekitar tahun 1998. Manakala versi piring hitam pula adalah hadiah harijadi dari isteri yang di beli di Embrace Hall Café pada tahun 2020.

Sasaran "gila format" yang seterusnya kalau untuk Slayer adalah "Seasons in the Abyss"..



Friday, July 1, 2022

Lean into It

Piring terkini yang berjaya dimiliki...

Mr. Big - Lean into It (1991)

Baru sahaja buat cerita berkenaan album ini pada bulan Mac yang lalu >SINI< . Ketika itu tak tahu pun yang ianya ada dikeluarkan semula dalam bentuk piring hitam. (mungkin dah tak boleh guna dah perkataan ini. Kebanyakan keluaran semula (reissue) piringnya dah tak berwarna hitam ).

Ianya adalah versi ulangtahun ke 30 yang dikeluarkan bersempena dengan acara Record Store Day tahun 2021. Maklumlah tak mengikuti sangat acara RSD. Makanya tak berapa mengambil tahu apa yang dikeluarkan bersempena acara tersebut.


Membelinya pun secara tak sengaja. Dapat mesej whatsapp dari tuan punya kedai muzik fizikal Spyder 45 (Komplek Campbell), memang tak teragak-agak untuk membeli walaupun sebenarnya agak sesak…Maklumlah benda yang memang dah lama cari.

Salu lagi kisah #hatigembirapoketmenangis....😅