Thursday, September 29, 2022

Gila Format - B-Side Ourselves

Bersempena ulang tahunnya yang ke 30 pada 22hb September yang lalu...

Skid Row - B-Side Ourselves (1992)

Antara yang tak sangka akan di"gila formatkan". Kalau tak pasal kerana piringnya disertakan sekali dalam vinyl boxset The Atlantic Years (1989 - 1996), memang tak akan beli versi lp kecuali terjumpa dengan harga yang murah. Bukan pasal tak minat. Tetapi keutamaan lebih kepada mencari album penuh berbanding EP seperti ini.

B-Side Ourselves adalah himpunan 5 lagu cover dari pelbagai genre rock yang menjadi pengaruh kepada muzik Skid Row. Pernah menulis tentangnya dulu. >SINI<

Versi kaset dibeli pada tahun ianya dikeluarkan. Manakala versi cd pula adalah seperti kebanyakan cd-cd lain yang kononnya adalah versi "upgrade" daripada koleksi kaset. Tak boleh ingat bila dan dimana ianya di beli. Tetapi tak pernah pula terpikir yang ianya pada suatu masa nanti akan menjadi modal untuk ber"gila format".

Antara kenangannya, ia menjadi penyebab untuk saya mendengar muzik Ramones. Sebelum itu sekadar membaca namanya di majalah. Lagu "Psycho Therapy" yang dinyanyikan oleh Rachel Bolan membuatkan saya membeli kaset Ramones kemudiannya.

Ianya adalah berbaloi jika anda adalah pengemar Skid Row atau pun seseorang yang gemar melengkapkan kesemua discography sesuatu band. Tetapi untuk pendengar kasual...cukuplah kot sekadar cuba dengar di youtube ataupun Spotify...



Sunday, September 25, 2022

Vol. 4

Bersempena ulangtahunnya yang ke 50 pada hari ini, 25hb September... 


Black Sabbath - Vol. 4 (1972)

Teringat kata-kata Malmsteen, muzik heavy rock ketika beliau membesar di Sweden di tahun-tahun 70an adalah Deep Purple. Black Sabbath bagi beliau adalah zaman Dio. Saya rasa pengalaman beliau di Sweden tak jauh beza dengan pengalaman saya ketika membesar di Johor Bahru. Muzik rock ketika saya kanak-kanak di penghujung 70an adalah Deep Purple. Memang tak jumpa sesiapa yang dengar atau memiliki apa-apa rilisan Black Sabbath sehiggalah zaman Dio (Heaven and Hell - 1980).


Disebabkan itu, saya sememangnya kurang pendedahan terhadap album-album Black Sabbath di zaman Ozzy. Mula mendengar kesemuanya hanyalah ketika zaman MP3 (penghujung 90an). Vol. 4 adalah antara yang saya dengar tetapi tidak meninggalkan kesan. Untuk penulisan kali ini, saya cuba untuk mendengarnya sekali lagi.

Ternyata ianya sekali lagi tidak memberikan kesan untuk saya. Tidak pada penghujung 90an dulu dan tidak juga pada masa sekarang. Jangan salah anggap. Bukan nak kata yang ianya tak bagus. Tetapi ianya adalah sesuatu yang tak kena dengar selera. Saya sememangnya agak susah nak masuk dengan muzik yang berentak doom. Majoriti lagu-lagunya walaupun sound gitar Iommi agak berat tetapi ianya agak meleweh. Paling tak boleh tahan adalah lagu "Changes". Teringat ketika mendengar lagu ini di dalam kereta bersama isteri. Ianya memberi pandangan pertama kepada beliau yang begitulah muzik Black Sabbath....Nampak ganas tapi meleweh...hahaha...



Secara keseluruhannya ia bukanlah sebuah album akan selalu saya dengar. Cdnya pasti akan kembali terperuk dalam rak. Namun begitu kerja gitar Tony Iommi di dalam album ini adalah sesuatu yang patut dipuji. Power!


Monday, September 19, 2022

Gila Format - Blood Sugar Sex Magik

Yang terkini berjaya di"gila format"kan...

Red Hot Chili Peppers - Blood Sugar Sex Magik (1991)

"I love the Chilis freaky, uplift, mother's milk" - lirik dari lagu 31 flavors - Sacred Reich (The American Way - 1990) antara antara penyebab kenapa kaset album ini dulunya dibeli.

Tambah pula artikel tentang mereka selalu disiarkan di majalah-majalah rock orang putih terutamanya Kerrang!. Puji-pujian terhadap muzik mereka menyebabkan akhirnya terbeli juga kasetnya.

Ternyata ianya adalah pembelian yang berbaloi. Muzik mereka agak berbeza dengan muzik yang biasa saya dengar pada ketika. Ianya terasa segar dan akhirnya jatuh minat.

Maka tak hairanlah kenapa ianya antara album yang saya rasa patut di"gila format"kan. Versi kaset dibeli pada 7hb Jun, 1992. Melihat kepada keadaan inlaynya yang agak lusuh menandakan ianya adalah antara kaset yang sering diputar suatu masa dahulu.

Cd tak ingat bila ianya dibeli. Dulu zaman membeli di kedai fizikal rajin juga catit tarikh beli. Tetapi sejak membeli secara dalam talian memang tak tulis dah. Cd masih berkeadaan elok. Ianya jarang diputarkan berbanding ketika zaman kaset. Maklumlah ianya dibeli beberapa tahun kemudian. Zaman bersemangat nak dengar setiap hari tu dah tiada. Ianya sekadar membeli kenangan.


Versi piring hitam pula sememangnya sekadar melengkapkan koleksi. Album-album yang ada kenangan seperti ini sememangnya akan gagal melawan nafsu sekiranya terjumpa ianya dijual.

Ini adalah satu-satunya album RHCP yang saya minat. Album-album sebelum dan selepas walaupun ada lagu-lagunya yang sedap tetapi "magik" ketika mendengarnya tidak lagi sama...



Wednesday, September 14, 2022

Diamond Star Halos

Lagi sebuah band yang belum reti nak pencen... 

Def Leppard - Diamond Star Halos (2022)

Agak teruja juga ketika menantikan album ini diterbitkan. 2 dari 3 ("Take What You Want" dan "Kick" ) lagu awal yang dikeluarkan agak menarik. Ianya memberikan harapan yang Def Leppard telah sekurang-kurangnya cuba untuk kembali kepada era sebelum Slang. Tetapi gerak hati masih ragu-ragu untuk membuat pre-order terutamanya versi lp. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menunggu versi spotify sebelum membuat keputusan tentang pembelian secara fizikal.

Ternyata gerak hati saya betul. Lagu-lagu lainnya tidak mencapai apa yang saya harapkan. Mereka sememangnya bukan lagi Def Leppard yang lama. Muzik mereka kini lebih cenderung kepada pop rock berbanding hard rock. Saya sememangnya tidak mengharapkan yang mereka akan kembali ke era NWOBHM, tanpa Pete Willis dan Steve Clark sememangnya mereka tak akan dapat ke situ. Cukuplah sekadar sekurang-kurang mereka kembali ke era Adrenalize (1992). Tetapi ternyata tidak.

Saya akhirnya membuat keputusan untuk sekadar membeli cd. Itu pun kerana penyakit "cdholic" saya yang tiada ubat. Ianya mungkin akan hanya 2,3 kali dimainkan sebelum kemudiannya terkubur di rak….



Saturday, September 10, 2022

Universal

 Antara yang terkini dalam pasaran...

Michael Schenker Group - Universal (2022)

Ini adalah album kedua beliau selepas kembali menggunakan nama Michael Schenker Group. Kali terakhirnya adalah tahun lepas (Immortal). Memang aktif betul. Hampir setiap tahun ada sahaja album studio atau live baru dari beliau walaupun menggunakan pelbagai nama.

Dari pendengaran telinga saya, album kali ini adalah lebih sedap berbanding Immortal. Mungkin ianya hanya perasaan saya sahaja. Saya agak kurang gemar dengan band yang menggunakan pelbagai pemuzik/penyanyi untuk sesuatu album. Tetapi apabila majoriti lagu-lagunya kali ini dinyanyikan oleh Ronnie Romaro,  barulah rasa yang ianya seperti sebuah band yang sebenar. Bukan lagi sekadar projek band. Tambahan pula Ronnie akan menyanyi untuk tour Michael Schenker Group.

Namun begitu album ini tetap menampilkan beberapa vokalis jemputan seperti Michael Kiske, Gary Barden dan Ralf Scheepers. Yang menariknya juga, bekas anggota Rainbow seperti Bobby Rondinelli (drums), Bob Daisley (bass) dan Tony Carey (keyboards) turut juga dipanggil untuk memainkan beberapa lagu khas tribute untuk Rainbow.

Suatu yang menarik tentang Michael Schenker walaupun beliau adalah seorang gitaris yang hebat, setiap album beliau tidak terlampau menonjolkan kehebatan kerja gitar semata-mata. Beliau lebih mengutamakan melodi lagu itu sendiri. Ini menjadikan album-album beliau boleh dinikmati oleh semua golongan bukan hanya setakat peminat gitar.

Tidak dinafikan yang beliau adalah hero gitar saya. Album ini sememangnya akan bertambah sedap jika anda boleh menikmatinya tanpa terlalu bernostalgia dengan hasil kerja beliau ketika bersama UFO mahupun MSG yang awal.


Tuesday, September 6, 2022

Wake Me When It's Over

 Ulang tahun yang ke 33 pada hari ini....


Faster Pussycat - Wake Me When It's Over (1989)

Kebelakangan ini sedikit kemaruk untuk mendengar kembali album-album akhir 80an dan awal 90an yang dikategorikan sebagai hair ataupun glam metal. Ada masanya tak perlulah kita terlalu serius. Dan album-album dalam kategori ini kebanyakannya tidak memerlukan kita untuk menjadi serius. Ianya adalah untuk berhibur. Tambahan pula mereka selalunya mempunyai shredder yang bagus.

Faster Pussycat adalah salah satu kumpulan yang tidak saya endahkan pada ketika itu. Maklumlah lebih sibuk dengan muzik yang lebih ekstrim dan takut digelar poser…hahaha…. Satu-satunya lagu mereka yang saya tahu hanyalah lagu balada "House of Pain". Dan ia sememangnya sedap.

Mula mendengar muzik mereka adalah ketika zaman trade/beli cd MP3 ketika awal tahun 2000an. Tetapi tidak pernah pula terjumpa cd mereka ketika zaman kemaruk ebay pos percuma dari E-stock sehinggalah Dr. Rizal menghadiahkannya kepada saya 3 tahun yang lalu.


Mereka adalah seperti kebanyakan band hair/glam metal yang wujud pada penghujung 80an dulu. Tiada apa yang baru. Rock and roll dengan pengaruh blues. Tetapi ada sesuatu dari mereka yang membuatkan saya tertarik. Mungkin melodinya yang "catchy". Atau mungkin juga kerana selera muzik saya sejak kebelakangan ini agak terarah kesitu. 

Wake Me When It's Over tidak memerlukan analisa yang serius. Bukan juga sesuatu yang diluar jangkaan. Ianya adalah sebuah muzik yang kita perlukan setelah seharian penat bekerja…baring di sofa…tekan "play" dan nikmati suasananya….


*Album-album sebegini kalau direissue semula dalam bentuk lp… memang agak goyanglah untuk menahan diri dari tidak membeli…haha...


Thursday, September 1, 2022

Hate über Alles

Sekumpulan orang tua yang masih terus berkarya..haha…


Kreator - Hate über Alles (2022)

Bila bercerita tentang album baru dari band-band lama, pastinya akan ada sentimen "nostalgia". Saya rasakan yang Kreator juga turut bernostalgia. Album terbaru ini pada saya tidak lari jauh dari album sebelumnya, Gods of Violence (2017). Tetapi adakah ianya lebih baik?.. Saya sedikit berbelah bahagi untuk membuat keputusan.

Album ini masih mengekalkan ciri-ciri lagu yang aggresif tetapi bermelodi. Rasanya formula ini telah mereka guna pakai semenjak Violent Revolution (2001). Gabungan era thrash 80an dan melodic 90an mereka. Cuma kali ini ianya kedengaran terlalu Slayer. Ianya adalah sebab kenapa saya katakan yang mereka turut bernostalgia. 


Lagu-lagunya bagus tetapi entah kenapa saya sering hilang tumpuan ketika dipertengahan cd. Mungkin ianya hanya saya, peningkatan usia sememangnya memberi kesan kepada penumpuan. Atau mungkin juga kerana lagu-lagunya kedengaran hampir sama. Tetapi perlu diakui, 2 lagu awalnya memang hebat.

Kesimpulannya… ia sebuah album yang bagus…sedap….laju dan melodic… tetapi sedikit meletihkan…