Friday, March 22, 2024

Sudah sampai sini - Kedai muzik fizikal di England bahagian 2

Sambungan dari >SINI<

3 - Quayside Market, Newcastle


Konsepnya lebih kurang seperti pasar pagi atau pasar karat di Malaysia. Yang menarik ianya terletak di sepanjang tebing sungai. Memang cantiklah pemandangannya. 


Pelbagai barangan di jual disini. Baju, kraftangan, barangan antik dan bermacam lagi termasuk makanan. Perut lapar tak ada masalah. Ada banyak makanan halal terutamanya makanan Arab dan Pakistan. Ada juga satu gerai makanan Indonesia. Tak letak gambar pasal ini bukan entri pasal makanan...hahaha..


Dan sudah semestinya apa yang dicari adalah gerai menjual lp terpakai. Harganya memang murah. Sekeping £3 dan kalau beli 2 dapat £5. Tetapi sama seperti di Malaysia, kebanyakan memang susah nak dapat dengan tajuk-tajuk yang menarik. Yang menarik pastinya dah dikebas orang. Dan kalau ada pun harganya pasti yang bukan mampu milik.

Hasilnya memang tak beli apa-apa pun walau ada juga lp artis-artis 80an yang berkenan. Tetapi kondisinya yang agak kurang elok membantutkan niat untuk membeli.


4 - Portobello Road Market, London


Yang ini pun konsepnya lebih kurang sama dengan Quayside Market. Tetapi lebih besar dan panjang deretan gerainya. Ianya berdekatan dengan "The Blue Door" dari filem Notting Hill. Sambil-sambil tengok deretan barangan antik, baju, pelbagai aksesori dan makanan, boleh juga la "feeling feeling" jadi Hugh Grant dan Julia Roberts.. 😎

Terjumpa juga sebuah restoran Malaysia (Makan Cafe). Sempat jugalah pekena nasi campur 2 lauk. Dan ianya adalah nasi campur paling mahal dalam sejarah yang pernah saya makan - £10.50 = +-RM63 untuk sepinggan. (Tak ada gambar juga pasal ini bukannya cerita pasal makan...hahaha...)


Dan seperti juga di Quayside Market, yang dicari sudah semestinya gerai menjual cd dan lp. 

Tak jalan habis. Nak kejar masa. Tetapi sempat jumpa menyinggah 2 gerai cd dan lp. Gerai gambar di atas menjual kebanyakannya lp baru yang masih seal dengan harga pasaran. Ada juga cd terpakai yang harganya bukanlah harga rahmah. Nampaknya pasar karat di sini harganya tak ada lah murah mana pun. Ditambah dengan RM kali 6 memang tak berapa nak ada kuasa membeli.
.

Gerai kedua lupa pula nak ambil gambar. Tetapi di jaga oleh seorang penjual berkulit hitam yang agak peramah buat muka pelik bila dapat tahu yang saya mencari lp heavy metal…Mungkin juga muka saya adalah muka seorang peminat Taylor Swift…haha…


Gerainya lebih kepada menjual lp 7 inci terpakai. Tak banyak pilihan untuk 12 inci. Paling rock yang dia sendiri pun cakap “not enough metal for you” adalah ZZ Top.

Tetapi jangan kata nanti pulang tangan kosong. Beli juga la 2 keping 7 inci ini dengan harga sekeping £5.  Tak ada lah murah pun sebenarnya….


Bersambung ke bahagian 3 pula...

No comments:

Post a Comment