Monday, October 28, 2024

30 tahun King of the Kill

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 10hb Oktober yang lalu...

Annihilator - King of the Kill (1994)

Album ini tidak masuk ke pasaran Malaysia. Label baru mereka (Music For Nations) tidak memasarkannya ke sini. Tanpa teknologi internet pada ketika itu, memang agak sukar untuk mendengarnya.

Kegagalan album "Set The World On Fire" (1993) menembusi pasaran mainstream menyebabkan kontrak mereka bersama Roadrunner Records ditamatkan, dan Jeff Waters menjadi satu-satunya anggota yang tinggal.

Namun ianya bukanlah satu masalah. Annihilator sememangnya Jeff Water. Tiada masalah untuk beliau bergerak sebagai "one man band".  Selain bahagian drum yang dikhabarkan menggunakan drum machine, beliau memainkan semua instrumen termasuk vokal. 

Album ini membawa Annihilator kembali ke landasan thrash. Ada juga beberapa elemen komersial seperti album sebelumnya. Walaupun beliau sedikit terpengaruh dengan groove ala Pantera yang sedang popular pada ketika itu, King of the Kill masih mengekalkan identiti muzik Annihilator.

Semenjak berpeluang mendengarnya. Ianya menjadi salah satu album kegemaran. Mungkin beliau sepatutnya menyanyi dari album yang awal tanpa perlu bertukar-tukar vokalis. Beliau sememangnya boleh menyanyi dengan bagus.


Friday, October 25, 2024

50 tahun Rocka Rolla

Yang dah berumur 50 tahun pada 6hb September yang lalu... 

Judas Priest - Rocka Rolla (1974)

Permulaan mereka mencari arah. Ianya jauh berbeza dari Judas Priest yang kita kenal sekarang. Mereka masih terikut-ikut gaya muzik popular pada ketika itu. Era hard rock 70an yang bluesy, progresif dan psychedelic. Tetapi yang pastinya identiti twin guitar solo dari K.K Downing dan Glenn Tipton dah boleh dikesan sejak dari sini.

Saya secara peribadinya tak pernah mendengar album ini sehinggalah wujudnya zaman mp3. Tak pernah terjumpa kaset ataupun cdnya ada dijual disini. Tahu pasalnya pun hanya melalui majalah. Tertarik dengan konsep covernya dan penyakit mengumpul keseluruhan discography sesebuah band menyebabkan akhirnya membeli cd ini ketika zaman pandai mengebay.

Kalau minat hard rock 70an mungkin boleh suka. Tetapi kalau suka zaman heavy metal, mungkin boleh bermula dari album yang selepas dari ini.


Tuesday, October 22, 2024

Paul Di'Anno's Warhorse

Baru bercadang untuk menulis tentang cd ini. Ianya baru dibeli dalam beberapa hari yang lalu.

Paul Di'Anno's Warhorse (2024)

Sedang dalam mendengar dan mencari idea untuk menulis, tiba-tiba terbaca berita yang Paul Di'Anno telah meninggal dunia. Satu lagi kenangan silam yang dah tiada. 

Walaupun saya mula mendengar Iron Maiden ketika zaman Bruce Dickinson, tetapi 2 album beliau bersama Iron Maiden tetap menarik hati. Terutamanya jika mahukan Iron Maiden yang straight forward heavy metal.

Remember Tomorrow, Running Free, Phantom Of The Opera, Wrathchilds, Killers, Prodigal Son adalah antara yang entah berapa puluh atau ratus kali dimainkan sejak dari usia remaja membawa ke umur KWSP.

Terima kasih Mr. Paul Di'Anno (17/05/1958 - 21/10/2024) kerana mewarnai kehidupan zaman remaja. Beliau pernah mengaku yang dia Muslim. Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Sedikit info tentang album Warhorse. Ianya adalah antara projek Di'Anno yang terakhir. Semua muzik, lirik dan instrumen dimainkan oleh 2 gitaris berbakat dari Croatia, Hrvoje Madiraca dan Ante Pupačić Pupi. Album ini berkonsepkan straight forward heavy metal ala 80an dengan sound produksi terkini. Memang best!



Monday, October 21, 2024

Ten

Lagi album terkini di pasaran... 

Mr. Big - Ten

Kalau ini album terakhir Mr. Big saya mengharapkan ianya adalah sesuatu berbaloi untuk saya ingati. Sayangnya ia tidak seperti yang diharapkan. Bukanlah nak kata ianya tidak bagus. Bagus! tetapi ianya tidak mencapai status hebat Mr. Big yang saya harapkan.

Saya faham mereka berevolusi. Dah lama sebelum zaman Richie Kotzen lagi. Sekurang-kurangnya pun saya mengharapkan yang ianya setanding dengan Defying Gravity (2017). Malangnya tidak. Nasib juga ada beberapa solo hebat Paul Gilbert yang jadi penyelamat. Sayang.. kalau ini album terakhir mereka, Billy Sheehan sepatutnya memainkan peranan yang lebih lagi.

Mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Tetapi mereka Mr Big. Taraf mereka sememangnya patut tinggi. Secara keseluruhannya ini adalah album hard rock yang bluesy. Jika anda tidak mengharapkan lagu-lagu laju seperti beberapa album awal, mungkin ini versi Mr. Big yang bersesuaian dengan selera.

Satu lagi, drummer baru mereka juga bagus. Pengganti yang sesuai untuk mendiang Pat Torpey. Harapnya akan ada album no 11. Ini bukanlah penutup yang sesuai...


Friday, October 18, 2024

30 tahun Moster

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada 26hb September yang lalu...

R.E.M. - Monster (1994)

Ini adalah album yang saya beli kerana pengaruh dari radio dan tv. Lagu "What's the Frequency, Kenneth?" sering saya dengar di radio. Video clipnya pula selalu ditonton di MTV dan Channel V. Lagunya yang mempunyai sound gitar yang agak kasar membuatkan saya tertarik untuk membeli kasetnya.

Monster menepati ciri-ciri muzik alternatif yang sedang popular pada ketika itu. Walaupun ianya bukanlah genre kegemaran. Tetapi hidup di zaman tersebut memang tak boleh lari dari mendengar muzik sebegini. 

Lagu tak kira apa pun genrenya kalau sedap ditelinga pasti akan menjadi kegemaran. "What's the Frequency, Kenneth?" adalah satu contoh untuk saya. Tetapi jangan ditanya lagu-lagu lainnya. memang tak ada langsung dalam kepala...haha..

*versi kaset di beli pada 16/10/1994 manakala cd ketika zaman ebay estock dengan harga hanya belasan ringgit.

Tuesday, October 15, 2024

50 tahun Kiss

Yang menyambut ulangtahun ke 50 pada tahun ini (18 Februari)

Kiss - Kiss (1974)

Album pengenalan Kiss. Kalau kita semak senarai lagunya memang banyak lagu popular mereka ada di dalam album ini. Mungkin ianya bolehlah dikategorikan sebagai salah satu debut album terbaik dalam sejarah.

Saya agak lambat dalam mendengar Kiss. Lebih awal tahu mengenai imej mereka (penghujung 70an) berbanding lagu-lagunya (awal 80an). Saya rasakan mereka secara muzikalnya tidaklah seganas imej mereka. Ianya penyebab kenapa saya tidak tertarik dengan mereka. Maklumlah pada ketika itu (pertengahan 80an) saya telah mula mendengar muzik yang lebih berat.

Tetapi bila semakin berusia, perasaan untuk mendengar Kiss tiba-tiba muncul apatah lagi bila membaca yang kebanyakan hero metal saya adalah peminat Kiss.

Muzik mereka tidaklah seberat ACDC. Tetapi mereka lebih straight forward rock n' roll berbanding ACDC yang lebih bluesy.  Ianya adalah penyebab intuk saya suka. Dan album ini adalah salah satu contohnya.

Best! 


Thursday, October 10, 2024

Forever

 Lagi yang terkini di pasaran...

Bon Jovi - Forever (2024)

Saya suka beberapa lagu dari album sebelumnya (2020). Sebab tersebut dan gambar cover album terbaru yang menarik hati membuatkan saya membeli cd ini tanpa cubaan di Spotify.

Bon Jovi dah lama berubah. Mereka bukan lagi "long hair rock n roll band". Makanya tak perlu untuk berharapan tinggi. Tanpa Richie Sambora, sound gitar berdistorsi bukanlah lagi tumpuan utama.

Mereka kini lebih kepada band pengiring Jon yang memainkan muzik pop rock dengan pengaruh country seperti Bruce Springsteen.

Ianya bukanlah tak sedap. Banyak sahaja lagu yang sedap. Jon masih banyak idea. Tetapi bagi yang gemar dengan muzik Bon Jovi yang asal ianya sesuatu yang agak payah juga untuk di hadam. Maklumlah genrenya sudah berbeza..


Monday, October 7, 2024

Toxic Grace

 Lagi album baru yang terkini dipasaran...

Evidead - Toxic Grace (2024)

Annihilation of Civilization adalah antara album thrash kenangan zaman remaja. Sayangnya mereka berkubur dengan hanya sebuah lagi album selepas itu.

Saya hampir terlupa tentang mereka sehinggakan terlepas pandang ketika mereka melakukan reunion dengan album United $tate$ of Anarchy pada 4 tahun yang lalu. Ianya sebuah album "comeback" yang bagus. 

Sayangnya album terbaru ini (yang ke 4 keseluruhan dan ke 2 selepas reunion) agak kurang memberikan kesan. Ia kedengaran sangat biasa. Terlampau generic. Tawar dan kurang warna.

Namun begitu ianya masih sebuah album yang ok. Mereka masih berpaksikan thrash. Tetapi tidaklah sebagus album album yang sebelumnya. Tiada lagu yang betul - betul menonjol. Hampir kesemuanya mudah dijangka. 


Thursday, October 3, 2024

50 tahun Burn

Yang dah mencapai usia 50 tahun pada 15 Feb yang lalu...

Deep Purple - Burn (1974)

Permulaan era Mk III. Tapi ketika itu tak paham apa pun. Pertama kali mendengar Deep Purple dan tahu itu adalah Deep Purple adalah di zaman sekolah rendah (penghujung 70an atau awal 80an). Tetapi tak tahu pun siapa penyanyinya. Satu-satunya info tentang Deep Purple adalah Ritchie Blackmore. Kuat betul pengaruh beliau kepada budak/remaja pada zaman tersebut.

Itu bab gitar, tetapi kalau vokal sudah semestinya David Coverdale. Tetapi pada ketika itu saya masih konpius antara beliau dan Ian Gillan dan juga Deep Purple dan Whitesnake. Maklumlah zaman budak katak bawah tempurung.

Antara lagu wajib abang-abang pada zaman tersebut adalah "Mistreated". Tetapi saya agak susah nak hadam. Dan ianya masih susah nak hadam sehinggakan sekarang. Saya mempunyai masalah dengan lagu-lagu yang agak bluesy. Tetapi tidak dengan lagu "Burn". Ia adalah lagu kegemaran sejak kali pertama mendengarnya. Lagu-lagu rock n roll sebegini sememangnya kena dengan jiwa.

Kali pertama melihat gambar cover album ini memang rasa takut. Gambar kepala manusia dengan lilin terbakar dia atasnya memang agak menyeramkan bagi seorang budak kampung berusia bawah 10 tahun...