Thursday, May 31, 2018

Vovin

Yang menyambut ulang tahun ke 20 pada 4hb Mei yang lalu...


Therion - Vovin (1998)


Asalnya tak ambil tahu sangat perihal Therion. Ingatkan mereka band black metal. Maklumlah, saya agak kurang mendengar muzik Black Metal.

Lagu pertama mereka yang di dengar adalah lagu cover Loudness – Crazy Nights. Dari situ terus rasa nak ambil tahu. Tambahan pula vokalis undangannya adalah Ralf Scheepers. Minat vocal beliau sejak zaman Gamma Ray. Kemudiannya mula menjejaki album-album mereka yang lainnya.

Mereka asalnya adalah band death metal. Tetapi untuk Vovin, tiada lagi acuan death metal. Lagu-lagu mereka kini dipenuhi dengan bunyian orchestra dan vocal secara choir. Genre yang lebih dikenali sebagai symphonic metal. Tetapi rasanya banyak juga pengaruh gothic di dalamnya.


Muzik sebegini tak ramai yang boleh hadam. Ada ketikanya memang menarik. Sedap. Tetapi dalam masa yang lainnya, agak membosankan juga. Terutamanya pengaruh gothic yang menyebabkan ianya sedikit meleret.

Lagu-lagu sebegini bagi saya hanyalah untuk di dengar sekali sekala. "The Rise of Sodom and Gomorrah" memang sedap. Ada 2, 3 lagi lagu yang sedap. Tetapi lagu-lagu lainnya memang cepat membuatkan rasa bosan terutamanya kalau nak di dengar selalu.


*sedang cuba mendapatkan album2 zaman death metal mereka






Monday, May 28, 2018

Operation: Mindcrime

Album yang sering dikatakan sebagai penanda aras untuk menghasilkan konsep album dan genre progressif rock/metal ini telah pun 30 tahun usianya pada 2hb Mei yang lalu...


Queensrÿche - Operation: Mindcrime (1988)

Terus terang saya katakan yang saya mengambil masa yang agak lama untuk hadam dan menyukai album ini. Zaman muda yang seleranya lebih kepada straight forward heavy metal, album yang berbentuk progressif seperti ini sememangnya agak kurang memberikan kesan.

Progressif rock/metal bukanlah selera utama saya. Sebab itu saya agak kurang gemar dengan Dream Theater. Mendengar Operation: Mindcrime sememangnya mengingatkan saya kepada Dream Theater. Pada saya, Queensrÿche adalah band yang agak underated. Tetapi album mereka, Operation : Mindcrime tidak. Carilah dimana-mana pun artikel tentang concept album rock/metal terbaik pastinya nama Operation : Mindcrime antara nama yang selalu disebut-sebut.

Tidak boleh dinafikan ini sememangnya sebuah konsep album yang terbaik. Jika anda jenis yang suka mendalami lirik dengan jalan cerita yang menarik. Kisah Nikki, Mary, Dr. X dan Father Williams dalam Operation : Mindcrime pastinya akan menarik minat anda.


Jika tidak pun, mungkin muziknya. Terutamanya jika anda pengemar genre progressif rock/metal. Tetapi untuk saya, sebab utamaya adalah kerana kerja gitar Chris DeGarmo. Dengarkan lagu seperti "Speak" dan "Spreading the Disease". Solo-solo beliau dan gandingannya bersama Michael Wilton memang secukup rasa. Memang lazat.

Jika itu pun tidak untuk anda. Mungkin bahagian chorus lagu-lagunya yang agak catchy dan melodic dapat memikat hati. Di tambah pula dengan vokal Geoff Tate yang sememangnya diakui antara vokalis terbaik dalam genre sebegini.

Tetapi jika tak boleh juga nak hadam. Tak dapat nak tolong dah....20 kali dengar tak masuk-masuk...sila cari genre lain...😀







Friday, May 25, 2018

Open Up and Say... Ahh! (Pt. 2)

Untuk menjawap persoalan ini...dari entri >INI<

Ijau D. Koceng May 13, 2018 at 5:35 PM  -  "ada kebarangkalian tak album ni masuk kategori "gila format" pada masa akan datang?"





Iyer...memang dah di "gila format" kan pun...tapi hari tu terlupa nak letak dan malas pula nak mengambil gambar semula...

Semoga menjawap pertanyaan...hahaha...




Wednesday, May 23, 2018

The New Order

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 5hb Mei yang lalu...


Testament - The New Order (1988)

Banyak betul album-album best dari tahun 1988. Mungkin kerana ianya adalah antara tahun-tahun kemuncak kegemilangan muzik rock dan metal. The New Order adalah salah satu darinya.

Seperti juga The Legacy, ini adalah antara album yang dulunya hanya mampu membaca ulasan-ulasan tentangnya dalam majalah. Selepas kali pertama mendengar muzik Testament dalam tahun 1989 (Practise What You Preach), cuba juga untuk mencari album-album mereka yang sebelumnya. Tetapi faham-faham sahajalah zaman tersebut. Kekangan kewangan seorang pelajar dan sukar pula untuk mendapatkannya di pasaran.


The New Order adalah kisanambungan The Legacy. Muzik thrash acuan Bay Area yang melodic. Sekali dengar dah hadam dan melekat melodinya dalam kepala. Memang sedap. Tambahan pula jika anda sukakan solo-solo gitar berjiwa dan melodik. Alex Skolnick tidak pernah menghampakan. Gandingan harmonic beliau bersama Eric Peterson sememangnya tiang asas Testament.

Testament untuk saya adalah 5 album terawal mereka. Dan The New Order adalah sebuah lagi album yang patut anda cuba jika anda gemarkan muzik thrash metal ala Bay Area.

Best!







Sunday, May 20, 2018

Kaset

Tak ada niat pun nak mengumpul kaset. Apa yang dah ada dari dulu itu sahajalah yang di simpan. Memang jarang pun main kaset walaupun kat rumah ada 2 cassette player. Malas nak cuci head kotor.


Tapi bila ternampak kaset-kaset ini di jual di FB rasa tergerak hati pula nak beli. Tambah pula harga yang murah dan nampak macam tak ada orang lain yang berminat nak beli. Kesemua kaset-kaset ini ada kenangannya yang tersendiri. 2 daripadanya pernah ada tetapi dah hilang ntah kemana.

Slayer - South Of Heaven (1988)
Kaset Slayer pertama saya. Di beli pada tahun 1989. Ketika mula tersampuk demam thrash. Antara kaset yang paling disayang dan sering berputar dalam walkman jenama Philips ketika menuntut di ITMCJ. Tak pasti bila hilang. Mungkin juga ketika di ITM.

Covernya agak berlainan. Kalau tak silap kaset 1st press kepunyaan saya tulisan "South" terletak di atas manakala "Of Heaven" di bahagian bawah cover. Inlaynya gambar band penuh satu page dan tulisan Def Jam Recording satu page. Bukan seperti gambar di atas. Lebih malang saya tak rasa kaset yang saya beli ini kaset asli. Tak ada pun satu tulisan Def Jam Recording di mana-mana walau di kasetnya sekali pun.

Tak apa lah...sekurang-kurangnya ada juga versi kaset walaupun bukan yang asal. Boleh juga buat pemangkin untuk terjebak dalam giler format. 😀


Sepultura - Beneath The Remains (1989)
Ini pula kaset Sepultura pertama saya. Di beli tak lama selepas kaset South Of Heaven. Kaset yang menjadikan saya semakin kemaruk dengan thrash. Juga antara yang sentiasa melekat dalam walkman. Ini pun sama. Tak pasti bila hilang. Sedar-sedar dah tak ada dalam simpanan.

Versi yang di beli ini pun tak sama dengan versi 1st press. Yang asal mempunyai gambar cover penuh  dan diterbitkan oleh Road Runner. Yang ini pula adalah terbitan ROCK. Label yang biasa di lihat pada tahun 90an. Berdasarkan inlaynya, saya rasa terbitan ini adalah dari siri Remasters pada tahun 1997. Saya mempunya cd remasters tahun 1997 edaran ROCK Records yang mempunyai inlay yang hampir sama.

Tak apalah. Janji ada sebagai penganti. Ini juga mempunya potensi untuk di giler formatkan...huhu..

Pretty Boy Floyd - Leather Boyz with Electric Toyz (1989)
Yang ini tak pernah ada kasetnya sebelum ini. Sekadar pinjam kawan. Di zaman kemaruk thrash, saya juga masih mengambil tahu perihal glam metal. Ianya adalah muzik halwa telinga sebelum terjebak dengan thrash.

Pretty Boy Floyd adalah generasi Glam Metal yang terlewat. Kalau mereka lahir lebih awal seperti Poison pastinya nama mereka akan menjadi lebih besar. Leather Boyz with Electric Toyz adalah sebuah album glam metal yang baik. Malah ianya adalah antara album yang saya cadangkan untuk didengar bagi genre tersebut.

Banyak lagu sedap. Yang menjadi pilihan saya adalah yang lagu yang menjadi tajuk album, "Rock N Roll (is gonna set the night on fire)" dan "Only The Young". Tapi kalau nak yang slow rock, boleh cuba "Wild Angels" dan "I Wanna Be With You"...memang cair...

Yang ni masih jauh untuk digiler formatkan...cdnya pun masih lagi dalam proses mencari....




Wednesday, May 16, 2018

Powerage

Yang dah 40 tahun usianya pada 5hb Mei yang lalu...


AC/DC - Powerage (1978)

Dah pernah buat entri pasal album ini 6 tahun yang lalu. Rujuk >SINI<

Saya bukanlah pengemar ACDC pada asalnya. Zaman awal terjebak dalam muzik rock, saya lebih mengenali logo mereka berbanding lagu-lagunya. Tiada siapa yang berada di sekitar saya yang mengemari ACDC. Oleh sebab itu saya agak lambat untuk mendalami muzik mereka.


ACDC adalah sebuah band yang tidak mudah hadam. Ramai yang berangapan muzik mereka hampir sama sahaja. Tetapi jika anda dapat memahami muzik mereka, ianya akan menjadi satu ketagihan. Itu yang terjadi kepada saya. 6 tahun yang lalu adalah tahun yang mana saya cuba untuk memahami muzik mereka. Kemudiannya terjebak dan membeli hampir keseluruhan album studio mereka.

Namun begitu, Powerage bukanlah sebuah album yang saya cadangkan jika anda baru hendak bermula. Separuh kedua untuk album ini sememangnya agak mendatar dan kedengaran agak sama sahaja. Memang langsung tidak sesuai untuk beginner.


Tetapi jika hendak mencuba juga. Saya cadangkan lagu Sin City atau Rock And Roll Damnation atau Riff Raff dan mungkin juga Down Payment Blues. Tapi jika semua ini tak boleh masuk, sememangnya anda bukanlah untuk ACDC.


*salam ramadhan untuk pembaca setia berteromber walaupun tuan tanahnya dah tak berapa nak setia untuk menulis sepanjang masa...terima kasih.







Sunday, May 13, 2018

Open Up and Say... Ahh!

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 3hb Mei yang lalu...


Poison - Open Up and Say... Ahh! (1988)

Kenangan mendengarnya buat kali yang pertama 30 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Cepat betul masa berlalu. 1988 adalah antara tahun kemuncak saya gilakan muzik rock. Zaman tu janji rambut panjang dan muzik dengan gitar distortion bagi saya dan rakan-rakan sekampung adalah muzik rock. Tak kira Metallica ker, Slayer ker atau pun Bon Jovi. Saya dan rakan-rakan sekampung mendengar kesemuanya.

Bila melanjutkan pelajaran di ITM, berkawan dengan geng-geng underground, barulah saya tahu adanya kasta, kelas dan diskriminasi dalam muzik yang orang kebanyakan memanggilnya sebagai rock.. Mendengar muzik seperti Poison adalah satu dosa besar jika anda juga sukakan Sepultura ataupun Morbid Angel. Anda layak digelar sebagai poseur. Kalau difikirkan balik agak lawak juga. Muzik ekstrem yang kononnya about breaking the law tetapi sebenarnya ada banyak law yang harus dipatuhi. Disebabkan itu juga saya lebih senang menjadi lone ranger dari duduk di dalam scene underground. Lagipun saya bukanlah pemuzik. Saya hanya peminat muzik rock. Tak penting pun.


Pada ketika itu, atas dasar berkawan dan nak juga tunjuk yang kita adalah "true", kaset Open Up and Say...Ahh! ini kenalah simpan dalam laci. Tak bagi orang nampak. Kalau kaset South Of Heaven, Beneath the Remains ataupun  Altars of Madnes barulah layak untuk di letak atas meja study...(biasalah...zaman muda mudi...hahaha...)

Tetapi sejujurnya album seperti inilah yang sering menjadi peneman saya untuk study di malam hari.. Lagu-lagu mood hapy dan ceria seperti tajuk lagu mereka, Nothin' But A Good Time memang sangat sesuai untuk peneman study.

Open Up and Say... Ahh! adalah album yang membawa Poison kekemuncak. 5 X platiunum. No 2 dalam carta album. No 1 untuk single "Every Rose Has Its Thorn". 3 lagu lainnya pula ("Nothin' but a Good Time", "Fallen Angel" dan"Your Mama Don't Dance") memasuki carta Top 10. Satu pencapaian yang tidak dapat mereka ulangi sehingga kini.


Ianya adalah kenangan zaman remaja saya. Tak kisah orang nak kata apa. Poison akan sentiasa ada soft spot di dalam hati.

Don't need nothin' but a good time
How can I resist
Ain't lookin' for nothin' but a good time
And it don't get better than this



Sunday, May 6, 2018

Helloween Pumpkins United World Tour Live in Mega Star Arena, Kuala Lumpur (28 April 2018)

Ok la...ramai dah tanya...(maaf kalau ayat lintang pukang dan gambar/video tak lawa...maklumlah handphone cap ayam dan tiket pprt)

Dah seminggu kejadian berlaku. Tapi masih terbayang-bayang. Kalau ikut hati malas nak tulis panjang-panjang. Cukuplah sekadar ayat PUAS HATI atau BERBALOI dengan rating 110%....titik!


Tapi memang betul. Memang puas hati. Penantian 30 tahun yang berbaloi. Saya mula mengenali muzik mereka pada tahun 1988 dengan album Keeper Of The Seven Keys Pt 2. Malah tshirt rock pertama saya juga adalah Keeper Of The Seven Keys Pt 2. Dibeli di Rock Station, Komtar Johor Bahru pada tahun 1989. Bukan warna hitam...tetapi warna biru. Ianya menjadi punca tshirt tanpa kolar diharamkan di ITM Segamat. Bab tu lain kalilah boleh cerita...haha..

Bagi seseorang yang menjadikan Kai Hansen sebagai idola gitar heronya, konsert ini seperti impian jadi nyata. Tak kisahlah walau hanya sekadar mampu tiket PPRT. Tak kisahlah kalau mereka pun dah tua, Michael Kiske pun dah tak ada rambut. Yang penting akhirnya merasa juga menonton mereka secara langsung di depan mata.

Gambar selingan. 1st time cuba Burger Ramly. Tapi rasanya sedap lagi yang orang jual kat stall burger tepi jalan tu...
Berdua memandu dari JB. Selepas 5 jam lebih berada di atas highway PLUS. Hujan dan jem dibeberapa tempat. 5.30 baru sampai Tangkak. Dan entah berapa puluh kali nampak billboard muka Najib tersengeh di sepanjang highway. Sempat pekena burger RAMLY di RNR Seremban. Akhirnya sampai juga di Mega Star Arena dalam lebih kurang pukul 7.45 malam.

suasana di luar dewan

Kali pertama ke sini. Terkial-kial juga guna google map takut sesat. Tapi bila nampak geng geng seragam hitam terus rasa lega. Bagus betul la pergi konsert rock ni. Nampak geng tshit hitam ramai-ramai konpem tahu yang kita berada di tempat yang betul..😀 Cumanya tak tahu yang sekolah bersebelahan ada menawarkan tempat parking. Ni parking kat stesen minyak Shell yang berdekatan kenalah menapak sikit.

official t-shirt

Sampai-sampai terus cari merchandise. Official tshirt tak silap ada 4 design dengan harga RM110 sehelai. Limited 500 helai katanya. Design yang berkenan di hati dah sold out. Nampak pula design yang sama versi bootleg di jual dengan harga RM30. Beli lah juga buat kenangan-kenangan. Nampak juga muka-muka yang familiar di facebook. Tapi segan nak tegur. Tapi taklah seramai masa konsert Megadeth.

Dewannya tak besar. Tiket PPRT pun nampak stage dengan jelas. Aircond pulak tu. Mengikut laporan jumlah penonton dalam 1500 orang. Betul la kot. Taklah sendat. Kawasan PPRT lagi la...tak sesak, selesa dan santai. Memang sesuai venue ni untuk konsert berskala sedehana dan penonton yang majoritinya warga tua.

background video tu memang cantik la...terpegun!

Mat Salleh memang punctual. Konsert bermula tepat jam 8.33 malam dan habis pada 11.26 malam. Giler dasyat hampir 3 jam. Memang berbaloi dengan harga tiket. Naik lenguh kaki berdiri. Sembahyang terawih pun tak lenguh macam ni...hahaha...Dah tua-tua ni memang kena tengok konsert duduk lah agaknya.

Kai Hansen dan gitar cabang-cabangnya

Tak pernah terpikir dapat tengok Kai Hansen depan mata. Sememangnya priceless untuk seorang fan boy seperti saya. Terutamanya ketika line-up Walls of Jericho di atas stage. Starlight / Judas / Ride the Sky dan Heavy Metal (is the law) menjadikan saya seperti remaja 17 tahun semula. Terpaku tengok. Vokal Kai Hansen masih power. Tak padan dah tua...Sayangnya Ingo Schwichtenberg dah tak ada….

Heavy Metal is the Law
Ada juga segmen tribute untuk Ingo. Dani Löble berduet dengan visual dan audio dari Ingo. Baguslah sekurang-kurangnya mereka tidak melupakan anggota asal Helloween. Selepas Ingo dan Uli Kusch, saya kurang mengambil tahu tentang pemain drum Helloween. Malam tersebut beliau berjaya membuktikan yang saya silap. Beliau sememangnya bagus. Sayangnya… kalau lah Pumpkins United ini juga dianggotai oleh Roland Grapow dan Uli Kusch…itu lagi perghhh!!!

(*saya hampir-hampir berjaya mendapatkan drum stick Dani. Beliau mencampakkannya betul-betul ke arah saya. Sayangnya dengan handphone di tangan kiri, tangkapan tangan kanan saya terlepas. dan ia jatuh di belakang saya dan hilang tanpa dikesan. Masing masing mencari mengunakan lampu handphone tetapi tak pasti lesap kemana....tak ada rezeki...kepada sesiapa yang dapat tu...tahniah dan untung la)

set list cilok dari FB
Dari segi set list, memang semua lagu lagu makanan. Majoritinya 30 tahun dah melekat dalam kepala. Ada lah satu dua lagu era baru yang tak berapa biasa sangat. Kalau nak kata terkilan, mungkin tiadanya lagu Kids Of The Century dalam list. Dah siap-siap hafal dah lagu tu...huhu... Tapi kalau nak suruh dorang nyanyi semua lagu best...mahu 5 jam pun tak cukup.


Dr Stein

Dari segi prestasi, ketujuh-tujuh mereka mencapai tahap KPI yang cemerlang. Tak ada apa yang boleh kita komplen pun tentang persembahan Michael Kiske mahupun Andi Deris. Dah tua-tua pun masih power terutamanya Andi Deris. Masih hebat lontaran vokalnya. Kedua-dua mereka pun lawak. Happy jer dorang atas stage. Kita yang menonton pun rasa tempias happy.

Jujurnya saya kurang gemar dengan Michael Weikath. Maklumlah fan boy Kai Hansen lah kan. Tambah pula dengan album Chameleon dan kes Ingo. Tapi sebenarnya dia memang hebat buat lagu. Malam tu dia paling relek. Lepak one corner. Dah tua-tua ni saya maafkan dia. Malah berharap sangat dia main lagu Windmill....hahaha.. (tapi seriusnya....dulu tak suka Chameleon...tapi seiring peningkatan usia...rasa sedap pula album tu. Lagu First Time memang laju...memang sedap!

untung la siapa yang dapat bawa balik bola bola tu

Kalau nak kira showmanship, selain Kai Hansen, Markus Grosskopf paling happening. Seluruh pentas dia jelajah. Tapi kalau nak bagi hadiah man of the match, ikut hati nak bagi Kai Hansen, tetapi secara jujurnya saya bagi kepada Sascha Gerstner. Bukan pasal dia like komen saya di IG (haha..) tetapi dia paling cool. Tahu diri. Tak cuba untuk overshadow gitar hero Hansen dan Weikath. Dia jadi tulang belakang. Paling menarik dia juga diberi peluang untuk menyolo dalam lagu-lagu zaman Hansen. Pengganti paling tepat untuk Roland Grapow.

Satria gitar bercabang.. \m/ \m/\m/

Secara keseluruhannya tak ada apa yang saya nak komplen tentang malam tersebut. Berbaloi setiap sen yang dibelanjakan. Persembahan band yang mantap. Set-up stage cantik. Sound sedap. Lightning cemerlang. Paling best video yang jadi background pentas. Lawa sangat. Kagum! Video selingan maskot mereka, Seth dan Doc sepanjang konsert pun  menarik.

Terimakasih Helloween

Memang puas hati. Singalong sepanjang malam. Crowd pun sanngat sporting. Sampai serak suara. Bagi saya malam tersebut adalah jauh lebih best dari malam Megadeth setahun yang lalu. Lebih best dari semua segi. Pulang ke JB malam tu dengan rasa happy dan puashati. Walaupun sampai rumah jam 4 pagi....tetapi kepuasannya menyebabkan hilang rasa letih dan ngantuk.

Seminggu dah berlalu...tapi kenangannya masih tak kebah. Tahniah kepada penganjur. Harap penganjur tak rugi dan bolehlah bawa band yang lainnya pula....terutamanya Iron Maiden... Please.....


***Untuk Deaf...memang rugi la ko tak pergi...kah..kah...kah....



Thursday, May 3, 2018

Piring Hitam - Savage Amusment


Dah berpuluh kali beli piring hitam dari luar negara secara on-line melalui e-bay, ini kali pertama dapat kotak bengkok. Selama ini hanya baca cerita orang, kali ini terkena sendiri. Bukan salah pos tapi ini kes posmen sumbat dalam mailbox.


Inilah risiko beli postage murah dan tidak berdaftar. Nak buat macamana. Nak komplen pun rasa macam tak berbaloi. Kos LP dan postage pun cuma dalam RM50 sahaja. Redha sahajalah...


Jaket pun bengkok...aduhai... Pos guna alamat opis. Biasanya posmen akan naik atas bagi bagi secara by hand. Tapi kali ni dapat posmen baru. Dia malas la tu nak naik. Jahanam disumbatnya dalam mail box.


Ini yang paling penting. Piring pun bengkok...Nasib juga tak patah...Nak salahkan siapa. Seller pun salah juga. Tak tulis "Do Not Bend" atau "Handle With Care". Dia ingat semua posmen tu tahu ker yang kotak tu dalamnya lp. Malas nak komplen. Cuma bagitau juga dekat seller lain kali suruh tulis.


Akhirnya ada juga guna buku KISS Kompendium ni...haha...Tebal dan berat nak mampus. Baca pun tak habis-habis lagi.


Nasib lah piringnya masih berfungsi dengan baik. Ada lah sikit bergelombang. Tetapi secara keseluruhannya masih elok. Tak ada kesan pada bunyi. Fuh...lega!


Akhirnya Savage Amusement berjaya di giler formatkan. Ada rezeki nanti...boleh pula cari versi 50th Band Anniversary...