Album yang tinggi nilai sentimentalnya dan sentiasa ada "soft spot" di dalam hati...
Men At Work - Cargo (1983)
Tahun 1982 atau 1983 adalah tahun yang saya mula mendengar lagu-lagu orang puteh. Berkongsi bilik dengan abang yang usianya 4 tahun lebih tua dari saya bermakna saya "ter" dan "di" paksa untuk mendengar apa muzik yang beliau dengar. Ketika rakan-rakan sebaya (maklumlah budak felda) kemaruk dengan pop melayu seperti Kembara, Carefree, Flybaits, Alleycats dan lain-lain, saya pula telah mula kemaruk dengan lagu-lagu inggeris dari Top 40 di US mahupun di UK.
Apa yang saya ingat, kaset pertama orang puteh yang di beli abang adalah Michael Jackson - Thriller. Kemudiannya Air Supply - Greatest Hits. Dan yang ketiganya adalah Men At Work - Cargo. Sebab itu album ini memang ada banyak kenangannya untuk saya. Mendengarnya semula sememangnya membawa saya kembali ke tahun 1983 (darjah 6). Masih teringat-ingat suasana rumah, ruang tamu dan bilik tempat saya dan abang mendengar kaset ini berulang-ulang kali. Rumah asal tu pun dah roboh, abang pula dah tak kemaruk dengan muzik seperti dulu. Semuanya hanya tinggal kenangan...
Mungkin ramai yang kenal Men At Work dengan lagu "Down Under". Tetapi itu dari album pertama mereka, Business as Usual (1981). Penangan lagu "Down Under" lah yang menjadi penyebab mengapa Cargo di beli bila ianya berada di pasaran. Hebat juga pekan kecil Ulu Tiram, kedai kasetnya agak terkini dengan suasana muzik semasa. Mungkin kerana pengaruh dari Singapura. Ketika itu pun kalau nak dengar lagu terkini orang puteh memang kena dengar siaran radio Singapura. Siaran berbahasa inggeris Radio Malaysia (saluran biru dan kemudiannya Radio Dua) memang jauh ketinggalan.
Men At Work adalah sebuah kumpulan pop dengan pengaruh reggae yang berasal dari Australia. Cargo seingat saya menghasikan 3 lagu hits. "Dr. Heckyll & Mr. Jive", "It's a Mistake" dan yang paling saya gemari,"Overkill". Memang sedap lagu ni. Malah saya lebih menyukainya berbanding "Down Under". Inilah muzik yang menjadi habuan telinga sebelum saya terjebak dengan heavy metal.
Antara kenangan yang tak boleh lupa adalah membelek cover kasetnya. Berkali-kali membelek untuk cuba memahami dan mencari apa dilukis pada gambar cover tersebut. Sebab itu saya memilih untuk membeli versi pirang hitam. Baru puas membelek walaupun sampai sekarang saya masih tak paham apa yang cuba disampaikan disebalik lukisan cover tersebut....