Saturday, October 31, 2020

The Eleventh Hour

 

Magnum - The Eleventh Hour (1983)

Antara band yang pada tahun 80an dulu selalu nampak namanya di majalah tetapi tak pernah dengar atau mungkin tak perasan pernah dengar lagunya. Tak pernah nampak juga kasetnya di jual dan tak pernah ada rakan yang mempunyai kasetnya. Hanya mula mencuba muzik mereka ketika di zaman wujudnya internet dan MP3.

Satu yang menarik perhatian adalah gambar-gambar cover albumnya. Selalu membayangkan bagaimana agaknya muzik mereka dengan gambar-gambar ala fantasi seperti itu. Ianya juga mengingatkan kepada gambar cover kumpulan Asia. Rupa-rupanya pelukisnya adalah orang yang sama. Padanlah teknik lukisannya sama. Beliau adalah Rodney Matthews. Hasil kerja beliau juga boleh didapati antaranya pada kulit album Nazareth, Scorpions (Lonesome Crow), Diamond Head (Am I Evil), Praying Mantis, Tygers of Pan Tang (Crazy Nights) dan Asia (Aqua, Arena).

Magnum ni saya sebenarnya lebih kepada 4 album sahaja. Chase The Dragon (1982), The Eleventh Hour (1983), On a Storyteller's Night (1985) dan Vigilante (1986). Kerana kalau mengikut apa yang di baca inilah zaman terbaik dan popular mereka. Secara muzikalnya mereka lebih kepada hard rock dan AOR. Lebih kurang macam Journey juga. Cuma biasalah, untuk album-album awal mereka ada sedikit pengaruh progressif rock terutama dari segi soundnya seperti kebanyakan band-band rock 70an yang lain. Tetapi untuk The Eleventh Hour, memang lebih kepada melodic hard rock dan AOR. Ada masanya mengingatkan juga kepada Rainbow zaman Joe Lynn Turner.


Sebenarnya kalau nak di bandingkan di antara 4 album yang disebutkan tadi, The Eleventh Hour adalah yang paling rendah rating nya. Chase The Dragon dan On a Storyteller's Night lebih digemari oleh peminat setia mereka. Tetapi soundnya (The Eleventh Hour) masih raw jika hendak di bandingkan dengan Vigilante yang lebih 80an dan lebih komersil serta banyak penggunaan keyboards. 

Makanya jika anda berminat dengan muzik melodic hard rock dan AOR dengan sedikit pengaruh progresif rock , The Eleventh Hour sememangnya makanan anda. 




Wednesday, October 28, 2020

Accept

Accept - Accept (1979)

Mula mencari album ini bila mendengar Therion membawakan lagu "Seawinds" sebagai lagu cover mereka dalam album Crowning of Atlantis (1999). Tak tau pula yang Accept ada lagu ballad yand sedap. Maklumlah dulu-dulu ketika penghujung 80an hanya mendengar lagu lagu berat dari album Balls to the Wall dan Metal heart sahaja. Tak sempat untuk meneroka album-album awal mereka.

Mendengar album ini seolah olah seperti mendengar album-album Scorpions zaman Uli Jon Roth. Pengaruh progresif hard rock 70annya memang pekat. Ianya memang berbeza dengan Accept yang kita kenal pada tahun 80an. Maklumlah ini adalah album pertama. Masih mencari arah. Benda yang sama juga berlaku kepada band seperti Judas Priest.

Jika anda sukakan album-album awal Scorpions mungkin anda akan suka album ini. Jika tidak, mulakan sahaja Accept anda di zaman heavy metal mereka di tahun 80an.

Untuk saya, 3 lagu pertama album ini, "Lady Lou", "Tired of me" dan terutamanya lagu "Seawinds" sudah cukup untuk menjadikan ianya penyebab kenapa album ini patut saya miliki. 



Saturday, October 24, 2020

Berat

Pandang belakang ke zaman remaja...sempena Yantzen masuk Gegar Vaganza...hahaha...


Rusty Blade - Berat (1988)

Sesuai dengan tajuknya. Album ini memang berat. Susah nak jumpa album rock melayu yang cuma ada 3 lagu perlahan. Susunan lagunya pun tidak mengikut standard yang biasa. 2 lagu awal adalah lagu yang berat. Lagu-lagu perlahan pun bukanlah jenis yang menggunakan keyboard dan meleweh.

Sesuai betul dengan jiwa remaja yang pada ketika itu telah mula terpengaruh dengan muzik yang lebih keras dan lebih ekstrim. Lagu-lagu beratnya sentiasa di dalam senarai untuk di bawa jamming. Tetapi biasanya bila dah di studio, balik-balik lagu "Tercipta Kasihku" juga yang di bawa. Maklumlah skill budak sekolah yang tak seberapa. Lagu-lagu perlahan adalah Jalan yang lebih mudah...hahaha...


Dulu kasetnya kawan pinjam dengan alasan nak cari kord lagu untuk jamming. Tapi itulah...sampai kesudahnya tak pulang. Bukan kaset jer yang lesap tapi dengan dia dia sekali berserta beberapa keping kaset yang lain lesap hilang tanpa dikesan hingga sekarang. Nak buat macamana, lepas habis sekolah terus lost contact. 

Apa-apa pun ini adalah antara album yang menarik untuk dikenang. Ketika itu kalau sebut heavy metal melayu memang Rusty Blade adalah yang teratas. Hanya yang melalui dan membesar di zaman itu akan paham.

Wednesday, October 21, 2020

Seven Churches

Kenangan di ITM Segamat tahun 1990... 


Possessed - Seven Churches (1985)

Antara kaset pertama yang di beri pinjam oleh kawan-kawan "metal" semasa menuntut di ITM adalah Possessed - Seven Churches. Masa tu kena gelak pasal sebut "Po... ses... sed". Maklumlah budak felda. Manalah pandai sangat nak sebut perkataan orang puteh...πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…...Tu belum cerita bab tajuk albumnya ada sebut gereja....takut oii nak dengar ...hahaha..

Kalau baca kat mana-mana artikel atau ulasan tentang genre thrash, Seven Churches adalah antara yang selalu masuk dalam senarai tak kisahlah dari segi album terbaik mahupun dari segi pengaruh. Maklumlah ketika album ini diterbitkan, muzik sebegini masih baru. Seven Churches bolehlah dikatakan antara yang paling laju dan paling berat pada ketika itu. 


Perkataan death metal sebagai satu genre pun masih belum wujud. Mereka antara pengaruh besar dalam menghasilkan genre death metal. Yang menariknya lagu terakhir dalam album ini juga diberi tajuk "death metal". Tetapi pada ketika itu, mereka di panggil heavy atau speed metal. Hujung 80an dah jadi thrash. Masuk 90an muzik mereka mula digelar sebagai death metal. Begitulah evolusi genre muzik. Tapi untuk orang luar yang tak minat dengan muzik sebegini tak kisah pun apa sebutannya. Semua pun sama sahaja...lagu bising...lagu setan...hahaha...

Tak kisahlah nak panggil apa-apa pun. Jika anda sukakan muzik metal 80an yang raw dan tak kisah pun pasal sound dan produksinya. Janji laju. Janji berat. Janji brutal. Ini sememangnya untuk anda. Padu!.




Sunday, October 18, 2020

Look What the Cat Dragged

Satu lagi kenangan yang berjaya di"piring hitam"kan. Sayang tak ada versi kaset. Dulu hanya ada kaset versi "dubbing" kawan buat kan. Kalau tak… Boleh dah jadi entri "gila format".


Poison - Look What the Cat Dragged In (1986)

Lama dah cari versi piring hitam. Sebelum ni ada penjual tempatan nak jual dengan harga RM200 (2nd hand dan belum masuk kos pos). Tapi rasa tak berbaloi. Maklumlah untuk kita-kita yang tak berapa nak berduit ni jumlah macam tu memang terasa agak mahal.

Tapi tak sangka pula jalan-jalan dalam ebay terjumpa pula penjual dari Jerman yang jual dengan harga yang jauh lebih murah. Baru pulak tu bukannya 2nd hand dengan harga siap pos selepas tukaran wang asing hanya RM149.13. Di tambah dengan duit moratorium yang masih berbaki 😁, rasanya memang berbaloi la jika sukakan album ini. Tapi untuk yang tak minat dan tak paham...ini semua membazir!... haha...



Tak pasti dari mana datangnya terma "Hair Metal". Dia macam kita pun tak tahu dari mana datangnya terma "Rock Kapak". Bagi saya ianya lebih kepada fesyen. Bukan muzik. Band-band yang di panggil "Hair Metal " ini muziknya pelbagai. Tetapi yang pastinya di era awal kemunculan band sebegini muziknya agak keras. Memang sound ke arah heavy metal. Look What The Cat Dragged In adalah contohnya.

Tapi itulah..dulu masa tahun-tahun 80an tak kisah sangat pun pasal genre. Semua muzik yang bergitar distortion kita panggil rock dan heavy metal. Mungkin muzik Poison tidaklah sekeras atau selaju band heavy metal yang lain. Tetapi dulu zaman kaset dubbing, kasetnya kawan rakamkan seluruh albumnya ke side A manakala Megadeth - Killing is my Business pula dirakamkan di side B. Zaman itu tak ada pun istilah poser. Semua pun layan. Saya mula tahu perkataan poser hanya di awal tahun 90an...



Thursday, October 15, 2020

Curse of the Crystal Coconut

Gloryhammer membawa saya ke sini. (Rujuk tulisan saya berkenaan album Gloryhammer di >SINI<


Alestorm - Curse of the Crystal Coconut (2020)

Dah masuk album yang ke 6 baru tahu pasal Alestorm. Itupan kerana penyanyi mereka, Christopher Bowes adalah pengasas kepada Gloryhammer. Trial and error di spotify dan youtube adalah cara paling berkesan untuk mencuba band yang kali pertama kita dengar namanya.

Track pertama, "Treasure Chest Party Quest" mengambil masa hanya beberapa saat untuk menyakinkan saya supaya membeli cdnya. Kemaruk saya terhadap genre power metal masih belum kebah. Mendengar lagu-lagu dari Curse of the Crystal Coconut menambah kegilaan saya kepada genre tersebut.

Curse of the Crystal Coconut adalah sebuah album melodic power metal yang sangat catchy. Tetapi mereka bukanlah straight forward power metal. Muzik mereka agak rojak juga sebenarnya. Tetapi elemen utama yang membezakan mereka dengan Gloryhammer atau mana-mana band bergenre power metal yang lainnya adalah tema lanun (pirate) mereka. Baik dari segi lirik, penampilan ketika bermain live sehinggalah muzik mereka yang ada unsur-unsur folk siap dengan trumpets dan trombones yang sinonim dengan muzik dalam cerita-cerita pirate.


Asalnya mereka adalah sebuah band power metal sejati. Mengikut cerita Christopher Bowes, di sebabkan mereka bukanlah pemuzik yang hebat, ditambah pula dengan lagu-lagu mereka yang berkisarkan tentang pitare dan parti yang lebih mendapat sambutan. Mereka akhirnya memilih untuk menghasilkan lagu-lagu yang bertema begitu sehingga akhirnya muzik mereka dikenali sebagai pirate metal.

Tak kisahlah apa pun genrenya, yang paling utama muziknya sedap. Sekali dengar pun dah menangkap. Tak perlulah serius sangat. Ada masanya kita perlukan muzik sebegini. Muzik "happy" sebegini paling sedap dilayan selepas seharian penat berkerja. Hilang segala tekanan dan masaalah.. Ahoy....!



Sunday, October 11, 2020

Twisted Wires & the Acoustic Sessions...

 Antara yang terkini berjaya dimiliki..


Tesla - Twisted Wires & the Acoustic Sessions... (2011)


Mereka adalah yang pertama menghasilkan album rakaman secara unplugged melalui album Five Man Acoustical Jam (1990) sebelum ianya menjadi satu trend di awal 90an dulu. Kejayaan album tersebut mendorong MTV untuk melakukan perkara yang sama.

Tahun 2011, mereka kembali dengan idea yang sama. 5 daripada lagu-lagunya telah dirakamkan pada tahun 2005 ketika Tommy Skeoch masih bersama mereka, Lagu lagu lainnya pula adalah rakaman sekitar tahun 2010 dan 2011 yang menampilkan gitaris baru mereka, Dave Rude bersama-sama gitaris asal, Frank Hannon berserta 2 buah lagu baru. 

Memang sedap. Suara serak serak kasar Jeff Keith semakin lunak. Susunan muzik dan permainannya memang tip-top. Mereka membuktikan sekali lagi yang mereka adalah pemuzik yang hebat dalam menyusun lagu-lagu mereka menjadi lagu-lagu akustik. Yang paling menarik bila lagu-lagu berat seperti Hang Tough, Edison Medicine, Into The Now dan lain-lain berjaya di "stripped-down" dan di akustikkan dengan jayanya. Kalau lagu-lagu yang balada macam What You Give, Changes, A Lot to Loose tu lagi lah pula bertambah-tambah sedap.

Peminat Tesla memang kena ada album ini. Yang jenis pening dengan bunyi distortion gitar pun memang patut dengar album ini. Memang lazat... Klasik!


Wednesday, October 7, 2020

And the cradle will rock...

Lagi berita sedih. Banyak pula berita sedih untuk tahun 2020 ni. Kali ini dikejutkan pula dengan pemergian salah seorang gitar hero dan idola saya sejak dari zaman awal remaja… 


Beliau memang idola la. Terer main gitar. Hensem. Kahwin dengan actress. Budak rock mana la yang membesar pada tahun 80an yang tidak mahu menjadi rockstar seperti beliau.

Lagu Van Halen saya yang pertama bukannya "Jump", tetapi "I'll Wait" (dari album yang sama,1984) yang saya dengar dari kaset kompilasi cetak rompak lagu-lagu pop hits zaman tersebut. Tetapi yang tidak saya sedari, saya telah terlebih dulu mendengar lagu "You really Got Me" (dari album pertama 1978) yang pada ketika itu saya tak tahu pun siapa penyanyinya.

Popular lagu ni di sekitar JB pada awal 80an dulu. Band kerja kahwin memang selalu main sampaikan Search pun cover lagu ni dalam album Cinta Buatan Malaysia. Bila lagu "Jump" meletup, terutamanya selepas menonton rancangan "Playback 84" di tv, baru saya tahu yang Van Halen adalah sebuah kumpulan rock dan Eddie adalah seorang pemain gitar yang hebat....and the rest is history...


Rasanya inilah penamat untuk band Van Halen. Tiada siapa yang berhak untuk menggantikan beliau. Selain dari Ritchie Blackmore, Yngwie Malmsteen dan Michael Schenker, beliaulah antara pengaruh terbesar kepada semua gitaris dunia rock melayu pada tahun-tahun 80an dahulu. 


Kenangan menconteng logo Van Halen di meja dan dinding sekolah, mendengar kaset 5150 berulang-ulang kali (album penuh mereka yang pertama untuk saya) dan bercita-cita untuk menjadi gitar hero seperti beliau akan tetap menjadi kenangan....


Thanks for the music

Edward Lodewijk Van Halen

 January 26, 1955 – October 6, 2020


Tuesday, October 6, 2020

Eternal Nightmare

 Lagi kenangan dari zaman remaja...

Vio-lence - Eternal Nightmare (1988)

Sebagai peminat genre thrash, memang susah untuk saya tidak menyukai Vio-lence dan album Eternal Nightmare. Malah ianya merupakan salah satu album kegemaran. Tak kisahlah kalau ada yang mempertikaikan suara Sean Killian. Bagi peminat thrash sejati, suara sebegitu bukanlah sesuatu pelik.

Vio-lence dan Eternal Nightmare adalah antara yang terbaik yang pernah muncul dari gelombang kedua thrash metal dari Bay Area. Mungkin pada generasi sekarang, Eternal Nightmare adalah sebuah album "generic american thrash " yang biasa. Tetapi pada masa ianya diterbitkan dahulu, ianya adalah sesuatu yang segar. Temponya yang laju, aggresif dan dalam masa yang sama agak catchy menjadikan Eternal Nightmare adalah antara album thrash terbaik yang pernah terhasil. Majalah Kerrang sendiri menamakan album ini di kedudukan ke 24 dalam senarai 25 album terbaik thrash sepanjang zaman.

Sayangnya mereka hanya bertahan untuk 3 album sebelum gitaris mereka Robb Flynn meninggalkan mereka dan menubuhkan band groove / nu-metal, Machine Head. Dan sejujurnya saya tidak pernah menyukai Machine Head. 



Friday, October 2, 2020

Pandemonium

 Antara yang terkini dalam simpanan.

Loudness - Pandemonium (2001)

Tak ambil tahu dan tak mengikuti langsung tentang album ini pada tahun ianya di keluarkan. Loudness terakhir yang saya dengar dan beli secara fizikal adalah Heavy Metal Hippies (1994). Mungkin sebab utamanya kerana album-album selepas itu agak sukar untuk di dapati. Berkemungkinan besar memang tak masuk pun ke pasaran Malaysia.

Yang ini lagilah susah. Pandemonium memang asalnya dikeluarkan hanya untuk pasaran Jepun. Sekarang ni dah hidup zaman tanpa sempadan mudah la sikit nak dapat. Ianya adalah album kedua selepas klasik line-up (Akira Takasaki, Minoru Niihara, Munetaka Higuchi dan Masayoshi Yamashita) melakukan reunion. 

Tetapi ini bukanlah Thunder in the East, Lightning Strikes mahupun Hurricane Eyes. Loudness pada ketika ini sudah jauh berubah. Mereka juga terpengaruh dengan situasi muzik pada zaman tersebut. Tetapi mereka sebenarnya tidak lah menjadi komersil. Malah sebaliknya. Album ni soundnya lebih berat dan keras. Tak ada satu pun lagu balada. Memang nampak ada pengaruh Pantera dan alternatif metal. Ada juga yang lagunya ke arah thrash metal. 

Awalnya agak susak juga nak hadam. Kurangnya rif-rif melodic yang biasa kita dengar dalam Loudness. Tetapi setelah masuk 4,5 kali pendengaran rasa sedap juga. Ianya sebuah album yang "grower". Solo-solo gitar Akira pun tetap berbisa. Kebelakangan ini terngiang-ngiang pula melodi lagu "inflame" dalam kepala. Nampaknya kena cari juga rilisan Loudness yang lainnya pada zaman ini...