Monday, April 25, 2022

Synchro Anarchy

 Album terbitan tahun 2022 yang kedua berjaya dimiliki...

Voivod - Synchro Anarchy (2022)

Voivod bolehlah dikatakan sebagai sebuah band yang agak unik. Mereka banyak kali berevolusi dari satu album ke album yang lainnya. Muzik mereka agak mencabar bagi pendengar biasa. Muzik yang progressif, avant-garde dan psychedelic sememangnya agak sukar untuk dihadam. Saya sendiri sering mengambil masa untuk menikmati muzik mereka. Satu-satunya album mereka yang paling mudah hadam bagi saya adalah Angel Rat (1991). Tetapi ianya bukanlah album yang diminati oleh majoriti peminat mereka kerana ianya lebih pop dan mudah.

Synchro Anarchy adalah yang terbaru dari mereka. Masih mengekalkan ciri-ciri yang sama seperti beberapa album sebelumnya. Masih mengambil masa untuk hadam. Setelah 10 kali pendengaran pun masih belum dapat tangkap keseluruhannya. Namun begitu ianya adalah lebih melodic berbanding album sebelumnya, The Wake (2018)

Sememangnya harapan saya begitu. Maklumlah sebagai pengemar Angel Rat sudah tentu saya berharap mereka akan kembali ke zaman tersebut. Tetapi Synchro Anarchy mempunyai “rasa” yang kuat kepada era Nothingface (1989). Sesuatu yang baguslah jika anda pengemar tegar Voivod.

Satu yang menarik tentang mereka bagi saya adalah sound mereka. Walaupun tanpa gitaris asal, Piggy (meninggal dunia pada tahun 2005). Penggantinya, Chewy berjaya menghasilkan sound yang hampir sama. Memang tak akan perasan la bagi yang tak tahu.


Friday, April 22, 2022

Run for Cover

 Membeli kenangan..

Gary Moore - Run for Cover (1985)

Beli kerana lagu balada Empty Rooms. Sebenarnya ia bukanlah lagu yang diminati sangat. Kenangannya kerana lagu ini terdapat di dalam satu kompilasi kaset pirate Apache yang di beli ketika zaman remaja. Tak ingat apa tajuknya. Kasetnya pun dah hilang. 

Darah muda yang pada ketika itu lebih sukakan lagu yang berat dan kasar, menjadikan lagu ini antara yang paling kurang digemari. Maklumlah Empty Rooms lagunya agak meleweh. Memang kurang sabar kalau nak dengar selalu. Dah lah pada ketika hanya memiliki beberapa keping kaset (baru pandai membeli). Memang pusing-pusing pun kaset itu yang akan dimainkan secara berulang-ulang. 

Ianya menjadi mangsa forward setiap kali kaset itu dimainkan. Nasiblah pada ketika tidak menggunakan walkman (zaman belum mampu). Mendengarnya menggunakan radio transistor yang ada pemain kaset. Tekan sahaja butang forward. Tapi ianya pun menyusahkan juga. Selalunya forward akan terlebih atau terkurang. Asyik la kena rewind/forward/rewind/forward untuk dapat betul-betul permulaan lagu yang seterusnya.

Namun begitu, lagu ini bolehlah dikatakan sebagai salah satu lagu slow rock wajib bagi mat rock pada zaman tersebut. Search pada zaman Hard Rock Cafe Taman Tun Dr Ismail (1985) pun pernah membawakan lagu ini. Bagi saya semua album Gary Moore ketika zaman hard rock beliau adalah menarik. Saya kurang gemar apabila beliau bertukar untuk bermain blues.


Pernah beli 2 kali cd ini. Pertamanya ketika zaman ebay pos percuma dari e-stock/music magpie. Sayangnya cd yang diterima didalamnya adalah cd penyanyi lain. Malas nak komplen memandangkan harganya pun tak sampai RM20. Kemudiannya dalam beberapa minggu lepas ketika mengemas rak, terjumpa kembali cd tersebut. Dan kembali ingat yang cd tersebut isi perutnya penyanyi lain. Tak banyak cerita terus beli yang baru...Semakin berumur semakin rajin membeli kenangan.... 

 

Monday, April 18, 2022

Taking Over

 Album pertama dari kotak boxset Overkill The Atlantic Years

Overkill - Taking Over (1987)

Agak terlambat mendengar album ini. Mungkin sekitar pertengahan 90an. Maklumlah zaman sebelum wujudnya era internet dan MP3. Tak ada pula kawan yang ada. Zaman tersebut kalau tak ada jual di kedai kaset dan tak ada pula kawan yang ada, memang tak berpeluang lah nak dengar. 

Album yang kurang nilai sentimentalnya untuk saya. Mungkin kalau mendengarnya pada tahun ianya diterbitkan perasaannya akan berlainan. Muziknya berat, laju dan agak kasar bunyinya. Ianya juga agak kurang teknikal berbanding album-album yang kemudiannya. Maklumlah ianya dihasilkan ketika jiwa dan usia mereka masih muda remaja. 

Tetapi memang tidak boleh dinafikan ianya adalah sebuah album thrash yang bagus. Jujurnya kalau saya mendengarnya lebih awal, mungkin ianya akan menjadi salah satu album kegemaran sebaris dengan The Years Of Decay ataupun Horrorscope.

Kalau anda minat thrash yang laju tetapi dalam masa yang sama agak melodic untuk menganguk kepala, Taking Over adalah pilihan yang tepat. Rekomended!


Friday, April 15, 2022

Alive and Screamin'

 Kenangan zaman remaja...

Krokus - Alive and Screamin' (1986)

Seperti Ijau dalam tulisannya di >SINI< saya juga mempunyai banyak cd yang di beli tetapi belum pernah pun dimainkan walaupun sekali. Mungkin ini adalah satu penyakit bagi orang-orang yang seperti saya. 

Kebanyakannya adalah pembelian untuk kenangan. Membelinya semata-mata kerana kenangan yang ada padanya. Semakin berusia, semakin banyak kita bernostalgia.

Ini adalah salah satu darinya. Saya bukanlah pengemar muzik Krokus. Hanya tahu beberapa lagu dari mereka. Tetapi gambar covernya memang melekat dalam kepala. Gambar hantu setan sebagai cover memang biasanya akan menimbulkan syak wasangka. Setiap kali nampak kasetnya di kedai pastinya akan tertanya-tanya bagaimana agaknya muzik mereka. Kalau ikutkan hati memang nak beli. Tetapi sebagai seorang pelajar anak Felda, berapa banyak sangatlah kaset yang mampu untuk dibeli.

Akhirnya persoalan saya terjawap. Abang yang bekerja di KL membawa balik kasetnya ketika cuti Hari Raya. Ianya adalah kaset pirate jenama Apache yang biasa saya lihat di kedai. Memandangkan ianya adalah album live, lagu-lagunya sudah semestinya yang terbaik dan terpopular dari mereka. Malangnya lagu mereka tidaklah seganas gambar di covernya. Tidak seperti covernya, lagu-lagunya gagal untuk melekat di kepala. 

Rasanya itulah yang pertama dah terakhir saya mendengarnya sehinggalah malam sebelum saya menulis entri ini (35 ++ tahun). CD ini dibeli beberapa tahun yang lalu. Tetapi ianya hanya terperuk di rak. Seperti yang ditulis awal tadi… cd ini dibeli semata-mata kerana kenangannya…


*untuk rekod, beberapa tahun selepas itu saya ada juga mendengar album-album lain Krokus. Ketika itu saya rasakan ada juga lagu-lagu mereka yang best. Tetapi ianya tidaklah sampai tahap jatuh minat.



Tuesday, April 12, 2022

Empire

 Percubaan mendengar semula...

Queensrÿche - Empire (1990)

Saya agak kurang berminat dengan Queensrÿche selepas muzik mereka berubah. Selera saya yang lebih sukakan lagu-lagu straight forward heavy metal atau yang lebih keras menyebabkan saya merasakan yang Empire agak susah untuk dihadam. 

Saya juga tidak mengambil tahu tentangnya sehinggalah menonton persembahan live mereka di rancangan anugerah MTV Video Music Awards 1991 yang ditayangkan di tv Singapura. Tujuan utamanya adalah untuk menonton persembahan Metallica - Enter Sandman. Maklumlah pada ketika bukan mudah untuk Metallica masuk tv. Tetapi sebaliknya saya juga tertarik dengan persembahan Queensrÿche yang membawakan lagu "Silent Lucidity"

Sejak dari itu "Silent Lucidity" menjadi kegemaran. Tetapi ianya bukanlah sebab yang cukup kuat untuk saya membeli kasetnya. Tak pernah memiliki fizikal albumnya sehinggalah seorang kenalan di zaman forum internet menjualkannya. Tetapi ianya agak jarang (mungkin sekadar 2 atau 3 kali) di mainkan. Tetapi apabila ditugaskan untuk bekerja dari rumah, inilah peluang untuk cuba mendengarnya secara betul.

Hasilnya tetap sama, saya masih gagal untuk merasa "seronok" ketika mendengarnya. Mereka telah berubah menjadi sebuah band yang lebih kepada progressif hard rock berbanding metal. Ada kalanya mengingatkan saya kepada Rush. Bukan tak bagus. Tetapi ianya lebih kepada saya yang agak susah nak masuk dengan muzik progessif seperti ini. Satu-satunya lagu yang paling mudah melekat selain dari "Silent Lucidity" adalah "Another Rainy Night (without you)".


*Untuk rekod, selain mereka dan Metallica, Van Halen (Poundcake), Guns N' Roses (Live and Let Die) dan Poison (Unskinny Bop) turut sama membuat persembahan dalam anugerah tersebut. Sempat saya rakam kesemuanya dalam tape VHS. Ketika itu ulang-ulang tengok tak rasa jemu...


Thursday, April 7, 2022

Tanpa Prejudis

 Pendengaran rawak ketika bekerja dari rumah...

Amuk - Tanpa Prejudis (1998)

Siapa disebalik Amuk bukanlah lagi satu rahsia. Tetapi pada suatu ketika dahulu ianya memang satu misteri. Memang tiada gambar dan info tentang mereka di inlay cd. Membelinya dahulu secara cuba jaya selepas terbaca satu artikel promosi tentangnya di surat khabar. Ianya lebih kepada perasaan nak tahu bagaimana muzik Cromok dinyanyikan dengan lirik berbahasa melayu. 

Mereka adalah di antara beberapa buah band yang menggunakan perkataan "metal" secara mainstream yang meletop di pasaran selepas kejayaan XPDC. Ketika itu (penghujung tahun-tahun 90an), memang banyak band-band yang berkonsep sebegini. Dan saya pula pada ketika itu baru kembali untuk cuba mendengar rock melayu turut terbabit untuk membeli sebahagian darinya. Amuk hanya saya ikuti (beli) hingga ke album no. 2 (Tak Relevan). Selepas dari itu hanya tahu lagu-lagu mereka yang keluar di radio..


Sebenarnya agak janggal juga apabila mendengar muzik Cromok dinyanyikan dalam bahasa melayu. Mungkin kerana dah terbiasa dengan growl Sam Cromok yang tak faham bunyi butir tu...haha... Tetapi sebenarnya saya lebih tertarik dengan lagu-lagu bukan Cromok dari album ini. Ianya menjadi identiti mereka untuk album-album yang seterusnya.

Rasanya kalau saya mendengar album Lang Buana dari Febians terlebih dahulu, pastinya dari awal lagi saya tidak perlu untuk berteka teki siapakah dia Bandi Amuk sebenarnya...


Monday, April 4, 2022

Good Acoustics

 Pendengaran rambang bekerja dari rumah...

Firehouse - Good Acoustics (1996)

Saya adalah peminat lagu-lagu balada mereka. Bila dapat tahu yang mereka ada mengeluarkan sebuah album dalam bentuk akustik sudah semestinya ianya akan di cari. 

Mereka adalah diantara band-band hard rock yang sempat mengecap populariti di penghujung era kegemilangan yang dipanggil sebagai hair metal. Sayangnya mereka juga menjadi mangsa apabila dunia muzik berubah. Good Acoustics bagi saya adalah sebuah album yang mengambil jalan selamat untuk mereka terus kekal relevan pada pertengahan tahun 90an. Album sebegini bukan sahaja diterima oleh peminat rock tetapi juga untuk pendengar biasa. Buktinya saya selalu mendengar lagu-lagu dari album ini di radio Singapura pada pertengahan 90an dulu.

Seperti mana-mana album akustik lain, saya pastinya lebih tertarik untuk mendengar lagu-lagu rancak di"akustik"an. Lagu-lagu balada memang biasanya tiada masalah. Sudah semestinya "All She Wrote" dan "Dont Treat Me Bad" menjadi perhatian. Dan ternyata ianya memang bagus. Tetapi lain pula yang berlaku kepada balada "Love Of A Lifetime". Saya mengambil masa untuk hadam kerana lagunya diubah rentaknya menjadi seperti sebuah lagu country. Album ini sememangnya ada "rasa" country. Tambah pula apabila mereka merakamkan lagu "Eagles - Seven Bridges Road".

Tetapi untuk lagu-lagu balada yang lain ianya memang syahdu didengar terutamanya bila lewat malam...


Friday, April 1, 2022

Gila Format - War of Words

Sesebuah album yang ada kenangan dan ceritanya memang akan cuba di"gila format"kan. Ini adalah yang terkini...

Fight - War of Words (1993)

Fight adalah band Rob Halford selepas beliau meninggalkan Judas Priest. Muzik dan imejnya sedikit berbeza. Pernah buat cerita tentangnya dulu >SINI<.

Ianya adalah kenangan ketika zaman awal saya memandu kereta ke tempat kerja (sekitar tahun 1994). Kasetnya dibeli ketika tahun ianya dikeluarkan. Awalnya agak kecewa kerana muziknya tak sama seperti Judas Priest. Sebab itu kasetnya hanya di biarkan di dalam kereta. Tetapi disebabkan hari-hari dengar ketika memandu akhirnya jadi suka.

Yang paling tak sangkanya, seorang rakan setempat kerja (perempuan dan tak minat rock) yang menumpang pergi dan balik yang awalnya cakap bising akhirnya jadi suka dengan lagu For All Eternity. 

Versi cd seperti biasa adalah dari zaman kemaruk e-bay dengan pos percuma dari e-stock. Zaman itu apa-apa cd yang ada kenangan sememangnya akan dicari. Ianya versi Jepun tanpa Obi.

Versi piring hitam pula adalah versi reissue terkini (2022). Nampak iklannya di instagram memang terus jadi tak senang duduk. Hampir dah nak beli terus dari website luar negara. Tetapi terbaca pula yang distro tempatan Varmt Stal Records ada bawa masuk. Maka urusannya jadi lebih mudah.