Monday, February 27, 2023

Digital Noise Alliance

 Album pilihan 2022

Queensrÿche - Digital Noise Alliance (2022)

Tahun ini banyak betul band-band zaman remaja yang dah lama saya tinggalkan tetapi rasa teruja untuk mendengarnya semula. Ini semua adalah gara-gara ulasan positif di media sosial tentang album baru mereka. Queensrÿche adalah salah satu darinya. Kali terakhir medengar mereka secara betul adalah album Promised Land (1994).

Lebih tahu tentang perebutan nama diantara mereka berbanding lagu-lagunya. Tak tahu pun yang ini adalah album ke 4 bersama vokalis baru, Todd La Torre. Ternyata beliau adalah pilihan yang tepat. Vokal beliau sememangnya sama taraf dengan Geoff Tate. Saya tidak pernah mendengar vokal beliau bersama Queensrÿche, tetapi album solo beliau (Rejoice in the Suffering - 2021) banyak kali juga saya dengar melalui spotify.

Kalau ikut selera saya, album ini jauh lebih bagus dari zaman pertengahan 90an mereka. Tetapi disebabkan saya tidak benar-benra mengikuti muzik mereka pada ketika itu, berkemungkinan juga saya silap. Tetapi secara jujurnya bagi saya album ini lebih "metal" berbanding zaman Empire. Mungkin tidak sebagus album-album awal, tetapi ianya hampir kearah itu.

Yang utamanya bagi saya bukan setakat mereka berjaya mencari penganti Geoff Tate, tetapi Queensrÿche versi baru ini telah membuktikan kemampuan Michael Wilton sebagai penulis lagu dan gitaris. Beliau selama ini sering dibayangi oleh Chris DeGarmo. Tanpa DeGarmo beliau berjaya membuktikan yang Queensrÿche masih berada di tahap teratas.

Sebenarnya saya tak sangka yang saya akan sukakan album ini. Nampaknya kena lah mencari 3 album Todd La Torre bersama mereka yang sebelumnya.


Wednesday, February 22, 2023

Pavlov's Dawgs

Album pilihan 2022...

Tankard - Pavlov's Dawgs (2022)

Tankard adalah salah satu nama besar bagi gerakan Teutonic thrash di tahun 80an dahulu. Namun begitu mereka bolehlah dikatakan yang paling kurang popular berbanding band-band yang lainnya.

Lirik dan imej yang sering berkisarkan tentang beer di tambah pula dengan cover album kartun menyebabkan mereka sering tidak dipandang serius. Namun begitu, dari segi muzik mereka sebenarnya bagus. Kualiti muzik mereka sememangnya serius bagus.

Ini adalah cd mereka yang ke 6 saya beli. Percubaan mendengarnya di spotify menyebabkan terjebak untuk membeli. Tankard masih seperti dulu. Lirik mereka masih majoritinya berkisarkan tentang beer. Muzik mereka juga masih yang sama. Ianya masih thrash seperti yang mereka mainkan dulu-dulu. Tiada yang berubah.

Band yang dan menghasilkan banyak album (18) seperti mereka pastinya ada album yang menaik atau menurun. Pavlov's Dawgs adalah di dalam kategori yang menaik. Ianya bukanlah yang terbaik, tetapi sesiapa yang sukakan thrash amnya dan Tankard khususnya pastinya tidak akan kecewa.

Satu lagi album kegemaran bagi tahun 2022. Sememangnya 2022 tidak menghampakan jika anda adalah seorang peminat thrash. Banyak album thrash yang bagus.


Saturday, February 18, 2023

Shake Your Money Maker

Yang menyambut ulang tahun ke 33 pada 13hb Februari


The Black Crowes - Shake Your Money Maker (1990)

Kadang-kadang ada band yang kita cuba nak minat tetapi tak berapa berjaya nak minat. The Black Crowes adalah salah satu darinya. Lagu-lagu mereka cukup popular di MTV/Channel V dan juga di radio pada awal 90an dahulu. Populariti mereka pada ketika itu menjadi penarik untuk mendengar dan membeli cd ini. Tetapi sayangnya selepas beberapa kali percubaan, saya gagal untuk meminatinya.

Mereka adalah sebuah rock band yang pekat pengaruh bluesnya. Ada juga bunyian rock and roll 70an dan southern rock. Mereka bagus. Kalau tak, tak kan lah album ini boleh terjual sehingga lebih dari 5 juta unit. Tetapi malangnya muzik genre sebegini bukanlah makanan saya. Percubaan mendengarnya ketika zaman remaja dan di waktu sekarang yang semakin tua berusia tetap juga tak boleh nak berapa masuk.


Namun begitu lagu-lagu hits mereka yang dulunya sering di dengar di radio seperti "Jealous Again" dan balada "She Talks to Angels" memang tidak boleh dinafikan sedap. Tetapi yang paling minat sudah semestinya "Hard to Handle". Dulu sempat juga video clip nya di rakam di TV dan di tonton berulang kali. 

3 lagu ini rasanya sudah cukup berbaloi untuk mengapa cd ini tidak rasa rugi untuk dimiliki...



Tuesday, February 14, 2023

Halo

Yang menyambut ulangtahun pertama pada 11hb Februari yang lalu...


Amorphis - Halo (2022)

Lama dah beli. Asyik terlupa untuk menulis tentangnya. Itu tandanya yang ianya bukanlah album yang meninggalkan kesan untuk saya. Tetapi tidaklah bermakna ianya tidak bagus. Terlampau banyak album yang bagus untuk 2022 menyebabkan Halo bukanlah keutamaan. 

Muzik mereka masih sama seperti beberapa album yang lalu. Progressif melodic power metal dengan gabungan vocal “growl” dan “clean”. Yang membezakannya adalah kualiti lagu-lagunya. Dan ianya tidak dinafikan bagus. Sama bagus dengan album sebelumnya. Melodinya sedap. Tetapi tidak ada yang benar-benar boleh melekat. Kalau ada pun mungkin lagu track pertama, Northwards.


Ianya adalah masalah yang sama bagi band-band berkonsep sebegini. Sekurang-kurangnya kepada orang seperti saya. Sedap tetapi tidak ada faktor X yang boleh membuatkan rasa teringin untuk mengulang dengarnya semula. 

Tetapi jika anda adalah peminat tegar Amorphis, tak ada pun pun yang perlu dikomplen. Ini sememangnya apa yang anda harapkan dari mereka.



Friday, February 10, 2023

The Great Heathen Army

 Album pilihan 2022

Amon Amarth - The Great Heathen Army (2022)

Untuk mempermudahkan jalan cerita, jika anda adalah peminat Amon Amarth, anda tidak akan kecewa. Tetapi jika anda mahukan suatu kelainan dari mereka, mungkin anda tak akan jumpa

Amon Amarth tetap setia dengan "branding" mereka. Melodic death metal dengan lirik yang bertemakan Viking mythology. Yang menariknya, mereka masih dapat menghasilkan rif dan melodi yang sedap walaupun ini adalah album mereka yang ke 12.

Mungkin ada yang beraggapan yang mereka telah menjadi statik sejak beberapa album yang lalu tetapi bagi saya ianya lebih kepada mereka telah berjaya menghasilkan bunyi yang boleh dikenali atau satu formula muzik yang sudah menjadi sinonim dengan nama mereka.

Kalau ada pun sedikit kelainan untuk album ini bagi saya adalah dari lagu “Saxons and Vikings”. Biff Byford (Saxon) sebagai vokalis jemputan membawa semangat heavy metal ke dalam muzik Amon Amarth. Dan ianya menjadi salah satu lagu kegemaran saya untuk tahun 2022.

The Great Heathen Army adalah salah satu dari pilihan saya untuk album pilihan 2022.


Tuesday, February 7, 2023

True North

 Album pilihan 2022

A-Ha - True North (2022)

A-Ha adalah kenangan zaman sekolah. Kali terakhirnya yang betul-betul menghayati album mereka adalah Scoundrel Days (1986). Mereka adalah band pop terakhir yang saya suka sebelum mula terjebak menjadi mat rock.

Tidak mengambil tahu tentang album-album mereka selepas dari tu. Kali terakhir membeli cd mereka adalah album kompilasi Headlines and Deadlines: The Hits of A-ha (1991)

Semakin meningkat usia, semakin banyak kita bernostalgia. Berita tentang album baru mereka di Facebook dan ditambah pula "rachun" dari seorang kenalan di Facebook yang berkongsi gambar beliau membeli piring hitam album baru tersebut membuatkan tiba-tiba timbul rasa minat untuk membelinya.

Selain dari itu, tajuk albumnya juga membuatkan sedikit rasa teruja. Maklumlah tajuk "True North" itu seolah-olah seperti tajuk sebuah album black metal. Maklumlah, A-ha juga berasal dari Norway. Sebenarnya...mereka adalah the true Norwegian black metal….hahaha...

Atas sebab nostalgia, saya cuba juga menghayati lagu-lagunya walaupun muzik pop sebegini bukan lagi makanan minda untuk saya. Awalnya agak susah juga. Majoriti lagu-lagunya agak "mellow" dan agak meletihkan (zzzzzzzzzzzzzzzzzz). Hampir tiada lagu yang mengenengahkan gitar berdistorsi dari Paul Waaktaar seperti di album-album awal. Maklumlah saya adalah seorang yang agak sukar untuk menghayati lagu-lagu yang agak meleweh

Tetapi setelah beberapa kali percubaan, terutamanya ketika perjalanan berkereta menempuh jalan jem di dalam suasana hujan yang lebat. Akhirnya ada juga lagu-lagunya menusuk jiwa. Mungkin aura cuaca sejuk ala-ala di Noway (hahaha) pada ketika itu menyebabkan otak lebih mudah untuk menerima. Melodinya sedap tetapi temponya agak perlahan. Mungkin seiring dengan peningkatan usia. namun begitu Vokal Morten Harket masih tetap seperti dulu.


Friday, February 3, 2023

The Gang's All Here

Album pilihan 2022

Skid Row - The Gang's All Here (2022)

Dah lama tak ambil tahu perihal Skid Row. Kali terakhir membeli produk album baru dari mereka adalah "Thickskin (2003)". Tanpa Sebastian Bach dan arah tuju muzik mereka yang berlainan membuatkan jadi kurang berminat untuk terus mengikuti album yang seterusnya. 

Desas desus di media sosial yang mengatakan album terbaru mereka telah kembali kepada muzik Skid Row yang asal menyebabkan sedikit rasa teruja untuk mendengarnya. Dan ternyata ianya memang betul.

Scott "Snake" Sabo, Scotti Hill dan Rachel Bolan akhirnya kembali memberikan senyuman kepada peminat asal mereka. "The Gang's All Here" sememangnya membawa kita kembali ke era tersebut. Mendengarnya secara "back to back" bersama "Skid Row (1989)" dan "Slave to the Grind (1991)" seolah-olah ianya dalam satu jangka masa yang sama.

Membawa masuk Erik Grönwall di posisi vokal ternyata satu keputusan yang tepat. Kehebatan vokal beliau yang ada masanya mirip kepada Sebastian Bach ternyata mengembalikan aura Skid Row yang asal.

The Gang's All Here adalah salah satu dari album pilihan Top 10 untuk tahun 2022 saya...