Thursday, December 28, 2023

Lima Belas Tahun

Setiap December adalah bulan ulangtahun bagi blog Berteromber. Tahun ini adalah tahun ke 15. Masih gagah untuk bertahan.

Selagi ada masa dan kudrat untuk menulis dan selagi ada muzik secara fizikal untuk dijadikan bahan…selagi itu lah blog ini akan terus bertahan.

Mungkin kekerapan menulis tidak selincah dulu. Yang membaca pun dah semakin berkurangan. Dulu beratus…sekarang nak dapat 30 pun makan masa berbulan. Tak kisahlah… Ini blog syiok sendiri.

Terimakasih kepada yang masih berkunjung…Lu memang brader!


Wednesday, December 20, 2023

Reconnected

Sambungan dari Bad Moon Rising - Blood. 

Hurricane - Reconnected (2023)

Sedikit info yang tertinggal dari entri yang lepas (Bad Moon Rising - Blood). Sebelum Doug Aldrich menubuhkan Bad Moon Rising, beliau terlebih dahulu menyertai Hurricane untuk satu album, Slave to the Thrill (1990). Dan kebetulan pula Hurricane ada album baru.

Ini adalah album yang ke 5. Ianya album "comeback" bagi Robert Sarzo (gitar - adik Rudy Sarzo) dan Tony Cavazo (Bass - adik Carlos Cavazo). Mereka berdua tidak terlibat di dalam album sebelumnya, Liquifury (2001). Manakala Kelly Hansen (vokal) sekarang bersama Foreigner, dan Jay Schellen (drums) sekarang bersama Yes pula tidak bersama untuk album terbaru ini.

Bermakna ini adalah Hurricane versi Rudy dan Tony berbanding sebelumnya adalah versi Kelly dan Jay. Percubaan di Spotify menyebabkan rasa tertarik hati untuk membeli cdnya.

Walaupun tanpa vokalis asal, Hurricane versi Rudy dan Tony ini seperti tajuknya, Reconnected benar-benar menyambung saya kembali ke era 80an. Sound dan rasanya benar-benar mengimbau ke zaman tersebut.

Nak kata best sangat mungkin ianya macam terlebih pula. Tetapi cukuplah kalau saya katakan yang Reconnected benar-benar menghiburkan. Terutamanya bagi yang sukakan genre hard rock / hair / glam metal 80an. 

Semua lagu sedap. Best!



Friday, December 15, 2023

Blood

 Kesinambungan dari entri lepas (On Target)

Bad Moon Rising - Blood (1993)

Satu lagi album yang tak pernah di dengar pada ketika ianya diterbitkan. Bad Moon Rising adalah band Doug Aldrich selepas Lion dan sebelum beliau menyertai Dio untuk album Killing the Dragon (2002).

Blood adalah album kedua mereka. Saya memilih album ini kerana hubung kaitnya dengan Bangalore Choir - On Target. Pemain bass dan drummernya adalah orang yang sama. Mereka meninggalkan Bangalore Choir selepas band tersebut gagal.

Seperti On Target, Blood juga diwar-warkan sebagai 'hidden gem bagi pengemar muzik glam/hair metal di era 90an. Ianya diterbitkan ketika demam grunge sedang melanda. Maka tak hairanlah kenapa album sebegini gagal dipasaran walaupun ianya sangat bagus. Saya sendiri asalnya menjangkakan yang mereka adalah sebuah band rock alternatif.

Jika anda mendengarnya kerana Doug Aldrich, pastinya akan berpuas hati. Kerja gitar beliau sememangnya hebat. Kalau tak, tak kan lah Ronnie James Dio dan David Coverdale juga menggunakan khidmat beliau selepas dari ini. 

Dan jika anda mendengarnya kerana inginkan sebuah album hard rock yang berkualiti, pastinya anda juga akan berpuas hati. Terutamanya jika anda sukakan album hard rock dengan pengaruh blues. 


Monday, December 11, 2023

On Target

 Antara cd yang baru di beli....

Bangalore Choir – On Target (1991) 

Sebuah lagi album yang selalu disebut-sebut sebagai underated dan "hidden gem" bagi pengemar glam/hair metal. Tidak popular ketika ianya diterbitkan tetapi menjadi buruan pada masa sekarang.

Saya bersetuju. Ianya memang "hidden gem". Bagus, berkualiti dan sedap. Vokalisnya adalah David Reece. Vokalis Accept untuk album Eat The Heat (1989). Producernya juga bukan calang-calang. Max Norman yang pernah menerbitkan album-album hebat diantaranya dari Ozzy Osbourne, Megadeth, Loudness, Savatage dan Death Angel.

Bagi saya muzik mereka adalah di dalam sempadan hard rock dan AOR. "Hold On To You" kalau dipromosikan dengan betul mungkin boleh menjadi antara lagu balada yang popular. Sayangnya tak semua yang bagus bernasib baik. Saingan dengan band-band yang dah ada nama dan kemunculan grunge mungkin antara puncanya.  

Mereka ada album baru untuk tahun ini. Hasil dari reunion sejak beberapa tahun yang lepas. Tetapi ianya tidak melibatkan bassist dan drummer yang telah menganggotai Bad Moon Rising (Band Doug Aldrich) selepas album ini.

Mungkin saya akan menulis pula tentang album baru tersebut dan mungkin juga tentang Bad Moon Rising…tetapi yang pastinya On Target adalah sangat rekomended jika anda pengemar Glam/Hair Metal!


Friday, December 8, 2023

EZO

Lagi album lama yang baru berpeluang untuk beli...


E.Z.O - E.Z.O (1987)

Dulu tak berapa nak ambil tahu sangat pasal mereka. Tak ada kawan yang beli kasetnya menyebabkan tak berpeluang untuk mendengar muzik mereka secara betul. 

Ketika zaman internet dan MP3, ada juga mendengarnya secara sambil lalu. Tetapi disebabkan pada ketika itu sedang kemaruk dengan genre yang lain, muzik sebegini tak berapa nak masuk ke dalam kepala. Lagu-lagu mereka yang kebanyakannya berinsipirasikan rock 70an yang bukanlah mainan telinga untuk saya.

Cuma kebelakangan ini rasa terpanggil untuk mendengar semula band-band seperti mereka. Tambahan pula album ini adalah antara album yang disebut-sebut sebagai "underated" atau "hidden gem" bagi peminat hair/glam metal.

Setelah mendengarnya secara betul, ternyata saya sedikit tersilap. Walaupun memang betul ada pengaruh 70an yang kuat tetapi ianya tak lari jauh dari sound band-band hard rock dan glam/hair metal pada zaman tersebut. Permainan muzik mereka sememangnya cemerlang. Tak pelik lah kenapa Gene Simmons berminat untuk menerbitkan album mereka.

Mereka bersama-sama dengan Loudness adalah antara band Jepun yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Malah vokalis dan drummernya juga pernah menganggotai Loudness selepas dari ini.

Cumanya bagi saya lagu-lagu mereka tidak cukup konsisten. Ada yang bagus dan ada yang biasa-biasa sahaja. Tetapi jika anda peminat era glam/hair metal, ini adalah antara yang patut didengar.



Tuesday, December 5, 2023

Seven And The Ragged Tiger

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 21hb Nov yang lalu...

Duran Duran - Seven And The Ragged Tiger (1983)

Ini adalah kenangan ketika berumur 12 atau 13 tahun. Tahun-tahun yang mula berminat untuk mendengar muzik lebih dari aktiviti yang lain. Duduk sebilik dengan abang bermakna terpaksa mendengar apa yang dia dengar. Apa lagu yang hendak dimainkan di radio adalah kuasa mutlak beliau.
 

Dari sinilah mula mengenali Duran Duran. Pada ketika itu bagi saya mereka adalah "kumpulan muzik paling terbaik yang pernah wujud di mukabumi". Ini adalah zamannya sebelum mula terjebak ke dunia seragam hitam. Tetapi jujurnya sehingga sekarang saya masih mengangap yang mereka adalah salah satu yang terbaik. Noktah!

Sayangnya kaset album ini sudah hilang entah kemana. Tak bolehlah nak bergiler format. 


Saturday, December 2, 2023

Morgöth Tales

 Lagi antara yang terkini di pasaran...


Voivod - Morgöth Tales (2023)

Dah menjadi satu trend untuk band atau penyanyi merakamkan semula lagu lama mereka. Kali ini giliran Voivod. Ianya adalah hadiah bersempena ulangtahun mereka yang ke 40. Dan sudah semestinya mereka cuba untuk berlaku adil kepada versi lagu asal dengan memberikan sound dan produksi yang lebih bagus.

Mereka memilih untuk merakamkan satu lagu dari setiap album mereka yang popular (bukan semua album). Tetapi yang menarik untuk saya adalah "Condemned To The Gallows". Ianya tiada didalam mana-mana studio album kecuali dari album kompilasi "Metal Massacre V (1984)"


Ianya bolehlah dikatakan kompilasi lagu-lagu popular mereka (walaupun saya mengharapkan mereka merakamkan lagu yang lain dari album "Angel Rat"). 

Voivod bukanlah sebuah band yang mudah hadam. Jika anda tidak pening dengan album ini, bermakna anda telah lulus dengan cemerlang untuk mendengar album-album studio mereka yang lainnya.