Tuesday, November 29, 2016

Rusty Blade Discography

Dengan keluarnya 3 cd reissue ini...maka lengkaplah koleksi cd versi "full cover" untuk semua album Rusty Blade.


Tetapi sebenarnya jika anda sudah memiliki versi "Lagenda Rock 80an", selain gambar cover penuh. Yang lainnya tiada perbezaan. Sebijik!

Pada saya lebih menarik kalau mereka mengekalkan tracklist asal seperti di kaset. Tak perlulah lagu-lagu bonus dari album 786 Ikrar Perwira. Album itu pun dah ada versi cd. Tapi nak buat macamanakan. Seperti biasa...taglinenya..."janji ada dari tiada"...huhu...


Ini versi Lagenda Rock 80an bersama 2 album kompilasi terbaik...tak pasti berapa banyak versi "best of" yang ada...


Ini pula versi kaset...sayangnya "Berat" dah hilang ntah kemana...tengah tunggu juga kot-kot akan keluar pula versi piring hitamnya... 😀






Sunday, November 27, 2016

Private Eyes

Mengimbau kenangan 40 tahun....


Tommy Bolin - Private Eyes (1976)

Bila mula terjebak dalam hobi membeli piring hitam, ini adalah antara album yang menjadi "wish list" saya. Sebelum ini hanya sekadar mempunyai versi "sedut". Pernah bercerita bagaimana asalnya saya mengetahui tentangnya  6 tahun yang lalu. Sila baca di >SINI<

Soundnya memang lemak berkrim. Sound analog 70an seperti ini sememangnya lebih syahdu bila didengar mengunakan piring hitam. Produksinya memang tip-top. Bunyi bass nya memang berdentum. Vokal lunak Tommy dan solo gitarnya yang berjiwa membuatkannya bertambah mantap. Memang syahdu!


Sedikit info untuk yang tak tahu, Tommy Bolin adalah penganti Richie Blackmore dalam Deep Purple ketika era MK4 (1975-1976). Yang menariknya beliau seoarang gitaris yang sangat versatile. Pernah bermain pelbagai genre di dalam beberapa band yang pernah dianggotainya, Psychodelic-blues dalam Zephyr, Rock n Roll dalam James Gang, Jazz dalam Alphonse Mouzun, Fusion ketika bersama Jan Hammer dan Billy Cobham dan sudah semestinya hard rock ketika bersama Deep Purple.


Album solo keduanya ini membuktikan betapa versatile nya dia. Bukan setakat solo-solo gitar yang bagus tetapi beliau juga mempunyai vokal yang sangat bagus. Lagu lagu seperti Bustin' Out for Rosey, Sweet Burgundy, Post Toastee, Shake the Devil dan Hello,Again memang enak didengar terutamanya jika anda sukakan rock 70an yang funky dan penuh jiwa.

Sayangnya inilah hasil kerja beliau yang terakhir. Beliau meninggal dunia 3 bulan selepas album ini diedarkan. Ketika itu beliau hanya berusia 25 tahun. Pastinya akan banyak lagi karya-karya beliau yang bagus jika beliau masih hidup.

Tapi nak buat macamana, dadah punya pasal...maka selamanyalah beliau akan hanya terus diingati sebagai penganti Richie Blackmore dalam Deep Purple....bukannya sebagai seorang lagenda gitar...






Friday, November 25, 2016

Poison's Greatest Hits: 1986–1996

Sementara yang lain tengah sibuk dengan Hardwired...kita layan dulu yang lebih brutal (:p) yang akan genap 20 tahun pada hari esok 26hb Nov...


Poison's Greatest Hits: 1986–1996 (1996)

Ini adalah penghujung zaman kegemilangan Poison. Album terakhir (walaupun sekadar album kompilasi) yang mendapat anugerah double platinum. Album-album selepas dari ini memang tidak pernah mencapai tahap sebegini terutamanya seperti 3 album awal mereka.

Kompilasi ini menghimpunkan 18 buah lagu yang mana 15 lagu adalah dari zaman C.C. DeVille, (5 dari album Look What the Cat Dragged In (1986), 4 dari Open Up and Say... Ahh! (1988), 5 dari Flesh & Blood (1990) dan satu dari Swallow This Live -1991).

Hanya satu lagu dari zaman Richie Kotzen (Native Tongue -1993) dan 2 lagu "unrelease track" dari Blues Saraceno, gitaris terkini mereka pada ketika itu


Hair metal yang sentiasa ada "soft spot" buat saya. 3 album awal mereka adalah soundtrack kehidupan. Tak kisah lah nak kata poseur ker apa. Minat sejak pertama kali mendengar mereka dari zaman tape VHS Kerrang Kompilation. Bukanlah yang terbaik tetapi mereka berada di tempat dan masa yang betul.

Ianya sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin mencuba Poison. Walaupun sebenarnya muzik mereka juga berevolusi dari satu album ke satu album yang lainnya. 10 tahun yang berwarna warni. 10 tahun gemilang yang tak akan mereka perolehi lagi...






Wednesday, November 23, 2016

Yours Truly

Yang menyambut ulangtahun ke 20...


Cromok - Yours Truly (1996) - keluaran semula 2016

Tak pernah terlepas membeli setiap kaset Cromok ketika ianya diriliskan. Tetapi saya bukanlah peminat tegar mereka. Ada kalanya beli tetapi bukanlah untuk di dengar sangat pun. Ini penyakit gatal tangan setiap kali menyinggah ke kedai kaset. Tengok-tengok mesti akhirnya terbeli juga.

Yours Truly adalah dalam kategori tersebut. Tak berapa nak dengar sangat pun. Cromok yang betul-betul saya dengar dari kulit ke kulit hanyalah sehingga Forever In Time. Muzik mereka saya rasakan sedikit berubah selepas dari itu. Tak pasti berapa lagu yang solonya dimainkan oleh Khalid Mobin (Rusty Blade) tetapi memang agak jelas perbezaannya. Ketukan drumnya pun begitu. Bunyinya lebih padu. Mungkin juga kerana penangan Zan (Rusty Blade).


"Siblings", "Stranger", "Maram Perapu Kepunden Paran Sekeper" dan "Final Ticking" adalah yang paling menarik. Lainnya ada sedikit kurang bagi pendengaran telinga saya. Biasa -biasa sahaja.

Tetapi penyakit di zaman kaset berterusan. Walaupun dah ada cdnya dalam koleksi cd Anthology (2009) tetapi tetap gatal tangan juga dengan membeli cd reissue ini....








Monday, November 21, 2016

Licensed To Ill

Antara album terpenting dalam sejarah yang menyambut ulang tahun ke 30 pada 15hb November yang lalu...


Beastie Boys - Licensed To Ill (1986)

Tak berminat dengan hip hop ataupun rap. Tetapi yang ini ada pengecualian. Kali pertama mendengar lagu "(You Gotta) Fight for Your Right (to Party!)", mati-mati saya ingatkan mereka adalah kumpulan rock. Sehinggalah seorang rakan meminjamkan kasetnya kepada saya.  Ketika itu barulah saya tahu yang mereka sebenarnya adalah sebuah kumpulan hip hop.

Banyak juga "sample" dari band-band rock yang mereka guna pakai contohnya dari Led Zeppelin, Black Sabbath dan ACDC. Mereka asalnya adalah sebuah band hard core punk. Maka tak hairanlah jika mereka banyak memasukan elemen rock dalam muzik hip hop mereka.


Walapun mereka kumpulan hip hop, tetapi lagu berentak rock, "(You Gotta) Fight for Your Right (to Party!)" lah yang mengenalkan mereka kepada dunia mainstream. Lagu ini membantu album Licensed To Ill menjadi album hip hop/rap pertama dalam sejarah menduduki carta no 1 di Billborad 200. Jangan tak percaya, walaupun muzik rap/hip hop di dominasi oleh golongan kulit hitam tetapi trio kulit putih inilah yang menjadikan rap/hip hop ke pentas mainstream. Mugkin juga orang putih disana terpedaya denga lagu "You Gotta) Fight for Your Right (to Party!)". Ingat band rock...rupanya hip hop...sama seperti saya...hahaha....

Selain "(You Gotta) Fight for Your Right (to Party!)", saya juga tertarik dengan sebuah lagi lagu berentak rock yang bertajuk "No Sleep till Brooklyn".  Bukan sahaja tajuknya diilhamkan dari lagu "No Sleep 'til Hammersmith" dari Motörhead tetapi mereka juga menjemput Kerry King dari Slayer untuk menyolo dalam lagu ini. Malah Kerry King juga muncul dalam video clip lagu tersebut.

Sebenarnya hanya 2 lagu tersebut yang saya suka. Jujurnya saya kurang berminat dengan hip hop. Namun begitu banyak juga lagu-lagunya yang sedap. "Brass Monkey" dan "Paul Revere" contohnya. Cd ini saya beli demi kenangan ketika saya menuntut di ITM. Saya dan seorang rakan yang gemar gansta rap bertukar-tukar kaset mencuba genre yang kami tak biasa. Cuba juga mendengar NWA dan Public Enemy...tetapi tak boleh nak masuk...





Sunday, November 20, 2016

Sudah Sampai Sini : Kluang Rail Coffe


Jalan jalan cari makan sempena cuti umum yang lalu. Lama dah berhajat nak kesini. Nama jer orang Johor tapi seumur hidup belum pernah sampai ke Kluang Rail Coffe ni. Sebenarnya bukan lah jauh sangat pun dari tempat kediaman tetapi ntah mengapa memang Kluang lah satu satunya daerah di Johor yang amat jarang saya kunjungi.


Sayangnya nasib tak baik. Rupa-rupanya Kluang Rail Coffe yang terletak di Stesen Keretapi Kluang ini ditutup pada waktu tengahari (12.30 hingga 2.30). Nasib juga adik manis si penjaga parking di Stesen Keretapi ini mengesyorkan saya ke cawangannya yang satu lagi.


Lokasinya tak berapa jauh juga...sila google...ianya di kawasan rumah kedai. Boleh tahan besar kedainya. Selesa dan bersih. Ruang dalamnya pun menarik. Ada juga gambar-gambar lama stesen keretapi Kluang.


Antara makanan yang dipesan. Tak ingat dah apa tajuknya. Ada lagi yang lupa nak tangkap gambar.


Ni anak bongsu punya. Set untuk kanak-kanak. Pun tak ingat apa tajuk menunya.


Yang ni pula antara menu yang direkomen oleh encik yang ambil order. Sebenarnya nak order roti bun bakar, tapi dah habis la pulak. Seingat saya dulu masa mereka ada franchise di Plaza Kotaraya, Johor Bahru (sekarang dah tutup), roti bakar mereka antara yang popular. Perisa kaya resepi buatan sendiri dorang yang buat sedap. Makan dengan kopi o kaw...memang sedap!


Sebenarnya kalau nak kata sedap sangat pun tak juga.  Biasa-biasa sahaja. Tetapi mungkin kerana jenamanya tu yang membuatkannya popular. Tapi sayang juga tak dapat makan kat tempatnya yang asal. Datang balik pukul 2. Kedai belum bukak...tapi dah ramai yang menunggu...dasyat betul branding kedai ni...




Thursday, November 17, 2016

Darkness Descends

Yang menyambut ulang tahun ke 30 pada hari ini, 17hb Nov...


Dark Angel - Darkness Descends (1986)

Lagi satu "landmark" album thrash dari tahun 1986. Berderet-deret album thrash diterbitkan pada tahun tersebut. Seperti yang lainnya, Darkness Descends juga hanya dapat saya dengar pada penghujung 80an atau pun awal 90an. Itupun kaset pinjam.

Mula-mula dengar agak kurang gemar kerana soundnya yang agak mendap. Tetapi ianya jenis "grower". Makin lama dengar makin sedap. Tambah pula ketika itu demam thrash tengah melanda. Di zaman remaja saya yang mana muzik extreme dan brutal itu yang sememangnya di cari. Makanya Darkness Descends sememangnya kena denga jiwa.


Muziknya adalah thrash yang laju. Mungkin juga boleh dipangil sebagai extreme thrash. Yang menariknya dalam laju dan brutal ada melodic nya. Boleh tangkap juga pengaruh Reign In Blood di dalamnya. Paling menarik pada saya adalah ketukan drum padu dari Gee Hoglan. Memang power!

Sayangnya Dark Angel tidak menjadi nama besar seperti yang sepatutnya. Mungkin bukan yang terbaik tetapi Darkness Descends adalah salah satu album thrash yang penting dalam sejarah, Kalau anda thrash....ini sepatutnya menjadi milik anda.




.

Wednesday, November 16, 2016

Rock And Roll Over

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 11hb Nov yang lalu...


KISS - Rock And Roll Over (1976)

Zaman 70an dulu kebanyakan artis merakamkan album dalam tempoh masa yang singkat diantara satu album dengan album yang berikutnya. KISS - Rock and Roll Over adalah salah satu contohnya. Ianya diedarkan 8 bulan selepas Destroyer.

Yang menariknya Rock And Roll Over tidak mengikut formula Destroyer. Mereka tidak lagi menggunakan Bob Ezrin sebagai penerbit walaupun beliau membawa Destroyer sebagai album terlaris yang mengenalkan mereka ke mata dunia.

Sebaliknya mereka memilih Eddie Kramer. Seorang lagi penerbit lagenda. Hasilnya Rock And Roll Over menjadi sebuah album yang lebih "straight forward". Lebih "simple". Back to basic. Catchy rock and roll yang bertenaga.


Satu-satunya formula yang hampir sama adalah sekali lagi Peter Criss dibenarkan menyanyi. Kali ini 2 lagu. Lagu balada "Hard Luck Women" walaupun tidak mencapai kedudukan seperti "Beth" tetapi tetap juga memasuki carta. Sedap juga lagunya. Asalnya mahu diberikan kepada Rod Steward. Tetapi Gene mahukan Peter. Hasilnya memang berbunyi seperti lagu-lagu 70an nyanyian Rod Steward.

Bagi saya pula hanya "Hard Luck Women" dan "Calling Dr. Love" yang pernah saya dengar sebelum memiliki cd ini. Kedua-dua lagu tersebut ada dalam kompilasi Greatest KISS. Saya sukakan sound kasar album ini tetapi lagu-lagunya agak kurang melekat. Selain 2 lagu yang sebutkan tadi, lagu "I Want You" berjaya memikat hati saya. Yang lainnya...dengar...ok...lupa...








Monday, November 14, 2016

Nafas

Sempena 20 tahun dan tribute kepada Arab...


Lefthanded - Nafas (1996)

Satu-satunya album live Lefthanded. Sayangnya tanpa Nash dan Arwah Man Dayak. Tempatnya digantikan oleh Arwah Arab dan Tom. Cuma ada 6 lagu. Selebihnya adalah 2 lagu versi akustik yang gitarnya dimainkan oleh Eddie Marzuki dan 2 lagu baru ciptaan Arwah Arab yang dimainkan oleh Arwah Samad, Yan dan Tom tanpa Man Kidal.

Bagi saya ianya tidak cukup Lefthanded. Bukan untuk menidakkan kehebatan vokal Arwah Arab dan ketukan drum Tom. Tetapi tanpa Nash dan Arwah Man Dayak, selayaknya mungkin cd ini dinamakan Lefthanded dan rakan-rakan. Membelinya dulu semata-mata kerana mahu mendengar petikan live gitar Man Kidal dan Arwah Samad dalam 6 lagu tersebut.

Ini versi 1st press...dah keluar dah pun versi reissue...tak pasti apa bezanya pasal tak beli...

Dengan reputasi Man Kidal, Arwah Samad, Yan dan Tom memang sudah semestinya persembahan live mereka memang tiada cacat celanya. Sound sedap. Memang power. Vokal Arab pun bagus. Kira sesuai jugalah beliau diambil untuk mengantikan Nash. Malah lagu Semangat Lamina pun dia bawa dengan baik. Saya lebih menyukai versi live ini berbanding versi Ramli Sarip. Mungkin kerana versi ini lebih betul betul saya dengar berbanding versi album Fanatisme.


Agak terkejut juga mendapat berita tentang permergian beliau. Saya tidak mengikuti sangat perkembangan karier beliau tetapi saya tahu selain mempunyai vokal yang baik, arwah juga seorang komposer yang bagus. Satu satunya lagu nyanyian beliau yang saya tahu adalah "Bila Bulan Berwarna Biru". Itupun setakat mendengar di radio dan tidak pernah mendengar album penuh Arab & Aidit. (baru jer kan keluar versi cd reissue)

Berbalik pada Nafas, Saya sebenarnya menantikan solo Prodigal Son, sayangnya semenjak kontroversi solo ini tersebar rasanya Arwah Samad dan Man Kidal sememangnya dah tak main pun dah versi solo dari BOTB tu..



Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab)
1966 -2016
"Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" 
 "Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya."





Saturday, November 12, 2016

Wake Up and Smell the... Carcass

Ulangtahun yang ke 20 tahun pada hari ini, 12hb November...


Carcass - Wake Up and Smell the... Carcass (1996)

Ini hanyalah kompilasi lagu-lagu bonus, b sides, alternate versions, live tracks dan unreleased rarities sempena berkuburnya Carcass pada ketika itu. Mungkin bukan untuk "casual listerner" tetapi untuk peminat mereka, ini adalah sesuatu yang perlu anda miliki. Ianya diterbitkan berserta dengan dvdnya sekali (hanya memiliki versi sedut).


Ianya adalah perjalanan evolusi muzikal Carcass secara terbalik. Dari era terkini pada ketika itu melalui lagu lagu lebihan ketika rakaman album Swansong (1995) membawa kepada rakaman live era melodic death metal, Heartwork (1993) dan seterusnya ke era Necrotism (1991) dan zaman grindcore mereka di penghujung 80an.

Kalau anda sukakan era Swangsong ataupun Heartwork pastinya anda akan suka kompilasi ini. Mungkin boleh juga jika anda baru nak berjinak-jinak mendengar Carcass.


Namun begitu saya tidak pernah memiliki kasetnya. Ketika itu, saya sedang dalam fasa konon-kononnya berhenti dari membeli dan menjadi mat metal selepas berkahwin. Hahaha...Tetapi ianya tidak bertahan lama. Hobi dan minat memang tidak boleh dipaksa-paksa. Saya membeli cd ini beberapa tahun selepas itu dan kekal menjadi mat metal poser sehingga kini....huhu...

"I Told You So (Corporate Rock Really Does Suck)".................. Rrrrot!!!!!





Thursday, November 10, 2016

Morbid Visions

Menyambut ulang tahun ke 30 pada hari ini, 10hb November...


Sepultura - Morbid Visions (1986)

Morbid Visions membuktikan yang sememangnya tahun 1986 adalah antara tahun terbaik untuk metal. Memang banyak album yang berpengaruh lahir pada tahun tersebut. Pada saya Morbid Visions adalah lebih kepada death metal berbanding thrash yang mempopularkan mereka kemudiannya.

Ini bukanlah yang terbaik dari mereka. Tetapi dari sinilah mereka bermula. Ketika itu mereka hanyalah sekadar pemuda belasan tahun dari Brazil yang memberontak (rebellious) dengan bajet studio yang kecil. Skill permainan muzik tahap amatur. Kualiti sound yang kasar dan produksi yang kurang elok. Komposisi lagu yang penuh dengan pengaruh Celtic Frost, Venom dan Slayer. (Di dalam inlay cd remaster ini, ada tertulis yang Max mengakui yang Morbid Visions adalah ilham dari Morbid Tales - Celtic Frost). Tetapi inilah tapak yang mengenalkan mereka kepada dunia.


Sepultura pertama saya adalah Beneath The Remains (1989) kemudian baru kebelakang dengan Schizophrenia dan Morbid Visions. Maka sudah pastinya produksi bersih dan lagu lagu mantap dalam Beneath The Remains membuatkan saya agak kurang berminat dengan Morbid Visions terutamanya dalam soal sound dan produksinya. Saya pernah terbaca yang Max Cavalera sendiri kurang gemar dengan produksi Morbid Vision.

Namun begitu ada juga lagu yang bagus. Troops of Doom pada saya adalah antara karya terbaik mereka. Necromancer juga. Bukanlah yang terbaik tetapi mereka mejadi semakin bagus selepas dari ini...



Tuesday, November 8, 2016

XX


On this day, 20 years ago, I was busy the entire day memorizing the most important sentence of my life...



We're 20....and we're doing just fine...


(macam best pulak benda2 camni cakap omputeh...hahaha...)





Monday, November 7, 2016

Boston

Yang 40 tahun pada 25hb Ogos yang lalu...



Boston - Boston (1976)

Konon nak tulis pasal album ni...rupa-rupanya baru perasan dah pernah tulis pasalnya 4 tahun yang lalu....makanya untuk disenangkan cerita...kalau berminat nak baca, sila klik >SINI<

(senang tak payah nak perah idea untuk menulis...hahaha...)


Apa-apa pun sampai sekarang...sekali sekala dengar kat radio mesti singalong...takpun...bila lama tak dengar...bukak youtube...layan "More Than A Feeling"...ini memang betul-betul timeless classic rock punya lagu...masterpiece!!!



Sunday, November 6, 2016

Doctor Strange



Doctor Strange (2016)

Asalnya ke panggung ingatkan hendak menonton Rock Bro, tetapi atas kuasa majoriti anak-anak yang mahukan Doctor Strange. Si bapa terpaksa mengalah...huh!..

Tak baca komik dan tak ikut perkembangan cerita-cerita superhero. Makanya tak tau pun Doctor Strange ni berkenaan apa. Tetapi bila melihat pelakonnya adalah Benedict Cumberbatch, rasa tertarik juga. Saya adalah pengemar siri tv Sherlock. Sesuai benar beliau dengan watak Doctor Strange. Gaya angkuh/ego dia tu memang tak ubah macam menonton cerita Sherlock. Muka dan gaya beliau memang sesuai benar dengan watak-watak yang sebegini.

Tetapi yang paling menarik tentang filem Doctor Strange pada saya adalah visual babak aksinya. Babak pergaduhan di "multi dimensional world" yang mana segala bangunan boleh berpusing-busing macam main "rubik cube" tu memang sangat menarik. Memang dasyat teknik CGI mereka.

Sebagai seorang yang bukan peminat filem superhero. Rasanya filem ini kekuatannya bukan pada jalan cerita. Tetapi ianya lebih kepada lakonan berkesan Benedict Cumberbatch dan teknik CGI yang sangat ohsem.

yang ni ntah bila nak tengok....





Friday, November 4, 2016

Trilogy

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada hari ini, 4hb November


Yngwie Malmsteen - Trilogy (1986)

Lagi yang menarik dari tahun 1986. Sesuai dengan namanya Trilogy, ianya pada saya adalah yang terakhir dari trilogy 3 album terawal Malmsteen iaitu Rising Force (1984). Marching Out (1985) dan Trilogy (1986).  Album selepasnya sudah sedikit berubah. Lebih komersial.

Namun begitu album ini juga sudah nampak arah "mainstream"nya. Mungkin Malmsteen mahukan muziknya lebih dikenali ramai. Lebih mainstream. Pada ketika itu rasanya dia sudah berjaya. Berapa ramai "copycat" yang mahu bermain sepertinya. Termasuklah yang "jari bangku" seperti saya. Haha...


Banyak juga lagu yang sedap. "You Don't Remember, I'll Never Forget", "Queen in Love", "Fury", "Magic Mirror" dan instrumental "Crying" antara yang menarik. Tak payah cerita pasal kerja gitar Malmsteen la. Semua dah tahu dia bagus. Tapi saya tertarik juga dengan ketukan drum  Anders Johansson. Padu!. Dan paling underated adalah Mark Boals. Susah dia nak ganti reputasi tinggi Jeff Scott Soto. Saya sendiri pun dulunya fan boy Jeff. Sekarang ini la baru rasa ok juga sebenarnya suara Mark Boals.

Satu kenangan tentang album ini adalah "You Don't Remember, I'll Never Forget". Setiap kali member sekolah (biasanya perempuan la) bagi buku biodata dorang yang kita kena tulis ucapan kat dalam dia atau apa2 kad perpisahan mesti tulis perkataan ini "You Don't Remember, I'll Never Forget".  Kira terer betul dah english masa tu…hahaha...




Wednesday, November 2, 2016

Gila Format - 786 Ikrar Perwira




tak beli versi kaset yang baru...masih simpan kaset yang asal walaupun versi lanun...ianya lebih bernostalgia...

btw...sila kumpul duit...Hukum Karma versi piring hitam pula akan menyusul....





Tuesday, November 1, 2016

Pleasure To Kill

30 tahun hari ini, 1hb November...



Kreator - Pleasure to Kill (1986)

1986 adalah antara tahun terbaik bagi genre muzik yang dikenali sebagai thrash. Banyak album-album terbaik dan berpengaruh lahir pada tahun tersebut. Salah satu darinya adalah Pleasure To Kill.

Mungkin ia bukannya terbaik dari mereka. Pada saya Extreme Aggression, Terrible Certainty dan kegemaran saya Coma Of Souls adalah lebih baik. Penciptaan lagu dan susunan muziknya jauh lebih bagus. Namun begitu tidak boleh dinafikan Pleasure to Kill tetap hebat. Pengaruhnya kepada genre death metal memang tidak boleh dinafikan.



Lagu-lagunya memang brutal. Ketukan drums dari Jürgen "Ventor" Reil memang laju dan padu. Mereka adalah jawapan Eropah kepada Slayer. Saya mendengarnya hampir sama waktunya dengan Reign in Blood. Di zaman remaja yang tag linenya laju itu bagus, Pleasure to Kill dengan sekelip mata menjadi pujaan.

Sama seperti Reign in Blood, ini adalah album yang akan sentiasa membuatkan saya berjiwa muda setiap kali mendengarnya. Jika muzik anda brutal dan laju ini mungkin album untuk anda.