Thursday, December 28, 2023

Lima Belas Tahun

Setiap December adalah bulan ulangtahun bagi blog Berteromber. Tahun ini adalah tahun ke 15. Masih gagah untuk bertahan.

Selagi ada masa dan kudrat untuk menulis dan selagi ada muzik secara fizikal untuk dijadikan bahan…selagi itu lah blog ini akan terus bertahan.

Mungkin kekerapan menulis tidak selincah dulu. Yang membaca pun dah semakin berkurangan. Dulu beratus…sekarang nak dapat 30 pun makan masa berbulan. Tak kisahlah… Ini blog syiok sendiri.

Terimakasih kepada yang masih berkunjung…Lu memang brader!


Wednesday, December 20, 2023

Reconnected

Sambungan dari Bad Moon Rising - Blood. 

Hurricane - Reconnected (2023)

Sedikit info yang tertinggal dari entri yang lepas (Bad Moon Rising - Blood). Sebelum Doug Aldrich menubuhkan Bad Moon Rising, beliau terlebih dahulu menyertai Hurricane untuk satu album, Slave to the Thrill (1990). Dan kebetulan pula Hurricane ada album baru.

Ini adalah album yang ke 5. Ianya album "comeback" bagi Robert Sarzo (gitar - adik Rudy Sarzo) dan Tony Cavazo (Bass - adik Carlos Cavazo). Mereka berdua tidak terlibat di dalam album sebelumnya, Liquifury (2001). Manakala Kelly Hansen (vokal) sekarang bersama Foreigner, dan Jay Schellen (drums) sekarang bersama Yes pula tidak bersama untuk album terbaru ini.

Bermakna ini adalah Hurricane versi Rudy dan Tony berbanding sebelumnya adalah versi Kelly dan Jay. Percubaan di Spotify menyebabkan rasa tertarik hati untuk membeli cdnya.

Walaupun tanpa vokalis asal, Hurricane versi Rudy dan Tony ini seperti tajuknya, Reconnected benar-benar menyambung saya kembali ke era 80an. Sound dan rasanya benar-benar mengimbau ke zaman tersebut.

Nak kata best sangat mungkin ianya macam terlebih pula. Tetapi cukuplah kalau saya katakan yang Reconnected benar-benar menghiburkan. Terutamanya bagi yang sukakan genre hard rock / hair / glam metal 80an. 

Semua lagu sedap. Best!



Friday, December 15, 2023

Blood

 Kesinambungan dari entri lepas (On Target)

Bad Moon Rising - Blood (1993)

Satu lagi album yang tak pernah di dengar pada ketika ianya diterbitkan. Bad Moon Rising adalah band Doug Aldrich selepas Lion dan sebelum beliau menyertai Dio untuk album Killing the Dragon (2002).

Blood adalah album kedua mereka. Saya memilih album ini kerana hubung kaitnya dengan Bangalore Choir - On Target. Pemain bass dan drummernya adalah orang yang sama. Mereka meninggalkan Bangalore Choir selepas band tersebut gagal.

Seperti On Target, Blood juga diwar-warkan sebagai 'hidden gem bagi pengemar muzik glam/hair metal di era 90an. Ianya diterbitkan ketika demam grunge sedang melanda. Maka tak hairanlah kenapa album sebegini gagal dipasaran walaupun ianya sangat bagus. Saya sendiri asalnya menjangkakan yang mereka adalah sebuah band rock alternatif.

Jika anda mendengarnya kerana Doug Aldrich, pastinya akan berpuas hati. Kerja gitar beliau sememangnya hebat. Kalau tak, tak kan lah Ronnie James Dio dan David Coverdale juga menggunakan khidmat beliau selepas dari ini. 

Dan jika anda mendengarnya kerana inginkan sebuah album hard rock yang berkualiti, pastinya anda juga akan berpuas hati. Terutamanya jika anda sukakan album hard rock dengan pengaruh blues. 


Monday, December 11, 2023

On Target

 Antara cd yang baru di beli....

Bangalore Choir – On Target (1991) 

Sebuah lagi album yang selalu disebut-sebut sebagai underated dan "hidden gem" bagi pengemar glam/hair metal. Tidak popular ketika ianya diterbitkan tetapi menjadi buruan pada masa sekarang.

Saya bersetuju. Ianya memang "hidden gem". Bagus, berkualiti dan sedap. Vokalisnya adalah David Reece. Vokalis Accept untuk album Eat The Heat (1989). Producernya juga bukan calang-calang. Max Norman yang pernah menerbitkan album-album hebat diantaranya dari Ozzy Osbourne, Megadeth, Loudness, Savatage dan Death Angel.

Bagi saya muzik mereka adalah di dalam sempadan hard rock dan AOR. "Hold On To You" kalau dipromosikan dengan betul mungkin boleh menjadi antara lagu balada yang popular. Sayangnya tak semua yang bagus bernasib baik. Saingan dengan band-band yang dah ada nama dan kemunculan grunge mungkin antara puncanya.  

Mereka ada album baru untuk tahun ini. Hasil dari reunion sejak beberapa tahun yang lepas. Tetapi ianya tidak melibatkan bassist dan drummer yang telah menganggotai Bad Moon Rising (Band Doug Aldrich) selepas album ini.

Mungkin saya akan menulis pula tentang album baru tersebut dan mungkin juga tentang Bad Moon Rising…tetapi yang pastinya On Target adalah sangat rekomended jika anda pengemar Glam/Hair Metal!


Friday, December 8, 2023

EZO

Lagi album lama yang baru berpeluang untuk beli...


E.Z.O - E.Z.O (1987)

Dulu tak berapa nak ambil tahu sangat pasal mereka. Tak ada kawan yang beli kasetnya menyebabkan tak berpeluang untuk mendengar muzik mereka secara betul. 

Ketika zaman internet dan MP3, ada juga mendengarnya secara sambil lalu. Tetapi disebabkan pada ketika itu sedang kemaruk dengan genre yang lain, muzik sebegini tak berapa nak masuk ke dalam kepala. Lagu-lagu mereka yang kebanyakannya berinsipirasikan rock 70an yang bukanlah mainan telinga untuk saya.

Cuma kebelakangan ini rasa terpanggil untuk mendengar semula band-band seperti mereka. Tambahan pula album ini adalah antara album yang disebut-sebut sebagai "underated" atau "hidden gem" bagi peminat hair/glam metal.

Setelah mendengarnya secara betul, ternyata saya sedikit tersilap. Walaupun memang betul ada pengaruh 70an yang kuat tetapi ianya tak lari jauh dari sound band-band hard rock dan glam/hair metal pada zaman tersebut. Permainan muzik mereka sememangnya cemerlang. Tak pelik lah kenapa Gene Simmons berminat untuk menerbitkan album mereka.

Mereka bersama-sama dengan Loudness adalah antara band Jepun yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Malah vokalis dan drummernya juga pernah menganggotai Loudness selepas dari ini.

Cumanya bagi saya lagu-lagu mereka tidak cukup konsisten. Ada yang bagus dan ada yang biasa-biasa sahaja. Tetapi jika anda peminat era glam/hair metal, ini adalah antara yang patut didengar.



Tuesday, December 5, 2023

Seven And The Ragged Tiger

Yang menyambut ulangtahun ke 40 pada 21hb Nov yang lalu...

Duran Duran - Seven And The Ragged Tiger (1983)

Ini adalah kenangan ketika berumur 12 atau 13 tahun. Tahun-tahun yang mula berminat untuk mendengar muzik lebih dari aktiviti yang lain. Duduk sebilik dengan abang bermakna terpaksa mendengar apa yang dia dengar. Apa lagu yang hendak dimainkan di radio adalah kuasa mutlak beliau.
 

Dari sinilah mula mengenali Duran Duran. Pada ketika itu bagi saya mereka adalah "kumpulan muzik paling terbaik yang pernah wujud di mukabumi". Ini adalah zamannya sebelum mula terjebak ke dunia seragam hitam. Tetapi jujurnya sehingga sekarang saya masih mengangap yang mereka adalah salah satu yang terbaik. Noktah!

Sayangnya kaset album ini sudah hilang entah kemana. Tak bolehlah nak bergiler format. 


Saturday, December 2, 2023

Morgöth Tales

 Lagi antara yang terkini di pasaran...


Voivod - Morgöth Tales (2023)

Dah menjadi satu trend untuk band atau penyanyi merakamkan semula lagu lama mereka. Kali ini giliran Voivod. Ianya adalah hadiah bersempena ulangtahun mereka yang ke 40. Dan sudah semestinya mereka cuba untuk berlaku adil kepada versi lagu asal dengan memberikan sound dan produksi yang lebih bagus.

Mereka memilih untuk merakamkan satu lagu dari setiap album mereka yang popular (bukan semua album). Tetapi yang menarik untuk saya adalah "Condemned To The Gallows". Ianya tiada didalam mana-mana studio album kecuali dari album kompilasi "Metal Massacre V (1984)"


Ianya bolehlah dikatakan kompilasi lagu-lagu popular mereka (walaupun saya mengharapkan mereka merakamkan lagu yang lain dari album "Angel Rat"). 

Voivod bukanlah sebuah band yang mudah hadam. Jika anda tidak pening dengan album ini, bermakna anda telah lulus dengan cemerlang untuk mendengar album-album studio mereka yang lainnya.


Monday, November 27, 2023

U2 - The Best of 1980–1990

 Hasil menyelongkar gerobok cd...

U2 - The Best of 1980–1990 (1998)

Saya bukanlah peminat U2. Dan tak ingat bagaimana cd ini boleh berada dalam simpanan. Berkemungkinan besar ianya adalah pemberian dari abang. 

Beliau sememangnya peminat besar U2. Terutamanya album The Joshua Tree (1987). Saya cuba juga untuk jatuh minat. Tetapi tidak berjaya. Sememangnya selera berbeza walaupun dari pertalian darah yang sama.


Tetapi sejarah saya bersama U2 adalah lebih awal dari itu. Lagu pertama mereka yang saya dengar adalah Pride (In the Name of Love) dari album The Unforgettable Fire (1984). Ianya juga adalah dari abang. 

Lagunya sedap. Tetapi ianya hanyalah sekadar lagu yang mengamit memori zaman awal remaja. Nak kata minat sangat pun tak juga.

Tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya cd ini, boleh la juga menyampuk kalau ada yang nak berbual tentang U2. Dan rasanya tak ada masalah juga untuk menamakan 3 lagu jika ada yang bertanya…hahah..


Monday, November 20, 2023

Race Against Time

 Lama juga dah beli...tapi baru sekarang ada rasa nak menulis tentangnya...

Banshee - Race Against Time (1989)

Antara band yang boleh di kategorikan sebagai "underated".

Dulunya macam pernah terbaca tentang mereka di majalah. Tetapi mana-mana band yang tak ada kasetnya dijual di sini dan tak ada juga dimiliki oleh kawan sememangnya kurang di ambil endah. Hanya mula mencuba muzik mereka apabila EP mereka, Cry In The Night (1986) ada termasuk di dalam senarai antara album pilihan dari genre US Power Metal.

Tak dapat cari EP tersebut dalam bentuk cd , yang ada cuma album pertama mereka ini. Ianya sedikit berbeza dari EP tersebut. Race Against Time muziknya lebih bersih (polished). Walaupun masih ada bunyian USPM, tetapi ianya lebih pelbagai. Melodic metal yang didalamnya ada elemen pop dan heavy metal. Tetapi yang pentingnya sedap bagi yang gemar genre sebegini.

Tetapi tidak semua yang bagus itu akan berjaya. Banshee termasuk di dalam senarai antara band yang gagal. Dan band-band sebegini biasanya akan masuk di dalam senarai band obscure bagi golongan yang mencari. Dan saya adalah salah seorang dari golongan tersebut.


Friday, November 17, 2023

The Hallowed

Album terkini dari lagenda US Power Metal...

The Hallowed - Jag Panzer (2023)

Band-band lama seperti mereka dah tahu apa yang mereka dan peminat setia mahukan. Walaupun ianya formula yang sama berulang-ulang, tetapi itulah tujuannya mengapa kita terus mendengar band-band seperti mereka.

Apa yang kita mahu, itulah yang mereka berikan. Klasik heavy / power metal yang melodic, catchy tetapi sedikit moody dan perlahan. Mungkin bersesuaian dengan usia.

Kalau ada nak komplen pun mungkin dari segi momentum yang agak menurun apabila menuju ke penghujung album. Namun ianya bukan alasan untuk menidakkan yang The Hallowed adalah sebuah album klasik heavy metal yang berkualiti.

The Hallowed meletakan Jag Panzer terus utuh sebagai salah sebuah band heavy metal terbaik dari era awal US Power Metal.


Tuesday, November 14, 2023

Morbid Visions

Tak lengkap kalau ada cd reissue Bestial Devastation tetapi tak ada yang ini...


Cavalera - Morbid Visions (2023)

Sama seperti Bestial Devastation, album ini juga diberi nafas baru dengan produksi rakaman yang lebih bagus dari yang asal. 

Tabik kepada adik beradik Cavalera. Rakaman semula ini dilakukan dengan sebaik mungkin tanpa mengubah rasa muziknya yang asal. Yang berubahnya hanya dari segi produksi bunyi dan skill permainan individu mereka yang semakin bertambah baik. Tetapi "rasa"nya masih seperti yang lama.

Walaupun begitu…ramai jer yang suka dengan sound album yang lama. Lagi rabak dan sebu lagi "true" katanya… haha…



Friday, November 10, 2023

Bestial Devastation

 

Lagi antara yang terkini di pasaran....


Cavalera - Bestial Devastation (2023)

Memang rasa teruja bila dapat tahu yang Max dan Igor Cavalera mahu merakamkan semula lagu-lagu dari EP Bestial Devastation.

Tak berapa suka dengan produksi yang asal. Soundnya mendap dan tak "balance". Tetapi sedikit bimbang jika ianya diubah dan tak sama dengan yang asal. Tetapi adik beradik Cavalera telah melakukan apa yang sepatutnya. Ianya masih mengekalkan rasa dan sentuhan yang asal. Apa yang berubah hanya soundnya yang lebih rapi, kemas dan jelas. Ianya memberikan satu keadilan kerana lagu-lagu dari Bestial Devastation sememangya bagus dan sepatutnya mendapat produksi yang lebih baik.

Rakaman kali ini meggunakan khidmat anggota Cavalera Conspiracy yang terkini, Igor Amadeus Cavalera (anak Max) di posisi bass dan Daniel Gonzales di bahagian gitar. Tambahan menarik cover albumnya juga diberikan sentuhan baru yang pada saya lebih menarik dari yang asal.

Kalau anda merindui Sepultura yang lama, album ini tidak sepatutnya anda lepaskan.


Tuesday, November 7, 2023

Congregation of Annihilation

 Antara album terkini dalam pasaran...

Metal Church -  Congregation of Annihilation (2023)

Saya menjangkakan yang Metal Church akan berkubur dengan kematian Mike Howe. Ternyata Kurdt Vanderhoof (gitaris dan satu-satunya anggota asal Metal Church yang tinggal) masih tidak berputus asa. Album terbaru ini yang sepatutnya dinyanyikan oleh Mike Howe, diteruskan bersama vokalis baru. Saya tak tahu siapa Marc Lopes. Tetapi berdasarkan resume, beliau adalah vokalis untuk album Ross The Boss, By Blood Sworn (2018) dan Born of Fire (2020), Sayangnya saya tidak pernah mendengar kedua-dua album tersebut.



Bak kata Kurdt Vanderhoof, ini adalah lembaran baru bagi Metal Church. Mungkin agak sukar untuk peminat lama menerima gaya vokal yang baru. Perkara yang sama pernah terjadi sebelum ini, tetapi dari segi muziknya ianya tidak banyak berubah. Malah mereka menjadi lebih berat dan agresif berbanding album-album sebelumnya. Seperti yang kita tau, Metal Church muziknya sentiasa berada di sempadan diantara thrash dan power/heavy metal. Tetapi untuk Congregation of Annihilation, ianya lebih berperisa thrash berbanding power/heavy metal. 

Jujurnya saya mengharapkan yang album ini dapat diterima baik oleh peminat mereka. Sememangnya tabik hormat untuk band-band yang masih tidak berhenti untuk terus berkarya. 

Friday, November 3, 2023

Six

Satu lagi album pilihan untuk 2023..

Extreme - Six (2023)

Antara kumpulan yang  saya tidak ketinggalan membeli dan mendengar setiap album mereka adalah Extreme. Sebahagian besarnya adalah kerana Nuno Battencourt. Beliau adalah salah seorang gitar hero yang cukup saya minati. Muka hensem, rambut lurus mengurai dan permainan gitar yang hebat menjadikan beliau mempunyai pakej seorang rockstar yang lengkap.

Selain album baru Winger, ini adalah album baru yang paling ditunggu-tunggu untuk 2023. Kebetulan pula kedua-dua mereka menggunakan nombor album sebagai tajuk. Dan kedua-duanya membuatkan saya tersenyum. 2023 telah menghasilkan 2 album hard rock gitar shredder yang hebat.

Kalau Reb Beach lebih kepada "team player" untuk album terbaru Winger, tetapi Nuno memilih untuk terus kedepan. Dan sememangnya beliau layak dan sepatutnya berbuat begitu. Tarikan utama Extreme sememangnya Nuno. Tak rasa ramai yang nak dengar Extreme kalau bukan kerana beliau. Ok la... saya tidak menafikan kehebatan vokal Gary Cherone dan anggota band yang lain. Tak padan dengan usia vokal beliau masih hebat. 

Six muziknya kurang funky seperti Extreme yang dulu. Mereka kali ini lebih kepada rock n roll moden. Ada juga sisi Nu Metal, Industrial dan Europop. Tetapi tiada yang pelik pun. Extreme sememangnya selalu bereksperimen dengan lagu-lagu yang kadang-kadangnya tak kena dengan keseluruhan album. Dan kebiasaannya itu yang kita tunggu.

Secara keseluruhannya memang padu. Solo-solo gitar berapi dan berasap. Kalau ada yang nak komplen pun dari segi soundnya yang agak mendap. Tak pasti adakah Nuno memang mahukan sound begitu (ala-ala sound 80an) atau ada sesuatu yang tak kena ketika produksinya.

Sebagai peminat, saya tidak teragak-teragak untuk terus membeli versi vinyl. Six adalah yang ke 4 selepas Senjutsu, Rock Believer dan Rad Wings of Destiny yang terus saya beli dalam 2 versi cd dan vinyl sebelum mendengar keseluruhan album. 

Satu lagi album kegemaran untuk 2023!



Tuesday, October 31, 2023

Gila Format - Retro Active

Sempena ulang tahun yang ke 30 tahun (5hb Okt)

Def Leppard - Retro Active (1993)

Lama dah tak buat cerita gila format. Padahal banyak lagi yang belum ditulis. Malas adalah alasan yang utama. Yang ini pun tak ada nak tulis apa. Dulu dah pernah tulis dah >SINI> Kali ini sekadar berkongsi gambar.

Retro active adalah album terakhir Def Leppard yang saya betul-betul suka. Mungkin kerana ianya masih ada sentuhan Steve Clark dan lagu-lagunya masih ada perisa Def Leppard yang lama.

Kalau ikut tarikh di kaset, ianya dibeli pada 7hb Okt 1993, bermakna 3 hari selepas ianya dilancarkan. Zaman kaset dulu biasanya band-band besar seperti Def Leppard setiap album baru mereka pastinya ada promosi dari syarikat rakaman dan kedai-kedai kaset yang terlibat. Dan ianya akan mula dijual secara serentak serata dunia. Bagi yang "die hard fan" biasanya pagi-pagi dah terpacak di kedai kaset untuk menjadi antara orang yang pertama membeli.  

Perkara yang dah tak wujud untuk masa sekarang. Zaman dah berubah. Sekarang, sambil baring atas katil dengar Spotify/Youtube pun dah boleh menjadi antara orang yang pertama dengar. Benda dah jadi mudah. Tetapi perasaannya memang tak akan sama. Itupun untuk mereka yang pernah hidup zaman tersebut. Bagi budak sekarang ianya tak penting sangat pun...


Friday, October 27, 2023

Friday, October 20, 2023

Horns for a Halo

 Lagi album terkini di pasaran...

Elegant Weapons - Horns for a Halo (2023)

Pembelian secara cuba jaya. Membelinya kerana nama Richie Faulkner (Judas Priest) dan cadangan dari Deaf.

Sound dan permainan muziknya tip top. Maklumlah, ini adalah super band. Yang bermain bass adalah Rex Brown (Pantera) dan drummer mereka adalah Scott Travis (Judas Priest). Semuanya pemuzik yang hebat. 

Tambah pula vokalisnya adalah Ronnie Romero. Vokalis metal yang paling "in demand" buat masa sekarang. Pernah menghasilkan album bersama gitaris lagenda seperti Ritchie Blackmore (Rainbow), Michael Schenker (MSG) dan Adrian Vandenberg (Vandenberg) menjadikan beliau adalah seorang vokalis yang berprofil tinggi.

Horns for a Halo adalah "straight forward" heavy metal yang "generic". Lagu-lagunya melodic. Kerja gitar Richie Faulkner tidah boleh dinafikan hebat. Tetapi tak ada lagu yang meninggalkan kesan sangat. Saya lebih tertarik dengan lagu cover "Lights Out" dari UFO. Mungkin kena ambil masa untuk mendengarnya lebih lagi. 

Tetapi jika selera anda adalah muzik sebegini berkemungkinan besar anda akan jatuh suka



Thursday, October 12, 2023

Seven

 Antara album pilihan untuk 2023...

Winger - Seven (2023)

Saya dah lama tak mengikuti Winger. Yang betul-betul dengar hanyalah album pertama (1989). Ianya adalah sebuah album glam/hair metal yang saya suka. Mempunyai seorang shredder seperti Reb Beach sememangnya banyak membantu. Kerja beliau adalah antara penyebab saya jatuh suka.

Berita tentang album terbaru ini menarik perhatian saya untuk mendengar mereka semula. Ternyata banyak album mereka yang bagus. Pull (1993) adalah diantaranya. Ianya menjadi penanda aras untuk album-album mereka yang lainnya. .

"Seven" seperti namanya adalah album mereka yang ketujuh. Ianya adalah sebuah album hard rock yang cukup “solid”. Makin lama dengar makin sedap. Sesuai dengan usia, lagu-lagu mereka lebih dewasa. Tak ada yang tak sedap untuk telinga saya. Melodi, vocal, solo gitar, produksi sound semuanya secukup rasa. Senang cerita kalau “Pull” adalah penanda aras, "Seven" telah lulus dengan cemerlang!

Ramai yang hanya ingat Winger adalah Kip Winger dan Reb Beach. Memang tak boleh dinafikan mereka berdua memang hebat. Kip Winger di usia 62 tahun pun masih mempunyai kekuatan vokal orang muda. Tetapi sedar atau tidak, anggota yang lainnya telah bersama mereka sejak dari album pertama. Mungkin mereka adalah satu-satunya band yang bertahan selama 35 tahun dan 7 album dengan anggota yang sama.

Pastinya ini adalah salah satu album terbaik untuk 2023!




Monday, October 9, 2023

Slaves And Masters

 Yang menyambut ulangtahun ke 33 pada 5hb Oktober yang lalu...

Deep Purples - Slaves And Masters (1990)

Slaves dan Masters adalah Deep Purple yang berbeza. Kalau tak kerana trademark sound gitar Ritchie Blackmore dan Hammond organ Jon Lord, ia sememangnya lari terus dari bunyi kebiasaan Deep Purple.

Salah satu penyebab utamanya adalah Joe Lynn Turner. Gaya nyanyian beliau lebih bercirikan penyanyi pop. Sememangnya berbeza dari zaman Ian Gillian mahupun David Coverdale yang lebih kepada hard rock dan blues. Pengaruh pop beliau dah boleh dikesan semenjak zaman beliau bersama Rainbow dan Malmsteen lagi.

Percubaan sebegini biasanya akan gagal secara komersil. Ramai peminat tegar tak suka. Tetapi jika anda tak berkira tentang Deep Purple bermain pop rock ataupun AOR, album ini sebenarnya bagus. Banyak lagu sedap. 

Saya sendiri tak ambil tahu pun tentangya dulu. Bukan kerana mereka sudah berubah. Tetapi lebih kepada selera muzik yang berlainan. Satu-satunya lagu yang saya tahu hanyalah lagu balada "Love Conquers All". Itupun kerana lagunya ada dimainkan di radio. Sekali dengar memang tak boleh nak cam itu lagu Deep Purple.

Mungkin bukan yang popular dari mereka. Tetapi ianya sedap!


Tuesday, October 3, 2023

Shout At The Devil

Sempena ulang tahun yang ke 40 pada 26 hb September tang lalu...

Mötley Crüe - Shout At The Devil (1983)

Ini adalah pengenalan saya kepada Mötley Crüe. Lagu-lagunya bagi saya mewakili generasi heavy metal pada ketika itu. Sound gitar kasar berserta imej setan pentagram menjadikan ianya sebuah album yang boleh diterima oleh semua peminat muzik ekstrem tak kira sama ada mat rock ataupun mat metal.

Mick Mars bagi bukanlah seorang shredder yang popular. Tetapi sound dan riff beliau menjadi ikutan kepada band-band rock pada ketika itu. Tiada mereka berkemungkinan tiadanya sound dan imej SYJ di zaman Battle Of The Bands. Sayangnya, Mötley Crüe berubah menjadi lebih bluesy untuk album-album yang berikutnya. Bukan tak bagus... tetapi tak kena dengan selera.


Shout at the Devil bagi saya adalah sebuah album greatest hits. Semua lagu pun best. Lagu-lagu seperti "Shout at the Devil", "Looks That Kill", "Red Hot", "Too Young to Fall in Love" sememangnya mengembalikan nostalgia di zaman sekolah menengah.

Sebuah album yang patut ada dalam koleksi semua mat rock...



Friday, September 29, 2023

Frequency Unknown

Yang menyambut ulangtahun ke 10 pada bulan April yang lalu...

Queensrÿche (Geoff Tate's Version) - Frequency Unknown (2013)

Album kontroversi kepada peminat Queensrÿche. Ini sebenarnya adalah album solo Geoff Tate selepas di pecat dari Queensrÿche. Ketika itu isu perebutan nama tengah hangat yang mana akhirnya Geoff Tate kalah di mahkamah. Beliau selepas dari ini tidak dibenarkan lagi menggunakan nama Queensrÿche.

Album ini dulunya sering diberi rating yang rendah tetapi bukanlah kerana lagu atau produksinya, tetapi lebih kepada peminat yang marah kepada Geoff Tate. Sebenarnya lagu-lagunya boleh tahan sedap. Ada juga yang mengimbau kepada Queensrÿche yang lama. Tetapi yang membuatkan saya tertarik untuk mendengarnya adalah kerana barisan artis jemputannya.

Shredder jemputannya semua dasyat. Jon Levin (Dokken), Ty Tabor (King's X), K.K. Downing (Judas Priest), Brad Gillis (Night Ranger), Dave Meniketti (Y&T) dan Chris Poland (Megadeth).

Bassist pula adalah Rudy Sarzo (Quite Riot / Whitesnake) menakala drummer adalah Simon Wright (AC/DC / Dio) dan Paul Bostaph (Forbidden / Slayer).

Dan tambah menarik kesemua bahagian rhythm guitar dimainkan oleh Craig Locicero (Forbidden). Maka 4 lagu dari album ini yang drumnya dimainkan oleh Paul Bostaph menjadikan lagu-lagu tersebut adalah separuh pemuziknya adalah dari Forbidden. Tetapi lagu-lagunya bukanlah lagu thrash. Tetapi sebagai peminat Forbidden, perkara seperti ini sememangnya mengujakan...haha...


* ada 4 lagu bonus track rakaman semula lagu-lagu popular Queensrÿche. Ianya dimainkan serupa seperti yang asal atas kehendak syarikat rakaman. Mengikut Geoff Tate, rakaman tersebut adalah semata-mata kerana duit.

** Gambar cover dengan acronym "FU" di khabarkan bukanlah bermaksud Frequency Unknown...tetapi "F**k You" yang ditujukan kepada band member Queensrÿche.


Monday, September 25, 2023

Crimson & Jet Black

 Antara album terkini (2023) di dalam simpanan...

Anthem - Crimson & Jet Black (2023)

Tak tahu sangat pasal Anthem. Ketika tahun 80an dahulu, muzik heavy metal Jepun bagi saya hanyalah Loudness dan Earthshaker. Entah mengapa nama Anthem tidak masuk langsung dalam lingkungan persekitaran saya pada ketika itu. 

Satu-satunya album dari mereka yang saya tahu adalah "Tightrope (1986)". Itupun kerana 2 lagu dari album tersebut dirakamkan semula oleh Bloodshed dalam album "Ilusi Sebuah Mimpi". "Peristiwa" - "Death to Death" dan "Jangan Terpedaya" - "Finger's On The Trigger". Tahu pun selepas zaman internet.

Membeli album ini pun adalah atas pengaruh rakan se-group Whatsapp. "Highly recommendation" dari Deaf menyebabkan terpengaruh juga akhirnya. Ternyata ianya adalah sebuah album yang bagus. Jika melodic heavy/power metal dengan shredding solo adalah halwa telinga anda, Crimson & Jet Black pastinya akan memberikan kepuasan.

Semakin beusia semakin bagus. Tak pasti ini album mereka yang ke berapa. Tetapi kalau tak silap ianya dalah album baru penuh berbahasa inggeris mereka yang pertama. Memang boleh tangkap lah slang Jepun nya. Tetapi tidaklah sepekat lock n loll Minoru Niihara... hahaha...



Friday, September 22, 2023

Drastic Symphonies

Antara album terkini (2023) di dalam simpanan...

Def Leppard - Drastic Symphonies (2023)

Asalnya membeli sekadar untuk menlengkapkan koleksi. Tak minat sangat album-album gabungan rock + orkestra. Ingatkan ianya seperti Metallica - S&M atau Scorpions - Moment of Glory. Rupa-rupanya Drastic Symphonies ada sedikit berbeza konsepnya.

Walaupun ianya dirakamkan bersama Royal Philharmonic Orchestra, tetapi bahagian muzik Def Leppard adalah dari master tape yang asal. Bermakna hampir keselurahannya adalah muzik asal yang di "mixing" semula bersama muzik orkestra. Ada bahagian gitar dan solonya diganti dengan cello dan violin.


Tak pasti jika ada bahagian yang dirakam semula tetapi rasanya tidak. Kerana dari apa yang dibaca, hanya Phil Collen dan Joe Elliott sahaja yang berada di studio ketika proses penerbitan album. Yang pastinya vokal Joe Elliott juga menggunakan vokal yang asal kecuali untuk beberapa bahagian lagu "Too Late for Love" dan mungkin juga "Pour Some Sugar on Me".

Yang jadi menarik bagi saya adalah pilihan lagu-lagu lama seperti "Too Late For Love" dan "Bringin' On The Heartbreak". Tapi yang paling menarik perhatian sudah semestinya "Switch 625". Tak sangka ianya berjaya di"orkestrakan" dengan baik. Ianya seperti mendengar runut bunyi filem...




Monday, September 18, 2023

Skyscraper

Satu lagi cd rahmah yang dibeli dari shopee. 

David Lee Roth - Skyscraper (1988)

Entah kenapa saya hanya mendengar Van Halen, tetapi tidak David Lee Roth. Mungkin juga kerana tiada dikalangan orang terdekat mendengarnya. 

Ini adalah kali pertama mendengar album penuh beliau. Sebelum ini hanya tahu satu dua lagu. "Just Like Paradise" adalah satu darinya. Ianya adalah lagu paling popular dari album ini dan sering berkumandang di radio pada suatu ketika dahulu.

Pada pendengaran saya, muzik beliau masih tidak jauh berbeza dari zaman beliau bersama Van Halen. Cuma ada bebeberapa lagu yang kedengaran agak funky. Tak pasti dengan album-album beliau yang lain. Saya tak pernah mendengar album yang lainnya.



Tarikan utama untuk selain DLR adalah barisan pemuziknya. Tak kenal siapa drummer. Tetapi Steve Vai dan Billy Sheehan adalah 2 bintang besar dalam muzik hard rock. Kerja gitar/bass mereka berdua sahaja pun sudah cukup untuk menjadi penyebab kenapa album patut kita dengar. 

Yang pastinya tak ada sebab untuk tidak suka. Straight forward rock yang ceria tanpa lagu-lagu meleweh sebegini sememangnya habuan telinga. "Rock N Roll is supposed to be fun" kan?



Thursday, September 14, 2023

Dancin' on Coals

Antara cd rahmah yang dibeli secara on line...

Bang Tango -  Dancin' on Coals (1991)

Tahu nama tapi tak pernah dengar lagu-lagunya. Bila nampak ianya di jual di FB dengan harga mampu milik, tak perlukan pra dengar di YouTube/Spotify, terus dibeli.

Ianya bolehlah dikatakan juga pembelian secara rawak. Memang tak pernah dengar lagu-lagu Bang Tango walaupun album pertama mereka, Psycho Café (1989) selalu juga disebut-sebut sebagai "hidden gems" bagi genre Glam/Hair Metal. Mereka adalah antara beberapa band era penghujung 80an yang gagal mencapai populariti.

Album ini muncul sebelum meletusnya fenomena grunge. Dan mungkin masih ramai yang ingat pada awal 90an sebelum grunge, banyak band yang memasukkan elemen funk kedalam muzik mereka. Kejayaan band seperti Red Hot Chilli Peppers dan Faith No More banyak mepengaruhi. Malah ada juga band thrash terikut sama. Dan Bang Tango juga tidak terkecuali.


Tak pasti dengan album pertama mereka, tetapi Dancin' on Coals sememangnya agak funky. Produksi pun sedap. Mungkin mereka dapat bajet yang besar untuk album ini. Banyak band-band seperti mereka yang melahirkan album berkualiti di tahun 90an. Tetapi label glam/hair metal yang dah melekat pada nama mereka menjadikan band-band seperti mereka tidak dipandang langsung di era tersebut.

Satu perkara yang bagi saya tidak pernah mengecewakan dari band-band seperti ini adalah gitarisnya. Kebanyakan dari mereka adalah shredder yang hebat-hebat belaka. Untuk Bang Tango, Mark Knight dan Kyle Stevens melakukannya dengan cemerlang.


*** hasil dari google baru tahu yang Rowan Robertson (Dio - Lock Up the Wolves) juga adalah anggota Bang Tango dari 2014–2018 dan dari tahun lepas hingga sekarang...