Tuesday, December 31, 2013

Last....

Entri terakhir untuk 2013....

Sedar tak sedar makin tua....kalau nak playback 2013...rasanya yang peribadi takyah la cerita kat sini. Ni bukan blog adu domba pun....Tapi kalau yang duniawi...ada la jugak....2013 adalah tahun aku aktif kembali membeli cd sejak-sejak kenal E-Stock.... rasa macam zaman budak-budak dulu pun yer juga bila membeli cd-cd dengan harga serendah RM13++ secara trial and error...kes malas nak try cekidot kat youtube....janji namanya pernah dengar satu ketika dulu bantai jer beli....

2013 juga tahun aku aktif kembali ke stadium menonton bola...gara-gara penangan JDT.....baru nak up...lalang tak lalang....yang keluar duit kita...kalau team bangang siapa yang nak pergi. Tak pasti musim depan ni aku akan serajin tahun ni....rasanya sejak kedatangan Pablo Aimar lagi teruk sesak kat Larkin nanti....kadang-kadang macam rasa tak larat pukul 6.30 petang dah bersesak-sesak nak masuk stadium. Memang ada terpikir nak beli season pass....senang seat dah ada nombor...rilek-rilek lepas maghrib pun boleh masuk...tapi bila pikir orang rumah nak ikut...anak nak ikut...masak beb kalau satu tiket dah RM452....parah!!


Dalam hal blog pulak....tak sangka blog rock syok sendiri hal duniawi ni dah cecah 200k page view....terimakasih la..aku pun tak pasti siapa ajer yang baca selain geng-geng yang biasa....Tapi duit nuffnang pun tetap ciput jer dapat...hahaha....kalau tak ada aral....tetap akan menulis...ni pun bab album yang menyambut ulang tahun pada 2013 ada beberapa lagi yang aku tak sempat nak buat....banyak yang sangkut kat draf kes kekeringan idea nak menulis....

Kalau bab nyesal pulak....ni cerita hal duniawi la yer....ada sikit la terkilan tak pergi tengok Metallica...hahaha....

Tak apalah...semoga 2014 akan menjadi lebih baik untuk kita semua...dunia dan akhirat....

SELAMAT TAHUN BARU.



***2014 aku akan sekali lagi berdup dap dup dap....2 orang anak aku akan ber"PMR" dan ber"SPM".....bapak yang terlebih saspen....





Monday, December 30, 2013

Animals with Human Intelligence

Pastinya tak ramai yang follow band atau album ni. Tapi tahun ni dah genap 20 tahun dah...


Enuff Z'nuff - Animals with Human Intelligence (1993)

Memasuki tahun-tahun 90an, apa-apa yang berkaitan dengan hair metal bukanlah sesuatu yang cool. Begitulah nasib yang menimpa Enuff Z'nuff. Sayangkan...bila pemuzik-pemuzik yang bagus di cap tak bagus hanya kerana dunia mainstream melabelkannya begitu.

Saya secara jujurnya bukanlah mengikuti sangat perkembangan Enuff Z'nuff. Band-band 2nd wave of hair metal terutamanya yang penghujung 80an agak kurang saya ikuti kerana pada ketika itu saya lebih tertarik kepada muzik metal yang lebih ekstrim. Satu-satunya lagu yang saya tahu dari mereka pun cumalah "Fly High Michelle" yang saya dengar dari kompilasi best of slow rock kepunyaan rakan sebilik.

Cumanya sejak-sejak pandai mengunakan ebay, saya tertarik untuk mendengar semula semua band-band dari era 80an tak kira walau apa pun genrenya. Terjumpa dengan harga yang murah memang saya tak berkira untuk membelinya. Ternyata album ini mengejutkan. Memang sedap lagu-lagunya malah mereka adalah pemuzik yang cukup berbakat. Maka tak hairan lah Majalah Rolling Stone pernah menobatkan mereka sebagai "Hot New Band of the Year" untuk tahun 1991.


Satu yang saya cukup tabik dengan band-band hair metal adalah gitarisnya. Kebanyakan daripada mereka adalah shredder yang bagus. Pada saya mendiang Derek Frigo juga bagus. Sayangnya mungkin kerana terlalu ramai yang bagus, nama seperti Derek Frigo tidak akan diingati kecuali kepada peminat Enuff Z'nuff.

Banyak lagu yang menarik. Cumanya mungkin ada yang sedikit meleweh bagi telinga yang biasa dengar extreme muzik macam saya. Suara vokalisnya Donnie Vie memang jenis-jenis manja. Mungkin ada yang tidak suka. Tetapi jika anda inginkan sebuah album hard rock yang tidak terlalu berat, yang rilek-rilek, yang melodic, mungkin Animals with Human Intelligence patut anda cuba.





Saturday, December 28, 2013

Sabbath Bloody Sabbath

Menyambut ulang tahun yang ke 40.....


Black Sabbath - Sabbath Bloody Sabbath (1973)

Saya bukanlah peminat tegar Black Sabbath. Saya lebih kepada kem Deep Purple. Kerana ketika budak-budak dahulu saya lebih didedahkan kepada muzik Deep Purple. Black Sabbath hanya benar-benar saya dengar ketika saya sudah bersekolah menengah. Itupun saya lebih kepada zaman Dio.

Sabbath Bloody Sabbath sedikit berbeza dari album-album awalnya seperti Paranoid ataupun Master of Reality. Rasanya album ini lebih pop lagu-lagunya. Malah majoriti lagu-lagunya jenis perlahan temponya. Lebih doom. Tiada lagu yang laju. Tapi yang pasti album ini mempunyai elemen progessif. Mungkin mereka juga terpengaruh dengan progessif rock yang popular ketika itu. Mengunakan Rick Wakeman (Yes) sebagai pemain keyboards jemputan menguatkan lagi andaian tersebut.


Beberapa track awal seperti Sabbath, Bloody Sabbath, A National Acrobat dan Sabbra Cadabra agak menarik. Lagu-lagu yang menjadi inspirasi kepada doom metal hari ini. Tetapi lagu-lagu track akhir agak progressif dan pop bunyinya. Banyak pengunaan keyboard dan memang tak metal kalau bukan kerana riff-riff  dan sound berat Tony Iommi.

Highlightnya pada saya adalah Tony Iommi. Banyak solo-solo dan riff beliau yang menarik. Soundnya gitarnya lebih berat dari album-album yang sebelumnya. Tidak sehebat 3 album awal tetapi masih dalam kategori terbaik.




Friday, December 27, 2013

R'n'R Lu punya suka

sebab kenapa lama aku tak update blog....

R n R Pagoh, Johor

R n R Sungai Buloh, Selangor

R n R Bukit Gantang, Perak

R n R Gurun, Kedah


4 Rock & Roll Rehat & Rawat yang sempat aku singgah sepanjang 7 hari percutian bersama keluarga melalui lebuhraya PLUS menuju ke Utara Semenanjung....

Lain tempat...lain rasa makanannya.....


nanti lah dah kebah dari mood holiday baru boleh cerita panjang....ni masih tergiang2 suara Klaus Meine mendodoikan "To the island many miles away from home......oooooo...away from home.....ooooo.....away from home..."

heheh...




Sunday, December 22, 2013

Bent Out of Shape

Klasik rock yang dah 30 tahun...


Rainbow - Bent Out of Shape (1983)

Pertama kali mendengar lagu Street Of Dreams, tak tau pun ianya lagu Rainbow. Rainbow zaman Joe Lynn Turner sememangnya berbeza dari zaman Dio.

Kalau sebelumnya dengan Straight Between the Eyes seolah-olah mereka akan kembali bermain hard rock/metal tetapi Bent Out of Shape tidak. Ianya adalah pop rock atau pun apa yang dipanggil sebagai AOR. Satu-satunya lagu yang rasanya dapat mengingatkan saya kepada zaman Dio mungkin "Fire Dance". Yang lain-lainnya seperti anda mendengar band yang berlainan.

Tidak dinafikan kombinasi Ritchie Blackmore/Joe Lynn Turner berjaya menghasilkan lagu-lagu melodic yang sedap-sedap. “Street Of Dreams”, “Desperate Heart" dan  "Can't Let You Go" adalah contoh lagu-lagu terbaik terbaik Rainbow di era tersebut. Memang klasik...memang sedap. Lagu-lagu up-tempo seperti “Fool For The Night”, “Drinking With The Devil” atau “Fire Dance” pun sedap. Dengarkan juga instrumental "Anybody There"...feelling abis...


Suka betul saya solo keyboards David Rosenthal vs solo gitar Ritchie Blackmore dalam "Fire Dance". Malah bunyi klasikal keyboard di awal lagu "Can't Let You Go" pun terbaik. Rasanya mereka bijak mengimbangi sound keyboards dan gitar dengan sama rata.

Saya tidak ada komplen untuk album ini. Walaupun ianya bukan Rainbow yang dulu, tetapi dengan vokal sebagus Joe Lynn Turner, solo-solo hebat Ritchie Blackmore dan lagu-lagu yang cukup melodic untuk halwa telinga...apa lagi yang nak saya komplenkan....

Mungkin dengan Bent Out of Shape, Ritchie telah menemui penghujung pelangi. Dia kembali bersama Deep Purple selepas ini. Rekomen untuk mereka-mereka yang sukakan AOR yang tidak meleweh.

Rock on!!!



***btw...Discography Rainbow saya telah pun sempurna...terimakasih Stok E. 


Friday, December 20, 2013

Gersang

Oleh kerana dalam entri Bazooka Penaka tu hari Deaf ada sebut ni...

 "Its unfortunate maybe my favourite wings album does not feature black. Jojet is forever gersang. Band yang hobit." 

Maka hari ni dipersembahkan....the hobit...


Gersang - Dalam Kenangan  (1993)

Tak pasti berapa ramai yang ada cd ni. Rasanya dah boleh masuk kategori rare kot. Usianya pun dah capai 20 tahun. Di riliskan di zaman cd baru nak up.

Kompilasi terbitan BMG (company ni pun dah dalam kenangan) mengandungi lagu-lagu popular Gersang terutamanya yang berentak perlahan dari album Gersang (1988), Takdir (1988) dan B29 (1989).

Senarai lagu adalah seperti berikut :

Masih Aku Terasa (Gersang)
Sunyi (Gersang)
Aku Bertemu Aku (B29)
Suratan Takdir (Takdir)
Luka Lagi (Takdir)
Percintaanku (Takdir)
Bersama Suara Hati (B29)
Jiwa Rock N' Roll (Gersang)
Bunga Cinta (B29)
Bayangan Mimpi (B29)
Bisikan (Gersang)
B29 (B29)

inlaynya takder gambar...bukak lipat ada lirik dalamnya....

Ini adalah cd kompilasi kegemaran orang rumah. Dia cakap Man Bai tu dulu kiut...hahaha....Tapi dulu beli cd ni pasal sukakan album pertama Gersang (1988). Nak cari album tu dalam bentuk cd memang payah la. Rasanya memang tak ada pun. Lagu-lagu dari album pertama tu memang rock...heavy. Lebih heavy dari band-band 90an yang mengaku dia band rock. Sememangnya zaman rock melayu yang best adalah sebelum tahun 1990. Pencen dah dengar rock melayu selepas itu.

Tertarik nak beli cd ni dulu kerana adanya lagu "Jiwa Rock n' Roll". Sedap dengar Jojet main lagu ni. Sayangnya itu lah satu-satunya lagu rancak dari 1st album selain "Bisikan" yang ada kat cd ni. Kalaulah ada lagu "Perbezaan" kan lagi best. Tak pun "Kaca Dari Permata", "Gelora" atau "Bakti Pertiwi". Siapa kata Man Bai tak rock. Tapi mereka menjadi tak best selepas keluarnya album ke 2, Takdir. Dah jadi terlalu pop dengan imej dan lagu-lagunya.

Kid masuk Search dulu pun ramai yang tak suka. Search tu jam bagi budak-budak zaman tu kira rock abis la kan...Gersang pulak band jiwang...hobit bak kata deaf...pompuan suka la...Man Bai, Kid dan Acis yang kiut...hahaha....Memang macam tak kena ajer dia masuk Search...Bertahun aku tak follow Seacrh selepas tu....

Padahal sebenarnya layan juga lagu Gersang ni....Dia bila sesekali drive malam-malam orang rumah suruh bukak lagu "Masih Aku Terasa", "Sunyi" atau "Suratan Takdir"....feeling jugak....hahahaha...





Thursday, December 19, 2013

twister


Puting Beliung di JB?......




Gambar-gambar di atas dirakamkan disekitar Bandaraya Johor Bahru semalam. Bukan aku yang ambik..semua cilok dari FB...kredit kepada tuanpunyanya yang aku pun tak tau siapa...Aku tak berpeluang nak ambik pasal aku tak sedar pun kejadian ini berlaku. Maklumlah, duduk dalam opis tingkat 7 yang tingkapnya bertutup dengan blind. Ribut taufan yang jadi kat luar pun aku tak perasan.

Apa-apa pun ini bukannya tornado of souls ataupun puting beliung yang ramai sangkakan awalnya. Ianya apa yang dipanggil sebagai Water Spout atau cakap melayunya Belalai Air. Berlaku kat laut. Nasib lah bukan kat darat. Mintak-mintak di jauhkan. Semoga negara kita selamat dari segala bencana.

Tapi yang menariknya...mungkin ini pengalaman sekali seumur hidup untuk sesetengah dari kita untuk dapat menyaksikannya....


In the eye of the tornado, blow me away.......



Tuesday, December 17, 2013

Who Do We Think We Are

Lagi album klasik rock yang dah 40 tahun...


Deep Purple - Who Do We Think We Are (1973)

Dalam banyak-banyak album era Mark II, Who Do We Think We Are adalah yang paling akhir cdnya saya miliki. Malah saya mempunyai album-album reunion mereka di tahun 80an (Perfect Stranger, House Of Blue Light) dan 90an (The Battle Rages On) lebih awal dari cd ini.

Tak pasti kenapa. Tetapi sedari zaman budak-budak, Mark II era 70an yang saya tahu cuma untuk 3 album, In Rock, Fireball dan Machine Head. Selebihnya adalah dari era David Coverdale. Album ini memang tak popular. Terus terang saya tak pernah tengok bagaimana rupa kulit album ini sehinggalah di era internet.

Mungkin juga ada kaitannya dengan situasi mereka pada ketika itu. Album ini kurang di promosi kerana kes tak ngam antara Ian Gillan dan Ritchie Blackmore. Walaupun begitu ada 2 lagu yang pernah saya dengar waktu budak-budak dulu. "Woman from Tokyo" dan "Mary Long". Kedua-duanya dalam satu kaset pirate best of DP yang saya miliki satu ketika dulu. Dua-dua lagu ni best tetapi lagu yang agak menarik perhatian sudah tentu-tentulah "Mary Long". Liriknya chorus tu memang agak mengejutkan bagi seorang budak berumur awal belasan tahun seperti saya di tahun 80an dulu.  Walaupun sebenarnya saya tak paham pun maksud lagunya pada ketika itu.


Secara jujurnya saya hanya mendengar keseluruhan lagu dari album ini ketika zaman sudah pandai meng"download" dari internet. Memang agak terlewat. Baru tau adanya lagu-lagu yang tak kurang menariknya seperti "Rat Bat Blue" dan "Smooth Dancer". Tetapi lagu-lagu lainnya agak kurang menyengat. Mungkin album ini akan lebih bagus jika Ritchie Blackmore tak kedekut sangat. Khabarnya ada riff dan lagu-lagu yang Ritchie tak bagi guna kerana dia nak gunakan dalam album solonya. Menurut Roger Glover, lagu "Sixteenth Century Greensleeves" dari album Rainbow adalah salah satu darinya.

Cd yang saya miliki adalah versi remastered tahun 2000. Ada bonus track dan yang paling menarik pada saya adalah instrumental 11 minit lebih "First Day Jam". Menariknya Ritchie Blackmore main bass pasal masa tu Roger Glover tak sampai-sampai studio pasal trafik jem.








Monday, December 16, 2013

@ Kidzania

Sempena cuti sekolah...satu lagi tempat untuk perabis duit mak bapak...


Kidzania. Apa bendalahnya dan kat mana Kidzania tu boleh cek kat >SINI<



Secara ringkasnya pada sesiapa yang malas nak check Kidzania tu apa. Ianya adalah sebuah replika bandar tetapi bersaiz kanak-kanak. Ada bangunan, kedai, hotel, panggung wayang, restoran, balai polis, mahkamah, balai bomba, salun, TNB, Telekom, Lapangan terbang, stesen minyak, tempat belajar kereta, pasaraya, sekolah memasak, sekolah melukis, kolej, rumah kediaman, kilang, hospital, disko, stesen TV, bank, stesen radio Hitz.fm dan banyak lagi.

matawang yang digunapakai dalam bandar Kidzania...tapi anak bongsu aku komplen nak beli jajan dan air tak boleh pun pakai duit ni...heheh...

Di sini, kanak-kanak bermain dan belajar menjadi orang dewasa melalui pekerjaan yang dilakukan. Terdapat lebih daripada 90 pekerjaan yang ditawarkan di Kidzania. Ianya seperti impian menjadi kenyataan. Contohnya kalau teringin nak jadi pilot, kanak-kanak boleh merasa menjadi pilot dan yang bestnya akan dapat gaji. Setiap pekerjaan kalau tak silap dibayar sebanyak 8 Kidzos (matawang yang digunakan dalam bandar Kidzania). Duit tu pula boleh di gunakan untuk membeli barangan (barangan terpilih sahaja, makanan dan cenderamata tetap pakai RM jugak) atau disimpan dalam bank bila membuka akaun bank. Ada mesin ATM boleh jolok duit. Memang keadaanya macam kat dunia sebenar.

ready nak masuk...bersama tag tangan yang dipanggil ‘Radio Frequency Identification (RFID) bracelet’

Antara pekerjaan yang ditawarkan adalah bomba, polis, hakim, peguam, penyiasat, pekerja Telekom, pekerja pos, doktor, doktor gigi, jururawat, pilot, flight attendant, wartawan, pengacara, dj radio, model, banker dan macam-macam lagi. Yang tak bestnya setiap satu-satu pekerjaan tu kena beratur panjang sebelum dapat main. Kalau time ramai contohnya macam musim cuti sekolah ni (khabarnya boleh muat dalam 1700 orang dalam satu masa), lagi jenuh la nak tunggu turn. Anak aku komplen banyak pekerjaan yang dia nak cuba tapi tak dapat pasal tak larat nak beratur panjang sampai ada yang lebih setengah jam...rugi masa...baik pergi tempat yang tak ramai orang...

Jadi polis

kena jail la pulak...
Kat sini ibubapa tak boleh masuk kalau tak ditemani kanak-kanak. (Saja-saja ko orang tua nak masuk memang tak boleh la...) . Budak umur 8 tahun ke atas boleh masuk sendiri tapi yang 8 tahun ke bawah kena pengawasan ibubapa/penjaga. Maknanya penjaga kena masuk sekali...tiket untuk makbapak murah sikit pasal makbapak cuma mengawas...tapi tak boleh join main sekali. Dia setiap permainan tu ada penjaganya yang dipanggil Zupervisors. Makbapak takat tengok dari jauh ajer. Ada la disedikan tempat lepak makbapak sementara tunggu anak...ada wi-fi semua...kira ok la...

Kerja pejabat pos

ceh!!!...banyak-banyak tempat...lepak kat disko jugak yang dipilihnya...grrrr....

Selain berkerja, boleh juga pilih untuk belajar...contohnya painting school ni...tapi yang ni tak dapat gaji...kena bayar pulak... 5 kidzos

Tapi aku cerita lebih ajer ni. Sebenarnya aku dah wife tak masuk pun. Disebabkan makbapak cuma dapat tengok ajer tapi tak boleh join. Aku suruh anak aku yang tua masuk jadi penjaga. Wife ajak pergi tempat yang makbapak boleh join. Mana lagi...tempat bersebelahan dia...IKEA la...lagi kopak tempat ni...hahaha..


pic name

pic name

pic name

So gambar-gambar kat dalam ni semua anak aku yang ambik. So paham-paham ajer la...dia sibuk nak main jugak macamana dia nak ambik gambar...tu yang tak banyak gambar tu...dah tu kurang menarik...memang lah dia tak leh nak celen bapak dia punya skill ambik gambar...hahaha...

layan jer la...




Friday, December 13, 2013

Bazooka Penaka

Rock melayu yang dah 20 tahun


Wings - Bazooka Penaka (1993)

Awal 90an adalah tahun-tahun saya meninggalkan rock melayu. Wings yang betul-betul saya ikuti hanyalah sehingga album Teori Domino. Rasanya Bazooka Penaka hanya saya dengar secara keseluruhannya 2 tahun selepas ianya diriliskan (1995).

Ketika itu (1995) saya baru memperolehi cd changer untuk kereta. Ianya jenis yang boleh letak 10 disc sekaligus dan diletakkan di bahagian bonet belakang. Zaman tu tak ujud lagi jenis cd player single disc built-in kat set radio kereta. (Ker dah ada tapi mahal...ntah...saya dah lupa dan tak pasti..tu pun yang jenis cd changer 10 disc ni pun harganya dah seribu lebih dah...)

Maka untuk di jadikan cerita ketika itulah saya kemaruk membeli segala jenis cd untuk menyukupkan bilangan kepada 10. Tu jam tak banyak kedai jual cd. Kaset masih melambak. Tapi cd-cd rock la. Cd dangdut atau Annuar Zain memang tak akan la...hahaha... Cd melayu pertama saya adalah Wings tapi bukan Bazooka Penaka. Ianya adalah Orang Asing.


Bazooka Penaka adalah cd melayu yang ke dua. Ketika itulah pertama kali saya mendengarnya secara penuh. Pernah juga dengar secara gitu-gitu melalui kaset kepunyaan adik perempuan saya (kaset seperti di gambar di bawah adalah kepunyaan adik saya) tapi tak pernah melekat. Mungkin lagu Bazooka Penaka dan Rock 'N' Roll Band sahaja. Tetapi lagu yang cukup biasa saya dengar sampaikan sekarang saya rasa tak larat dan jemu nak dengar dan konpem kena skip kalau saya buka cd adalah Di Ambang Wati.

Ini adalah lagu yang pada suatu masa dahulu rakan sepejabat saya akan putarkan hampir setiap hari ketika kami menaiki keretanya untuk keluar bersarapan. Sampaikan kalau dah sampai warung atau opis tetapi lagu ni belum habis, kena tunggu sampai lagu abis baru boleh keluar. Punya la kemaruk dia dengan lagu Di Ambang Wati ni . Memang tension dibuatnya. Nak buat macamana. Kereta dia.

Memang tak dinafikan, Bazooka Penaka memang bagus dari segi produksinya. Maklumlah mengunakan studio canggih di Australia. Memang sedap bunyinya. Rasanya paling sedap kot dalam banyak-banyak album Wings. Tambah menarik ianya diterbitkan sendiri oleh mereka. Sayangnya mereka masih tak cukup berani untuk menghasilkan 100 peratus lagu-lagu mereka sendiri.


Pada saya ini adalah album Wings yang paling matang konsepnya. Tiada lagi bunyi rock kapak 80an. Muziknya adalah modern hard rock era 90an. Paling saya suka mereka masih mengekalkan tradisi lagu heavy rock n roll ala R 'N' R Lu Punya Suka dalam lagu Rock 'N' Roll Band. Lagu kegemaran saya dari album ini. Sepatutnya mereka mengekalkan lagu-lagu begini dalam setiap album mereka. Ianya boleh menjadi trademark untuk mereka.

Permainan mereka cukup kemas. Saya memang lebih suka Jojet berbanding Black. Joe dan Eddie memang pada tahap terbaik. Kalau ada kekurangannya pun mereka tak ada lagu slow rock yang cukup power untuk menandingi Intan Ku kesepian, Biarkan Berlalu, Sejati dan lain-lainnya.

Kalau tak silap ini adalah zaman rock hanya boleh berambut panjang sehingga paras bahu. Kalau lebih lagu tak boleh mainkan di radio. Tengok sahajalah rambut mereka di zaman ini. Tak hairan lah kalau di dalam album ini memang banyak betul lagu-lagu protes.






Thursday, December 12, 2013

Bump Ahead

Memori 20 tahun...


Mr. Big - Bump Ahead (1993)

Kaset ada...cd ada...t-shirt pun ada...Mungkin lepas ni patut cari piring hitamnya pula... :P


4 tahun yang lalu pernah cerita pasal ni  >SINI<



***entri malas dan takder idea...heheh...



Wednesday, December 11, 2013

Tuesday, December 10, 2013

Making Contact


Lagi album klasik rock yang dah menjangkau 30 tahun...


UFO - Making Contact (1983)

(Maafkan jika gambar kaver ini menyinggung perasaan)

Tak pernah dengar ketika ianya diriliskan. Malah saya bukanlah pengikut UFO di zaman Paul "Tonka" Chapman. Bukan salah dia. Dia seorang gitaris yang bagus sebenarnya. Saya suka hasil kerjanya ketika dia bersama Waysted. Tetapi dah melekat di kepala saya ketika budak-budak dahulu UFO adalah Michael Schenker maka saya agak kurang mengambil tahu perihal UFO selepas itu.

Mungkin ini antara album yang paling kurang digemari oleh peminat mereka. Mana taknya, orang penting dalam penulisan lagu dan pengasas UFO, Pete Way telah tiada. Dia bersama-sama  "Fast" Eddie Clarke (Motörhead) telah pun menubuhkan Fastway pada ketika itu. Terimakasih kepada Stok E kerana kalau mereka tidak menjual cd ini dibawah RM14, tidak mungkin saya akan membelinya.

Secara jujurnya inilah pertama kali saya mendengarnya. Seperti kebanyakkan band-band rock dari era 70an seperti Rainbow contohnya, UFO juga menjadi komersial dengan lagu-lagu pop rock/AOR yang didominasikan oleh bunyian keyboards. Mungkin kerana pengaruh pemain keyboards mereka, Neil Carter yang mengambil alih tugas penciptaan lagu.


Lagu track pertama "Blinded by a Lie" adalah satu-satunya lagu yang pada saya bercirikan straight hard rock ala Britain yang menjadi trademark UFO di zaman 70an. Lagu-lagu lain kedengaran seperti lagu-lagu rock amerika seperti Foreigner contohnya. Bukanlah nak kata Foreigner tu tak bagus. Tetapi mungkin terlalu pop untuk standard UFO. Malah menurut Neil Carter, lagu seperti "A Fool for Love" adalah berinspirasikan dari lagu Journey manakala "Call My Name" pula dari lagu-lagu Bryan Adams.

Tetapi lagu "Call My Name" walaupun pop, sedap pula bila didengar berulang-ulang kali. Sangat catchy. Begitu juga dengan lagu-lagu yang lainnya. Memang melodic. Memang catchy. Tetapi saya agak kurang berkenan dengan lagu slow rock mereka. Meleweh-leweh pula. Mungkin saya terlalu berharap adanya lagu seperti  "Belladonna" ataupun "Profession of Violence".

Bolehlah jika anda pengemar UFO ataupun sekadar pelengkap discography.







Sunday, December 8, 2013

Sudah Sampai Sini : Sea View Resort Teluk Ramunia

Seperti biasa...cuti sekolah adalah waktu untuk perabis duit...kali ini lokasinya tak jauh...masih dalam Johor...Pantai Teluk Ramunia.


Johor ni banyak lagi pantai yang aku belum explore...selama ni kalau pergi Pengerang lalu gitu-gitu jer kat kawasan ni. Ini pertama kali aku bermalam kat kawasan pantai di sini. Sejak-sejak dah ada highway Pasir Gudang - Desaru, memang senang la nak pergi kawasan-kawasan belah Pengerang, Bandar Penawar dan Desaru.

Sedikit info National Geographic...Teluk Ramunia adalah kawasan perlombongan bauksit iaitu sejenis logam yang digunakan untuk membuat aluminium. Ada juga jeti untuk kapal berlabuh tapi rasanya hanya untuk kegunaan kapal Petronas. Di kawasan sekitar sini jugalah terletaknya projek yang menjadi kontroversi iaitu Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) milik Petronas... ok itu cerita lain...cumanya kalau nak menuju ke Teluk Raminia melalui jalan Desaru/Bandar Penawar...boleh nampak la kawasan lapang tanah baru sodok yang kabarnya penempatan baru penduduk Pengerang yang tanahnya kena ambik oleh Petronas...ok abis cerita pasal tu...



Ini adalah tempat kami bermalam...ada beberapa resort sebenarnya di sepanjang pantai sini...Kami memilih Sea View Resort. Di sini pun ada beberapa jenis penempatan. Disebabkan kami ramai...kami memilih "VIP ocean view with 3 bed room villa".


pic name

pic name

pic name

Villanya memang luas...aircond...2 tingkat...3 bilik...2 bilik air dan ada dapur untuk masak semua...selesa memang selesa...cuma ianya bangunan lama dan tvnya tiada astro...jenis sambil bercuti sambil nak layan bola memang takder can la...cuma bagi orang luar Johor...boleh la merasa nengok tv Singapura atau Indon...


Yang bestnya ia mengadap laut...bukak2 pintu dah nampak laut...ni view dari balkoni tingkat 2...



di sediakan juga tempat untuk berbbq...cuma arang, jaring, ayam dan udang tu kena bawak sendiri la...heheh...


Ada juga swimming pool bagi yang tak nak mandi laut...takder la best sangat pun...kecik ajer...boleh la dari takder...

ok...sekarang layan pula gambar laut...

boleh tahan kuat juga ombak kat sini

baywatch??/...hahaha

dari kejauhan tu nampak kapal....tak pasti pulak kapal2 tu nak berlabuh kat pelabuhan mana


ok...tu ajer...