Sunday, November 28, 2021

OK Human

 Anak punya koleksi...

Weezer - OK Human (2021)

Kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tak pernah ajar pun anak-anak tentang membeli muzik secara fizikal. Tetapi dah darah daging sendiri walaupun anak perempun, sedikit sebanyak hobi sebegini turun juga ke anak. Bising lah orang rumah bila duit dihabiskan dengan cara begini...haha...

Ini adalah kali pertama anak sulong membeli piring hitam. Biasanya hanya cd. Tak pernah tau pula dia dengar Weezer. Kebiasannya hanya K-Pop. Setahunya kalau rock mungkin My Chemical Romance, Panic! At The Disco dan Ghost. Paling rajin membeli adalah anak yang no 2. Tiap-tiap bulan hingga dah tak muat dah rak yang diperuntukan untuk cd-cd K-Pop mereka. 

Jujurnya saya tak tahu sangat tentang Weezer. Mungkin "Buddy Holly" dan cover A-Ha, "Take On Me". Lainnya memang tak pasti. Cuba juga dengar tetapi rasanya tak kena dengan jiwa. Khabarnya mereka juga ada buat satu album tribute untuk era glam/hair metal. Mungkin patut cuba yang itu. Mana tau boleh berminat.


Thursday, November 25, 2021

BBC Radio 1 Live in Concert

Layanan rawak bekerja dari rumah...tak pasti bila nak kena masuk ofis ni... 

UFO - BBC Radio 1 Live in Concert (1992 - copyright 1974/1980)

Cd hadiah dari Deaf. Di beli ketika beliau mengunjungi kota London sebelum zaman Covid yang lalu. Beliau tahu yang saya adalah pengemar UFO. Terimakasih atas ingatannya Deaf. Nak balas balik entah bila agaknya boleh sampai kota London... 😁.

Ini adalah antara cd yang patut dimiliki oleh pengemar tegar UFO. Yang menarik tentang cd ini adalah kerana ia mengandungi rakaman dari 2 era UFO yang berbeza. Era Paul Chapman pada track 1-8 (Hammersmith Odeon - 04/02/1980 dan era Michael Schenker pada track 9 - 12 (Hippodrome at Golders Green - 06/06/1974).

Walaupun begitu, Paul Chapman sebenarnya terlibat dengan kedua-dua persembahan live tersebut. Beliau adalah gitaris jemputan ketika persembahan di tahun 1974 tersebut. Beliau sememangnya pernah beberapa kali menjadi gitaris jemputan untuk persembahan live sebelum secara rasminya menggantikan Michael Schenker pada tahun 1980. 

Yang menariknya, beliau bukan sekadar di posisi rhythm gitar. Tetapi beliau juga melakukan solo. Makanya untuk track 9-11, kita boleh dengar twin gitar solo dari Michael Schenker di kiri speaker dan Paul Chapman di kanan speaker (kena dengar menggunakan ear/head phone untuk kesan yang lebih). Mendengar rakaman live sebegini membuatkan kita rasa lebih menghargai kerja gitar Paul Chapman.

Posisi lainnya tidak banyak beza. Kedua-duanya adalah Phil Mogg (vokal), Pete Way (bass) dan Andy Parker (drums). Cuma untuk rakaman tahun 1980, Paul Raymond digunakan sebagai rhythm gitar dan keyboards.


Tuesday, November 23, 2021

Tuk Tak

Bahan bacaan terkini di pasaran...

Tuk Tak - Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Drum dam Proses Bikin Lagu

Asalnya tak berapa teruja untuk beli. Maklumlah saya ni Mat Rock. Dan dari apa yang saya tahu Zahid Ahmad bukanlah seorang pemain drum yang rock dan metal. Bak kata beliau sediri dalam buku ini "Wa ni Rockers dari Jb la!" (ms.48). Tapi bila mengenangkan tak banyak buku-buku biography pemuzik tempatan dan beliau adalah adik kepada Yazid Search, tanpa berpikir panjang terus membuat pre-order.

Ternyata saya salah. Zahid asalnya seperti kebanyakan anak muda tahun 80an JB juga adalah seorang rocker. Bezanya selera muzik beliau berkembang manakala orang seperti saya tidak. Saya hanya mengambil masa kurang dari 4 jam dengan sedikit gangguan untuk menghabiskan bukunya. Bila mula membaca memang rasa tak nak berhenti. Gaya penceritaan beliau yang bersahaja tetapi padat menyebabkan saya tidak sabar untuk menghabiskannya.

Walaupun ada beberapa bab yang agak teknikal yang saya kurang paham, maklumlah saya bukannya pemuzik. Dan cerita-cerita tentang artis-artis dan lagu-lagu bukan rock seperti Sheila Majid dan Zainal Abidin yang saya kurang tahu dengan lagu-lagunya (sekali lagi memetik kata-kata beliau - "lagipun, aku kan Mat Rock Johor Bahru" (ms.116). Tetapi dengan gaya penulisan beliau menyebabkan saya teruja pula untuk mengambil tahu.

Tahniah untuk Zahid Ahmad dan Bukuku Press. Semoga akan ada lagi pemuzik yang mengikut jejak langkah beliau untuk menulis. Kita sememangnya kekurangan bahan bacaan sebegini. Sayang kalau segala sejarah tentang muzik kita tidak didokumentasikan.

Rekomended!


Monday, November 22, 2021

Sudah Sampai Sini - Tanjung Balau

 Antara lokasi jalan-jalan selepas PKP...

Untuk yang tak tahu, Pantai Tanjung Balau lokasinya adalah berdekatan dengan Desaru. Dulu-dulu sebelum ianya dimajukan memang seronok kalau kesini. Seronoknya kerana tak ramai orang. Tapi sejak dah ada pelbagai resort dan chalet, sama sesak dah dengan pantai Desaru. 


Tetapi apa yang menariknya bila PKP dan tempat-tempat sebegini di tutup dalam tempoh yang lama, air pantainya jadi jernih. Memang boleh nampak batu-batu dan ikan di dalam air. Tak ada orang bermakna tak ada pencemaran. Harapnya dapat lah bertahan lama...


Tak banyak ambik gambar, sekadar singgah sekejap. Namanya pun jalan-jalan bukannya bermalam. Lagipun sejak-sejak habis PKP ni mana-mana tempat peranginan kalau tak di tempah awal terutamanya bila hari minggu memang pastinya tak akan dapat tempat.



Saturday, November 20, 2021

Espirit De Corps

Cd reissue terkini...

Crossfire - Espirit De Corps (1994) - reissue 2021

Tak pernah dengar ni. Nasiblah ada versi reissue. Tapi memang tau lah kewujudannya. Dulu setiap kali ke rumah bapa saudara di Kota Tinggi, pastinya akan nampak kaset ini di rak kaset di rumahnya. Ianya kepunyaan sepupu. Tetapi tak pernah pula tergerak hati untuk pinjam atau mendengarnya setiap kali berkunjung kesana.

Baru tahu juga yang vokalis untuk album ini bukannya vokalis asal, Aim tetapi Asri. Hebat juga vokalnya. Tetapi beliau terlalu banyak menggunakan suara falsetto menjerit yang kadang-kadang rasa agak menganggu juga di telinga saya.

Dari segi lagu-lagu berat, memang ada beberapa lagu ("Puteri Duyung" contohnya) yang berbunyi seakan-akan speed metal ala-ala Judas Priest atau Riot. Lagu instrumental "Espirit De Corps" pula seolah-olah versi neo classical speed metal melayu yang cenderung kepada Malmsteen. Tetapi tidaklah semuanya lagu berat. "Nepotisme" adalah sebuah lagu mid-tempo ala-ala band US power metal 80an manakala "Kamikaze" pula ada bauan Guns N Roses. "Resah" pula sekadar sebuah lagu filler. Dan ada juga 3 lagu cari makan (balada).

Dikatakan yang lagu "Pelangi Jingga" adalah sebuah lagu yang agak popular pada ketika itu. Sering dimainkan di radio. Malangnya saya tidak pernah tahu. Nampak sangat tak dengar radio.😁. Tetapi selepas 2,3 kali pendengaran memang sedap lah lagunya. Memang patut jika ianya popular.

Apa-apa pun ini sememangnya patut dipuji. Tabik untuk 2 gitarisnya, Yus dan Burn kerana menghasilkan rif-rif dan twin gitar solo yang bagus-bagus malah beliau berdua adalah penerbit dan pencipta hampir kesemua lagu-lagu didalam album ini. Respek!

"Puteri Duyung", "Prejudis", "Nepotisme", "Espirit De Corps" dan "Andrew" adalah 5 lagu speed metal atau US power metal acuan melayu yang rasanya cukup berbaloi untuk cd ini dimiliki. Ok la..."Pelanggi Jingga" pun ok...


Tuesday, November 16, 2021

Bark At The Moon

Sempena ulang tahun yang ke 38 pada 15hb November yang lalu...

Ozzy Osbourne - Bark At The Moon (1983)

Kali pertama mendengar lagu dari album ini adalah lagu "So Tired" dari kaset kompilasi lagu-lagu pop kepunyaan abang. Pernah diceritakan dalam penulisan saya dari tahun 2013 di >SINI<.

Makanya tak perlulah diceritakan secara mendalam tentang pendapat saya terhadap album ini. Penulisan kali ini lebih kepada nak memberitahu yang album ini telah pun berjaya saya piring hitamkan. Sayangnya saya tidak pernah mempunyainya dalam bentuk kaset. Tak bolehlah nak masuk entri Gila Format.

Selain dari mengada-ngada cari penyakit nak kumpul versi piring hitam, tujuan asal beli adalah kerana kurang berpuashati dengan gambar cover kecil versi re-master cd yang saya miliki. Pernah bercadang nak membeli versi cd dengan gambar cover penuh tetapi agak susah juga nak jumpa dengan harga mampu milik. Tetapi apabila terjumpa versi piring hitam yang masih berkeadaan elok di Discogs dengan harga dibawah RM100 rasanya ianya lebih berbaloi dimilik berbanding versi cd.

Saya sering mempunyai "nilai sentimental" terhadap Jack E. Lee. Walaupun diakui yang Randy Rhoads adalah gitaris terbaik yang pernah Ozzy miliki. Tetapi zaman remaja saya adalah zaman Jake E. Lee sebagai "poster boy". Mana mungkin saya tidak mengidolakan beliau sebagai gitar hero saya. Solo beliau dalam "So Tired" adalah salah satu contoh solo yang penuh jiwa...



Sunday, November 14, 2021

Tightrope

Hiburan rawak sambil bekerja dari rumah...Bloodshed versi Jepun!...

Anthem – Tightrope (1986)

Antara yang baru dimiliki. Terjebak pula dengan Discogs. Ni sama penyakitnya seperti ebay...aduhai...

Tak pernah dengar pun Anthem zaman budak-budak dulu. Kalau cerita tentang band heavy metal dari Jepun sudah semestinya Loudness dan Earthshaker. Ada juga tahu pasal Bow Wow / Vow Wow dan EZO. Tapi Anthem memang langsung tak tahu. Mungkin pernah terbaca nama tetapi sememangnya tiada memori tentangnya.

Bila masuk zaman internet dan membaca blog "Deaf" baru perasan tentang Anthem. Ketika itu baru tahu yang lagu "Peristiwa" dari album "Ilusi Sebuah Mimpi - Bloodshed" di ambil dari lagu Anthem, "Death to Death". Lama juga mencari siapa penyanyi asalnya kerana ianya dicatatkan sebagai "Copyright Controlled". Bermakna ianya adalah lagu cover. 

Ketika itu juga baru perasan yang sebuah lagi lagu dari album tersebut (Jangan Terpedaya) juga mempunyai persamaan dengan lagu Anthem yang bertajuk "Finger's On The Trigger". Mungkin kerana ianya tidak ditiru bulat-bulat, maka ianya tidak digolongkan sebagai lagu cover dan di kreditkan kepada Bloodshed. Zaman tersebut perkara ciplak seperti ini memang satu kebiasaan. 

Membeli piring hitam ini (selain dari harganya yang murah termasuk pos dalam RM80++) adalah semata-mata kerana 2 lagu tersebut. Tetapi ternyata lagu-lagu lainnya pun sedap. Ini yang payahnya bila kita mula terjebak dengan sesuatu yang baru. Tak pasal-pasal nanti akan "ter"cari album-album yang lainnya pula.


Thursday, November 11, 2021

Rock Kapak - Ipoh Music Symposium

 Antara yang terkini dalam pasaran buku...


Jarang nak jumpa buku pasal rock dalam bahasa melayu. Orang kita memang memang amat jarang nak buat buku biography apatah lagi buku tentang muzik. Mungkin kita sendiri yang kurang menghargai sejarah muzik menyebabkan penerbit buku tidak berminat untuk menerbitkan buku berkisar muzik dan biography pemuzik.


Sekali sekala terjumpa bahan bacaan macam ini memang tak akan dilepaskan peluang. Belum sempat baca pun lagi. Berderet sebenarnya buku yang tengah tunggu giliran untuk dibaca. Netflix dan yang seangkatan dengannya memang menyebabkan hampir kesuntukan masa lapang untuk membuat perkara lain.


Kongsi sedikit tajuk-tajuk yang boleh kita baca dalam buku ini. Ianya adalah himpunan pendapat, kajian, pemerhatian dan pengalaman beberapa orang individu yang dipilih untuk dibentangkan di dalam majlis Ipoh Music Symposium 2020 yang bertemakan "Rock Kapak".


Kongsi sekeping gambar. Kalau nak tengok yang lain kena lah beli bukunya. Tetapi bersesuian dengan penerbit dan penganjurnya iaitu Arkib Muzik Perak (AMP), sudah semestinya majoriti gambar adalah band rock kebangaan dari Perak iaitu SYJ.

Tabik kepada AMP yang berjaya mendokumentasikan bahan-bahan sejarah musik terutamanya dari Perak. Sepatutnya negeri-negeri lain juga kena mengikuti jejak langkah mereka sebagai contoh.


Tuesday, November 9, 2021

Pink Bubbles Go Ape


Lagi kenangan zaman remaja yang berjaya di "gila format" kan...


Helloween - Pink Bubbles Go Ape (1991)

Album ini adalah satu lagi kapsul masa yang menjadikan saya 30 tahun lebih muda. Ianya mengembalikan ingatan saya kepada ITM Segamat. Suasananya, kawan-kawan dan walkman Philips yang banyak berjasa.

Kaset ini adalah antara yang banyak berputar di dalam walkman tersebut. Ianya dibeli pada 29/04/1991. Lebih kurang sebulan lebih selepas ianya dipasarkan keseluruh dunia (11/03/1991). Antara kaset yang terus dibeli tanpa banyak tanya. 

Versi cd pula dibeli dari Dr Ibrisam ketika zaman beliau belum lagi menubuhkan kedai Rock At Large. Mungkin sekitar tahun 2008 atau 2009. Tak ingat adakah melalui Facebook atau masih lagi zaman forum Metal Terus atau mungkin juga zaman mailing list.


Manakala versi piring hitam pula adalah gara-para panic buying ketika PKP pertama tahun lepas. Ianya di beli melalui e-bay dari Korea Selatan. Ianya adalah hari-hari terakhir postage percuma / murah yang boleh kita dapat dari Korea Selatan. Kerana selepas berlakunya pandemic Covid-19, semua e-bayer dari Korea Selatan mula mengenakan kadar postage yang agak tinggi. Harga posnya ada yang sekali ganda dari harga piring hitam. Memang tak berbaloi.

Tak payahlah ulas pasal albumnya kot. Semua pun dah tahu yang Helloween telah pun berubah menjadi lebih pop dan komersial dengan album ini.


Sunday, November 7, 2021

Parabellum

 Album baru 2021...

Yngwie Malmsteen - Parabellum (2021)

Tak boleh nak ingat dah ini album yang keberapa. Aktif betul dia dalam menghasilkan album-album baru. Kalau dulu hampir setahun satu. Memang banyak juga yang tertinggal keretapi.

Seperti beberapa album kebelakangan ini, Malmsteen dalam studio tidak lagi bergerak secara kumpulan. Melainkan drums, segala alat muzik lain beserta vokal, lagu, lirik, susunan muzik dan penerbitnya adalah beliau sendiri.

Disebabkan beliau yang meyanyi, rasanya tumpuan dilebihkan kepada bahagian-bahagian instrumental untuk memudahkan beliau apabila melakukan persembahan secara live. Dari 10 lagu hanya 4 lagu yang ada lirik dan dinyanyikan. Faktor suara pun mungkin juga. Vokal beliau adalah dalam kategori yang biasa-biasa sahaja. 

Sebagai peminat beliau, memang tak ada apa nak di komplen. Memang ada momen yang membawa kita ke zaman awal beliau. Sebenarnya mudah sahaja kalau nak buat ulasan tentang album Malmsteen. Dia ni semua orang dah tahu macama muziknya dan jarang sangat ada kejutan ataupun perubahan. Malmsteen adalah Malmsteen. Jika anda peminat beliau, anda akan suka dan jika tidak, sampai bila-bila pun tak akan suka. Mudah!


Wednesday, November 3, 2021

Sirens & The Dungeons Are Calling Pt 2

 Merujuk kepada entri >SINI<

Savatage - Sirens & The Dungeons Are Calling (2021 - 180g Extensive Liner Notes Mastered for Vinyl)

Seperti yang diceritakan sebelum ini, kedua-dua lp reissue ini telah pun selamat sampai pada awal bulan September yang lalu.

Tak perlu cerita pasal album dan lagu-lagunya. Yang selalu masuk ke sini pasti tahu yang saya adalah peminat kipas susah nak mati Savatage. Hari ini cuma nak berkongsi sekeping dua gambar.

Tetapi yang pastinya saya cukup berpuashati dengan keluaran semula ini. Dari segi packaging, sound semuanya memang tip-top. Tak sabar menunggu keluaran reissue album-album yang seterusnya....

*next - Power Of The Night (05/11/2021)

#hatigembirapoketmenangis


Monday, November 1, 2021

Cd passion

Masalah mempunyai hobi mengumpul cd adalah ruang untuk menyimpan. Semakin banyak koleksi semakin sempit ruang yang dimiliki. Saya dalam proses untuk memindahkan koleksi saya di tempat yang lebih sesuai. Ruang yang ada sekarang terpaksa dikorbankan untuk menjadi ruang keluarga. Masih dalam perancangan jika di murahkan rezeki ruang menonton tv sekarang akan dijadikan bilik yang sepenuhnya untuk tujuan hobi.


Sehubungan dengan itu saya terpaksa memikirkan rak yang lebih sesuai. Ruang baru nanti saiznya agak kecil berbanding sekarang. Rak yang sedia ada agak besar dan memakan ruang. Ianya juga agak caca marba kerana berlainan jenis dan saiz. Cara penyelesaiannya adalah membeli rak "Gnedby" dari IKEA. Saiznya memang sesuai untuk meletak cd. Satu rak boleh memuatkan dalam 180 keping cd. Memang berbaloi walaupun harganya agak mahal.

Yang bagusnya ia boleh dibeli secara online. Tak kisahlah kalau kat tempat kita tak ada IKEA ataupun telah habis stok. Saya sendiri membeli secara online kerana IKEA JB ketika ini sudah kehabisan stok. Kalau nak beli dengan kuantiti yang banyak memang rasa berbaloi dengan kos penghantarannya. Maklumlah kalau beli sendiri pun agak jenuh juga nak mengangkatnya masuk ke dalam kereta. Berat.