Friday, April 29, 2016

Koleksi Terbaik Belantara

Tak pasti dengan orang lain, tetapi saya memang sukakan Belantara. Saya rasa mereka paling "asli" dan "lain dari yang lain" dari zamannya. Makanya maafkanlah sekiranya sekali lagi saya bercerita pasal mereka.


Dengan terbitnya cd ini, maka sempurnalah koleksi Belantara saya. Dulunya ia sekadar dikeluarkan dalam bentuk kaset (1992). Saya tak beli kasetnya tetapi adik perempuan saya ada. Beberapa bulan lepas banyak kali nampak kasetnya di kampung. Sayangnya, bila nak dicari tak jumpa pula di mana. Arghhh...


Yang ini pula terbitan tahun 2001. Keluaran syarikat yang sama. Di beli di kedai kaset tingkat 1 Plaza Angsana. Siap kena order. Kedai tu tak ambik stok pun. Budak jaga kedai tu tak kenal pun Belantara. Cd-cd lain dalam siri "best of" ni ada pulak. Hampeh! Dah tutup dah kedai ni, Bukan dia ajer, semua kedai kaset kat Plaza Angsana dah tutup dah. Lagi hampeh!!. Sekarang nak beli cd kat area Johor Bahru memang dah susah.


Track list. Bezanya versi 2001 kurang satu lagu. Tiada lagu "Jalan Pulang". Yang lain sama. Turutan pun sama. Dari segi sound, saya rasakan versi 2001 sedikit lebih elok. Tapi tapi tak banyak beza pun. Kira ok la. Tabik pada yang berusaha mengeluarkannya.


Akhirnya sempurna sudah. Terimakasih Belantara kerana menjadi sebahagian dari soundtrack zaman remaja saya. Tabik!






Wednesday, April 27, 2016

Pasar Karat Santai, Kesang, Muar

Kalau siapa-siapa tersesat ke Muar dan suka pula pada barang-barang antik dan lama, cuba-cubalah singgah di Pasar Karat Santai.


Ianya terletak di lebuhraya AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) atau lebih mudah jalan dari Muar hendak menuju ke Melaka.


Terkial-kial juga kali pertama mencarinya. Maklumlah tiada mercu tanda untuk dijadikan tanda. Tetapi yang pastinya ianya terletak di kawasan Kesang. Rasanya ada kot dalam 5 km dari bandar Muar (agaknya la). Terletak betul-betul di tepi jalan besar (belah kiri jika anda dari Muar hendak ke Melaka).


Seperti gambar, inilah deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai barang-barang antik dan lama. (kalau tak silap ada la dalam 8, 9 buah kedai kot..) Rasa macam American Pickers pun ada juga suasananya.


Macam-macam barangan ada. Dari kereta hinggalah ke barang elektrik dan pinggang mangkuk. Macam-macamlah. Semuanya memang mengimbau kenangan lalu terutamanya jika anda membesar di zaman 70an atau 80an. Rasanya barangan dari tahun 50an dan 60an pun banyak juga.


Basikal antik ni kalau tak silap dijual pada harga RM550. Kecuali tempat duduk yang lainnya telah diganti baru tetapi masih mengekalkan ciri-ciri yang asal.


Ini antara yang cukup bernostalgia buat saya. TV National berjenama Quintrix. Model tv berwarna yang sama dengan kepunyaan keluarga kami. Tak ingat sangat akhir 70an ataupun awal 80an. 14 inci je kot. Tetapi zaman tu dah kira hebat dah. Rumah orang lain masih guna tv hitam putih kita orang dah warna. Tu pun dah macam panggung wayang bila kawan-kawan datang menonton bersama.


Geledah juga piring hitam (sebenarnya ni lah tujuan asalnya). Sayangnya tak banyak tajuk yang menarik. Kebanyakannnya lp 70an orang putih yang saya tidak kenal langsung penyanyinya. Jual pun harga lelong dalam RM10. Tapi bila yang ada nama macam Duran Duran ni...hmmm...harganya naik melambung...hahaha...tapi masih lebih murah kot kalau nak banding dengan Amcorp Mall. Tapi tu la...mungkin masa hari saya datang tu tak kena...tak banyak pilihan...


Mungkin kalau bila-bila balik kampung ke Muar...akan singgah lagi ke sini....Ok tu ajer...





Monday, April 25, 2016

The Best of Warrant

Yang dah 20 tahun pada 2hb april yang lalu...


Warrant - The Best of Warrant (1996)

Zaman dulu lebih mudah.Ketika saya mula terjebak mendengar muzik rock dan heavy metal pada pertengahan 80an dahulu, semua band berambut panjang dengan bunyi gitar berdistortion akan dipanggil sebagai band rock ataupun heavy metal. Tak kisah apa genre dan tiada juga istilah true dan poser.

Tetapi menjelang penghujung 80an dan awal 90an mendengar band seperti Warrant seolah-olah menjadi satu kesalahan. Kalau tak nak digelar poser memang kena dengar secara menyorok. Awalnya, saya juga begitu. Satu fasa yang biasa dilalui oleh seorang remaja. Tetapi lama kelamaan saya lebih selesa mendengar apa yang saya suka. Pedulikan apa orang nak kata.

Warrant adalah antara band yang cemerlang dari generasi kedua hair/glam metal. Album pertama mereka, Dirty Rotten Filthy Stinking Rich mendapat tahap double platinum. Album kedua,Cherry Pie pun begitu juga. Secara keseluruhannya lebih 10 juta unit album mereka terjual di serata dunia. Satu pencapaian yang hebat untuk sebuah band seperti mereka.

Tetapi mereka juga adalah antara yang disalahkan sebagai punca kejatuhan glam/hair metal. Cerita Jani Lane berkenaan poster besar mereka di pejabat syarikat rakaman digantikan dengan poster Alice In Chains menjadi antara cerita popular dalam kisah zaman kejatuhan glam/hair metal.



The best of Warrant pada saya adalah permulaan terbaik jika anda baru nak berkenalan dengan muzik mereka. Semua lagu-lagu hits dan terbaik mereka ada di dalamnya.  "Heaven", "Cherry Pie", "Down Boys", "Sometimes She Cries", "Uncle Tom's Cabin", "I Saw Red" dan juga cover "We Will Rock You" dari soundtrack filem Gladiator (1992).

Mereka memang bagus terutamanya vokalis mereka, mendiang Jani Lane. Kebolehannya mencipta lagu dan vokal yang baik menjadi satu asset yang penting untuk Warrant. Tetapi mereka tiada gitar hero. Gitaris mereka, Joey Allen tidak pernah mencapai taraf seperti C.C. Deville dari Poison contohnya. Pada saya ianya menjadi satu kekurangan buat Warrant.

Kini dengan ketiadaan mendiang Jani Lane, Warrant tidak akan sama walaupun mereka masih aktif sehingga kini. Pada saya Warrant adalah Jani Lane. Period!







Saturday, April 23, 2016

Lagi lagi cd reissue...




Nak kata terkini tak juga. Semalam ada 3 lagi cd reissue yang keluar. Tapi yang ini kecuali Sumpitan Senja, 4 lagi tu memang antara yang ditunggu-tunggu. Ada yang memang dalam senarai wish list pun. Makanya memang tersangat gembira la.

Tapi ada juga nak komplen. Bab sound tu saya tak mahu sentuh. Saya faham sumbernya terhad. Tapi bab kualiti kertas cover tu. Untuk keluaran NSR, WEA dan Sony memang tip top. Glossy paper. Tapi untuk keluaran Universal memang sedikit mengecewakan. Sayang gambar cover dah cantik guna yang asal tapi kualiti kertas agak mengecewakan. Agak nipis.

 Kalau anda jenis yang tak sukakan hologram sticker. Pastinya ada akan menghadapi sedikit masalah untuk membuangnya. Kertasnya yang nipis tak glossy menyebabkan warnanya akan mudah tertanggal terutamanya jika anda menggunakan teknik semburan ridsect seperti saya.


Harapnya perkara ini dapat dipertimbangkan oleh pihak yang berkenaan. Sekian. Terimakasih.




Friday, April 22, 2016

"When Doves Cry"




Sebelum saya terjebak dengan muzik rock dan metal, Prince adalah antara pengaruh terbesar saya dalam muzik. Sehingga kini "Purple Rain" masih menjadi antara album kegemaran sepanjang zaman saya. Pernah juga menulis pasalnya suata masa dahulu. Rujuk >SINI<

Beliau sememangnya multi-talented. Dia penyanyi, komposer, penerbit album, pelakon, boleh bermain pelbagai alat muzik dan dia juga seorang gitaris yang hebat. Ramai yang tak perasan yang dia juga boleh menyolo dengan baik.

Banyak lagu beliau yang saya minat. Antaranya Purple Rain, When Doves Cry, Let's Go Crazy, 1999, Raspberry Beret dan lagu-lagu zaman saya dah jadi mat rock macam Kiss, The Most Beautiful Girl In The World dan banyak lagi yang saya tak ingat tajuk.

Tapi beliau juga banyak menulis untuk penyanyi lain. Antara yang paling saya suka adalah "Nothing Compares 2 U - Sinead O'Connor" dan yang paling sedap sekali, "Manic Monday - Bangles"

Seorang lagi hero zaman kanak-kanak saya telah tiada....

Prince Rogers Nelson
 (June 7, 1958 – April 21, 2016)

Thanks you for the music





Wednesday, April 20, 2016

Stomp 442

Lagi dari tahun lepas...yang dah pun 21 tahun...


Anthrax - Stomp 442 (1995)

Seperti yang saya katakan dalam beberapa entri yang lepas, pertengahan 90an adalah tahun-tahun yang agak mengecewakan untuk peminat heavy metal dan thrash seperti saya. Semua berubah. The Big Four pun terpalit sama.

Paling mengecewakan pada saya adalah Anthrax. Mereka adalah antara yang lantang menyalahkan grunge apabila muzik thrash tidak lagi mejadi popular. Tetapi di dalam masa yang mereka juga terikut-ikut untuk menjadi "sell out". Pada saya mereka memang berhak untuk ditengelamkan oleh band seperti Nirvana dan Alice In Chains.

Walaupun agak berlainan. tetapi album sebelumnya "Sound of White Noise" masih boleh menark hati saya. Tetapi Stomp 442 memang benar-benar mengecewakan. Langsung tak boleh nak masuk walaupun mendengarnya berulang-ulang kali 21 tahun yang lalu mahupun sekarang.


Tambah kurang menarik Dan Spitz juga tidak lagi bersama-sama. Beliau adalah idola gitaris thrash zaman remaja saya. Muka handsome dan ada gaya. Hahaha...T shirt 3 quarter American Football beliau menjadi beliau menjadi ikutan saya.

Walapun mereka menjemput Dimebag Darrell untuk menyolo dalam lagu  "King Size"  dan "Riding Shotgun"  tetapi solo-solo beliau bukanlah solo catchy seperti Dan Spitz yang sudah sebati dalam jiwa. Saya meninggalkan Antrax selepas dari album ini.






Monday, April 18, 2016

5150

Yang menyambut ulangtahun ke 30 pada 24hb mac yang lalu.


Van Halen - 5150 (1986)

1986 adalah tahun yang saya mula kemaruk untuk mendengar pelbagai album rock/metal orang putih. Salah satu darinya adalah 5150. Ianya sebuah kaset versi cetak rompak kepunyaan abang. Van Halen terutamanya album 5150 adalah kegemaran beliau.

Walaupun saya mula kenal Van Halen melalui lagu "Jumps" dan "I'll Wait" dari zaman David Lee Roth. Tetapi album inilah yang membuatkan saya betul-betul terjebak dengan mereka. Sebelum itu saya lebih banyak membaca gossip tentang Eddie Van Halen di dalam majalah hiburan berbanding mendengar lagu-lagu mereka. Maklumlah Eddie memang agak glamour pada ketika itu terutamanya apabila beliau berkahwin dengan pelakon sitcom "One Day at a Time"Valerie Bertinelli. Sesiapa yang membesar di awal 80an pasti tahu tentang cerita ini.


Tak banyak band yang menukar vokalis di zaman kemuncak tetapi masih boleh bertahan malah lebih berjaya dari zaman vokalis asal. (ACDC adalah salah satu darinya). Ini adalah permulaan dari 4 album zaman Sammy Hagar. Kalau 1984 kurang bernasib baik sekadar menduduki carta no 2 Billboard 200 di belakang Michael Jackson - Thriller tetapi 5150 terus melonjak ke tangga pertama walaupun tanpa kelibat David Lee Roth.

Kekuatan album ini selain petikan gitar Eddie Van Halen, pada saya terletak kepada vokal dan kebolehan Sammy Hagar menghasilkan lagu-lagu yang melodic. "Why Can't This Be Love"  , "Dreams" dan "Love Walks In" adalah 3 lagu terbaik mereka yang saya rasakan sukar untuk mereka ulangi pada album-album mereka yang seterusnya.


Saya tidak mempunyai versi kaset. Versi cd pula sudah hilang "cover"nya. Tetapi saya mempunyai versi piring hitam. Jelas dan nyata gambar Rick Valente bergaya sebagai Atlas mengangkat dunia. Masa budak-budak dulu rajin juga membelek gambar cover tersebut kerana saya sering menyangka yang ianya gambar si Hulk, Lou Ferrigno. Sekarang terasa macam gay pula bila membelek-belek gambar covernya...hahahaha....





Friday, April 15, 2016

Satu Antara Sejuta

Lagi cd keluaran semula...


Febians - Satu Antara Sejuta (1991) - keluaran semula 2016

Lagi album yang saya tidak pernah tau. Ini kali pertama mendengarnya. Hasil carian di internet mengatakan ianya album ketiga mereka. Produksinya bagus. Lagu pun sedap-sedap belaka terutamanya jika anda pengemar lagu rock perlahan. Seperti album mereka yang lainnya, Febians sememangnya melebihkan lagu-lagu perlahan. Ada 5 lagu kesemuanya tetapi saya secara peribadinya hanya menyukai dua daripadanya. Salah satunya, "Masih", entah mengapa lagu ini mengingatkan saya kepada lagu Nasha Bandi ketika beliau bersama Nuzzantara (Batu Batu Perjuangan). Susunan muzik dan solo gitar yang bagus dan di tambah dengan melodi yang memang sedap. Sekali dengar dah menangkap.

Yang kedua pula satu-satunya lagu yang saya pernah dengar dari album ini,"Penantian". Sememangnya ini killer song untuk album ini. Lagu perlahan yang cukup sifatnya untuk dipanggil sebagai sebuah lagu "slow rock" yang sebenar. Tak perlu bunyian keyboards meleweh. Cukup sekadar petikan gitar dengan solo yang mendayu. Memang layan kalau tak..tak kanlah ada band rock dari Indonesia turut merakamkan lagu ini dalam versi mereka.


Namun begitu Febians tidak pernah mengecewakan saya dengan lagu-lagu berat mereka walaupun kurang bilangannya. Antaranya "Perjalanan Segitiga". Speed metal dengan riff thrash ditengahnya. Tetapi saya cukup tertarik dengan lagu ala-ala Manowar, "Senjata Zaman". Jarang ada band rock melayu yang memainkan muzik yang sebegini.

Tabiknya saya kepada Febians adalah kerana kebolehan mereka mencipta lagu terutama vokalisnya, Nasha Bandi. Suara pun hebat tak kira lagu perlahan mahupun berat. Salah seorang vokalis metal terbaik yang ada di Malaysia. Tetapi untuk album ini pada saya keseluruhan kumpulan patut dipuji. Mereka memang sangat underated. Kerja gitar dan solo dari Aziz dan Yan pun bagus. Lagu instrumental "Demokrasi Songsang" yang ala-ala Malmsteen membuktikannya


Dengan ini cukup sudah keseluruhan discography Febians saya. Diharapkan dengan lahirnya cd-cd reissue ini, Febians akan kembali bersatu. Tak boleh dinafikan sememangnya mereka adalah antara sebuah kumpulan rock terbaik yang pernah muncul dari era "Johor Rock City" tahun 80an dulu.






Thursday, April 14, 2016

Jehovah The Satyr - Demo 2015

Seperti janji saya kepada Tuan Raimi....


Jehovah The Satyr - Demo 2015

Saya bukanlah pandai sangat untuk mengulas. Tambahan pula kumpulan yang berasal dari Sukabumi, Indonesia ini memainkan konsep modern death metal. Satu genre yang bukannya makanan saya. Malah saya telah lama meninggalkan death metal untuk halwa telinga saya sejak pertengahan tahun 90an lagi. Cuma ada beberapa band lama dari zaman remaja yang masih saya ikuti.

Mendengarnya dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka. Maklumlah tiada mana-mana band atau album death metal alaf baru yang boleh saya jadikan rujukan.

Pusingan pertama pendengaran (7 lagu dengan 2 daripadanya intro dan outro instrumental piano), saya dah rasa tertarik terutamanya di bahagian kerja gitarnya. Solo-solo yang sangat melodic menjadikan lagu-lagunya agak mudah hadam walaupun muziknya agak keras dan aggresif. Produksinya pun bagus. Permainan muziknya pun mantap. Sound sedap. Ini jelas membayangkan yang mereka terdiri dari pemuzik yang benar-benar berbakat. Cumanya saya kurang pasti adakah mereka mengunakan drum yang sebenar. Tetapi yang pastinya kekuatan album ini adalah kerana kerja gitarnya.



Saya tidak pandai untuk melabelkan muzik mereka. Mengikut gambar seolah-olah berimejkan muzik country. Tetapi jangan dipandang dari rupa. Menurut mereka ianya "musik yang terlalu lembek dari Death Metal, dan terlalu cepat untuk metal". Mungkin kalau tak keterlaluan saya katakan muzik mereka adalah Melodic Death Metal alaf baru. Dan tidak keterlaluan juga kalau saya katakan yang mereka adalah "the next big thing" dari scene extreme metal negara seberang.

Tabik untuk saudara Raimi kerana berjaya mengesan mereka. Saya rasakan tidak perlu lagi saya berasa was-was dengan pilihan band di bawah label beliau. Sebuah lagi band di bawah Faithcraft Productions, Surtur (Bangladesh) juga menarik apatah lagi mereka membawakan muzik thrash kegemaran saya.

Sila dapatkan pakej CD ini dari di Faithcraft Productions atau hubungi saudara Raimi untuk sebarang urusan pertanyaan dan pembelian. Email: faithcraftproductions@yahoo.com / Whatsapp: 019-2281979





Tuesday, April 12, 2016

terkini cd reissue...

lagi cd-cd terkini keluaran semula yang menyebabkan kena ikat perut untuk memilikinya...ni tak termasuk cd-cd dari Ramli Sarip, "Warisan" dan "Ihsan"...

 

banyak lagi yang akan menyusul....pengsan!..   #hatigembirapoketmenangis



Monday, April 11, 2016

Skunkworks

Yang menyambut ulantahun ke 20 pada 19 Februari yang lalu...


Bruce Dickinson - Skunkworks (1996)

Saya bersetuju dengan Ijau yang Skunkworks ada sedikit persamaan kesnya dengan Seventh Star (rujuk komen Black Sabbath Seventh Star). Malah ia juga sebuah album yang ganjil dalam keseluruhan discography solo ataupun berkumpulan Bruce Dickinson.

Pertengahan 90an adalah era yang cukup mencabar jika anda pengemar muzik heavy metal yang sebenar. Hero heavy metal seperti Bruce Dickinson pun berubah. Rambut pun dah potong pendek. Asalnya ini adalah projek band terbaru beliau yang menggunakan nama Skunkworks. Tetapi atas desakan syarikat rakaman yang tidak bersetuju, beliau akhirnya beliau mengalah. Skunkworks menjadi album solo beliau yang ke 3.


Skunkworks benar-benar lari dari genre biasa Bruce. Agak susah juga untuk mengkategorikannya. Tetapi yang pastinya ianya bukan metal. Mungkin boleh juga dipanggil sebagai alternative rock dengan pengaruh British yang kuat. Nasib juga ianya jenis straight rock bukannya meleweh ala Grunge ataupun alternative Bristish/Indie seperti Stone Roses, Oasis dan seangkatan dengannya.

Walaupun saya peminat beliau, sejujurnya saya tak boleh nak masuk dengan perubahan ini. Tiada rif-rif yang cukup "powerful". Segalanya "straight forward" yang menyebabkan ianya kedengaran sama sahaja di telinga saya untuk setiap lagu. Mendengarnya semula selepas 20 tahun pun tidak dapat mengubah pandangan saya terhadapnya.

Nasib juga beliau kembali ke pangkal jalan dengan album-album solo beliau yang berikutnya.





Friday, April 8, 2016

3

Yang dah 21 tahun dah umurnya....


Firehouse - 3 (1995)

Ada tak album yang anda beli kerana sukakan satu lagu? Bagi saya ini adalah albumnya. Saya jarang membeli album hanya kerana nak kan satu lagu. Tetapi yang ini satu pengecualian. Membelinya semata-mata kerana inginkan lagu I Live My Life For You. 

Tujuannya hanyalah untuk di masukkan ke dalam "mix tape" yang dibuat untuk dihadiahkan kepada kekasih hati. Biasalah zaman-zaman "seluar koyak main cinta"...Siapa-siapa yang hidup zaman tu mungkin pernah buat kot...hahaha...

Sehingga sekarang kalau lagu ni keluar di radio, sudah semestinya saya dan isteri akan menyanyikannya bersama-sama. Ianya sudah menjadi lagu rasmi untuk kami berdua. Malah anak-anak pun tahu. Anak sulong pun suka sangat akan lagu ni.


Berbalik pada albumnya, walaupun Firehouse ada lagu-lagu sedap macam All She Wrote dan balada macam Love Of A Lifetime, When I Look Into Your Eyes, Sleeping With You, tetapi saya agak kurang berminat untuk membeli album-albumnya. Entah kenapa untuk generasi ketiga glam/hair metal ni saya hanya tertarik untuk mendengar satu band sahaja, iaitu Slaughter. Mungkin kerana pada ketika itu saya masih kemaruk untuk mendengar band-band yang lebih extreme.

Walaupun begitu bila mendengarnya sekarang rasa sedap juga. Mereka lebih kepada molodic hard rock dan lagu balada mereka memang berhantu. Here For You pun sedap juga. Sayang band-band sebegini tenggelam selepas tahun tahun 90an...

Ni kalau terjumpa cdnya pasti akan dibeli. Pastinya untuk kenangan lagu I Live My Life For You.





Wednesday, April 6, 2016

Refresh The Demon

yang menyambut ulangtahun ke 20 pada 11hb Mac yang lalu...


Annihilator - Refresh The Demon (1996)

Tak adil lah jika nak dibandingkan dengan 3 album awal. Itu semua dah masuk kategori klasik thrash. Tetapi jika hendak dibandingkan dengan rilisan metal lain yang sama tahun dengannya, Refresh The Demon berada antara yang di atas.

Saya agak terlambat untuk mengikuti album ini. Selepas album Set The World On Fire (zaman Roadrunner), album-album berikutnya tidak lagi dipasarkan di Malaysia atau mungkin saya yang tak jumpa. Malah ketika zaman Tower Records, KL Plaza pun cd yang ada cuma 3 album awal mereka.

Ini adalah album kedua selepas King of the Kill yang Jeff Waters menyanyi sendiri. Malah bolehlah dikatakan ianya solo projek Jeff Waters yang menggunakan nama Annihilator. Mungkin kerana kesukaran untuk mendapatkan band member yang tetap. Tapi tak kisahlah. Seperti Dave Mustaine dan Megadeth, Jeff Waters adalah Annihilator dan Annihilator adalah Jeff Waters. Mungkin kerana itu dikhabarkan 2 kali dia menolak pelawaan Dave Mustsine untuk masuk Megadeth.


Album ini penuh dengan rif-rif teknikal thrash dan shredding gitar. Ada lagu-lagunya mengingatkan kita kepada era Alice in Hell dan Never Neverland. Sangat melodic juga. Malah vokal Jeff Waters walaupun bukanlah yang terbaik tetapi sudah secukup rasa untuk genre sebegini.

Refresh The Demon, Pastor Of Disaster, A Man Called Nothing dan Ultraparanoia antara yang menjadi pilihan. Tetapi seperti biasa Jeff Waters tidak pernah mengecewakan bila membuat lagu balada. Innocent Eyes memang sedap.

Tidak mengecewakan!




Monday, April 4, 2016

Pedal To The Metal isu #2

Barang yang baik memang patut di promosikan


Metal Punk Berbasikal! Isu #2 Mac 2016

Seperti isu yang pertama >SINI<, Kali ini Ra1m1 kembali dengan kayuhan yang lebih padu. Kalau anda pernah membaca isu yang pertama, pastinya anda akan paham dengan konsep Pedal To The Metal zine ini.

Seperti yang dicatatkan di dalam halaman prakatanya, zine ini bukanlah hanya berkisar tentang basikal dan muzik sahaja. Malah ada juga cerpen dan beberapa artikel lama dari blog beliau yang diolah semula. Saudara Adi Herman rakan blogger dari blog Molotov Cocktailz juga turut menyumbangkan karya cerpen beliau. Makin hebat beliau semenjak terbitnya novel "Pentagram Di Atas Pusara". Kipidap bro!


Tahniah untuk saudara Ra1m1 kerana terhasilnya isu #2. Bukan senang nak jual zine kertas di zaman yang semuanya pun dah "paperless" ni. Jika anda kenal beliau tak kiralah melalui karya muziknya ataupun blognya atau sahaja sekadar rakan di FB atau baru ni tau, amatlah dicadangkan untuk mendapatkannya barang senaskah.

Percayalah. Ianya memang berbaloi!

Beliau boleh dihubungi melalui :-
Email: faithcraftproductions@yahoo.com
Whatsapp: 019-2281979
facebook 
Blog : Kusyuk Kematian  dan   Faithcraft Productions


Untuk Ra1m1,

Terimakasih untuk cd Jehovah The Satyr. Saya akan cuba untuk membuat ulasan walaupun bukanlah pandai sangat pun.