Pendengaran rawak Work from home...
Metal Church - Blessing in Disguise (1989)
Sempena memperingati kematian Mike Howe pada 26hb Julai yang lalu.
Saya bukanlah peminat besar Metal Church. Tak pernah memiliki albumnya dalam bentuk kaset ketika zaman remaja dahulu. Tidak juga mengikuti perkembangan mereka secara teliti. Blessing in Disguise pun hanya saya dengar sambil lalu. Itupun kerana faktor John Marshall. Pinjam kawan. Dengar. Tapi tidak cukup menangkap untuk di beli kasetnya.
Hanya mula mendengarnya secara betul setelah berjaya memiliki cdnya. Berbanding dengan 2 album awal mereka bersama vokalis asal (David Wayne), masuknya Mike Howe sedikit mengubah hala tuju Metal Church. Mungkin juga bukan faktor Mike Howe seorang. Ketiadaan Kurdt Vanderhoof pun mungkin juga satu punca.
Blessing in Disguise kurang sedikit perencah thrashnya. Mereka kini berada di antara sempadan thrash dan heavy metal. Lagu-lagunya agak kurang laju jika hendak dibanding dengan album-album yang sebelumnya. Saya tidak mempunyai masalah dengan vokal Mike Howe. Beliau sememangnya mempunyai vokal yang bagus. Kemasukan beliau telah membuka lebih ruang untuk Metal Church mempelbagaikan corak muzik mereka.
Lagu kegemaran saya adalah "Fake Healer", lagu paling pekat thrash dan Metal Church yang lama. Mungkin juga "Anthem To The Estranged" dan "Badlands" yang ala-ala balada thrash "Watch the Children Pray". Yang lain-lainya agak lambat untuk menangkap. Setakat ini album Hanging In The Balance (1993) adalah yang paling saya suka untuk era Mike Howe. Saya akan cuba untuk mendengar semula album The Human Factor (1991) untuk dijadikan perbandingan.
Thanks for the music,
Mike Howe
(21 Ogos, 1965 - 26 Julai, 2021)