Thursday, October 30, 2014

Burn

Klasik rock album yang dah berusia 40 tahun....


Deep Purple - Burn (1974)

Deep Purple yang saya tahu ketika zaman saya kanak-kanak dahulu (penghujung 70an) adalah David Coverdale. Semuanya atas pengaruh abang dan rakan-rakan beliau. Saya agak kabur kaitan antara Deep Purple dan Whitesnake. Sama kes macam Michael Schenker dengan Scorpions dan UFO. Saya tak tahu pun yang "Smoke on the Water" adalah nyanyian Ian Gillan .

Bila saya mula benar-benar berminat dengan muzik (Darjah 5 tahun 1982), barulah saya tahu siapa sebenarnya David Coverdale dan Ian Gillan. Sayangnya ketika itu abang saya sudah mula kemaruk dengan muzik Top 40 dan New Wave. Akibatnya saya pun terjebak sama. Deep Purple dan rock mula saya tinggalkan.



Tetapi lagu-lagu seperti "Burn" dan "Mistreated" cukup saya ingat. Apabila saya mula kembali mendengar muzik rock beberapa tahun kemudiannya, saya mula mencari album yang memuatkan lagu-lagu tersebut. Ketika itulah baru jelas siapa David Coverdale dan siapa Deep Purple Mark 111.

Sememangnya era Mark 111 agak berbeza. Kemasukan David Coverdale dan Glen Hughes sedikit sebanyak mengubah arah tuju muzik Deep Purple. Tambahan pula mereka berdua terlibat dalam proses penciptaan lagu. Tidak di nafikan vokal Ian Gillan bagus. Tetapi David Coverdale dan Glen Hughes menambah jiwa (soul) ke dalam lagu-lagu Deep Purple. Lebih boogie.

Vinyl milik adik ipar yang dah nak barai outer sleeve nya
Secara peribadinya pada saya Burn adalah yang terbaik dari era Mark 111. Walaupun Stormbringer ada lagu klasik "Soldier of Fortune" tetapi lagu-lagu dari album ini pada saya lebih sedap. Memang tak pernah jemu la dengar keyboards/organ Jon Lord serta riff berhantu Ritchie Blackmore dalam lagu "Burn".

Terbaik!


 *kalau vokalis melayu, tabik betul dengar Jatt BDB bila bawa lagu-lagu DP era Coverdale...beberapa tahun lepas tengok kat tv dia bawa live lagu "Mistreated" memang power betul la vokal dia..






Tuesday, October 28, 2014

Divine Intervention

Kaset yang dah 20 tahun.


Slayer - Divine Intervention (1994)

Membelek album-album dari tahun 1994, baru saya perasan yang saya tidak mempunyai album ini dalam bentuk cd.

Secara jujurnya ini adalah album terakhir Slayer yang betul-betul saya ikuti. Saya agak kurang berminat dengan arah tuju mereka selepas dari ini terutamanya album punk (Undisputed Attitude - 1996) dan experimental (Diabolus in Musica - 1998).

Dengan Divine Intervention, maka berakhirnya era klasik line-up Slayer. Pada pendengaran telinga seorang buta muzik seperti saya, ketukan drum Paul Bostaph memang berbisa. Laju dan power!. Cumanya tak boleh nak lawan feel dan groove ketukan drum Dave Lombardo. Ianya seperti terlampau mekanikal...dah macam drum machine. Tapi memang perlu diakui, ianya hebat!.


Tetapi Slayer memang selayaknya di puji. Walaupun banyak band lain telah berubah. Mereka tetap dengan thrash (pada ketika itu lah). 4 tahun menuggu album baru mereka, sayangnya pada saya album ini agak kurang variasi. Lagu-lagunya yang berbunyi seakan-akan sama kesemuanya membuatkannya saya sedikit kebosanan. Tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi penawar bagi saya kerana ianya jauh lebih bagus jika hendak dibandingkan dengan bebarapa band yang seangkatan dengan mereka.

Menarik tetapi tak boleh nak lawan 3 serangkai masterpiece thrash mereka, Reign in Blood, South of Heaven dan Seasons in the Abyss.






Monday, October 27, 2014

Vs KL Felda United

Piala Malaysia
Separuh Akhir 2nd Leg
25hb Oktober 2014

Johor Darul Takzim 3  KL Felda United  1
(Luciano Gabriel Figueroa 29' 63', Amri Yahyah 71')



Lambat sikit update...maka yang ringkas-ringkas sahajalah.

1 - Perlawanan hari sabtu, dah boleh agak dah sesaknya macamana. Sampai pukul 6 pun dah melilau cari parking.

2 - Dalam stadium lagi la pulak. Belum pukul 7 pun dah tiada tempat duduk. Nasib la kalau ada kawan-kawan yang tolong tempahkan tempat. Kalau tak samada duduk kat tangga atau berdiri sahajalah sepanjang perlawanan.

Salji di Larkin?

3 - Macam biasa kalau dah dekat-dekat final atau pun final, mesti timbul isu penjualan tiket. Kesian juga dengar cerita ada yang beratur dari awal pagi tapi bila kaunter buka baru sejam, tiket dah abis. Siap ada yang mengamuk dengar ceritanya. Seorang cuma dibenarkan beli 3 tiket. Maknanya memang tak banyaklah jumlah yang dijual kat kaunter. Orang dalam dah ambil separuh kot, kalau tak..takkan penulis pun boleh dapat tiket tanpa perlu beratur (buat muka jahat...heheheh...)

4 - Stadium dah canggih, sayangnya proses jualan tiket masih di takuk lama. Sudah sepatutnya sistem on-line digunakan. Barulah boleh nampak berapa sebenarnya jumlah yang di jual untuk orang ramai. Siapa cepat dia dapat. Tak payah lagi lah penat nak bersesak sejak awal pagi untuk beratur.



5 - Seperti di duga, sempena pernikahan TMJ sehari sebelumnya. Lagu pengantin baru dinyanyikan. B.O.S dengan lagu Gambus Jodoh (yang liriknya "Pukullah tabuh...Pukullah tabuh pukul rebana" tu dari filem Madu 3 kot kalau tak silap) dan juga lagu Selamat Pengantin Baru.

6 - Stadium full house. Maknanya boleh bayangkan lah macamana bergegarnya suasana bila gol dijaringkan. Kredit juga kepada penyokong Felda. Boleh tahan ramai yang datang. Tu tak termasuk yang datang dari Felda tapi pakai jersi JDT lagi tu (termasuklah penulis...heheh...)


Kali pertama selepas setahun baru ada bakar flare

7 - Tentang game tak payah cerita lah. Yang tak datang stadium pun dah tengok kat tv. Cuma kesian kat Aidil dua kali berturut-turut tak boleh main kat final, Tahun lepas FA cup, kali ni Piala Malaysia. Tapi yang Nazrin Nawi punya kad merah tu memang majoriti penonton termasuk aku tak perasan pun. Maklumlah minit last, semua pun dah berdiri ready nak pesta tak perasan pun apa yang berlaku. Kat luar pun dah berdentum bunga api.

8 - Aku habis game terus balik. Esok anak nak sekolah. Tapi majoriti kat stadium terus berpesta, Bagus juga. Kali pertama keluar stadium tak sesak. Memandu balik pun line clear. 15 minit dah sampai rumah.


9 - Selamat berjumpa di Bukit Jalil. Sayangnya aku berkemungkinan besar tak dapat pergi. Sabtu tu aku kerja. Tutup akaun hujung bulan. Memang takder can nak cuti.

10 - Khabarnya TMJ nak sponsor bas penyokong. Rugi betullah tak dapat pergi. Masih teringat-ingat kemeriahan final FA Cup tahun lepas. Harap-harap menanglah. Lama dah wakil dari Johor tak memang Piala Malaysia.


LUASKAN KUASAMU!





Friday, October 24, 2014

Blues Felda Blues

Salam Maal Hijrah.

Sempena perlawanan JDT vs Felda separuh akhir Piala Malaysia esok,,,,



Bagi sesiapa yang tak tahu apa itu Felda...sila google sendiri...posting ini adalah ditujukan kepada anak-anak felda untuk bernostagia kenangan lama. Bukan senang nak jumpa bentuk rumah Felda yang asal sekarang.

Juga kepada sesiapa yang tak pernah tengok...atau tak pernah melawat rancangan Felda...dan saya rasa ramai juga anak-anak felda yang tak pernah tahu/merasa hidup dalam rumah felda yang asal. Celik-celik mata dah pun rumah batu. Maklumlah...sekarang kalau pergi mana-mana tanah rancangan Felda pun terutamanya kalau kat Johor, memang payah dah nak jumpa betuk asal ni. Semua pun dah berubah...rumah batu dah majoritinya...bunglow besar pun dah ada.


Contoh rumah Felda ni boleh kita lawati di Memorial Tun Abdul Razak. Memang hampir sama dengan rumah yang asal. Bezanya rumah asal bukanlah tangga batu seperti gambar di atas. Dulu guna tangga kayu.

Saya tak bolehlah nak di anggap sebagai anak Felda. Saya tak lahir di Felda. Tetapi abah memang seorang peneroka Felda. (dulu-dulu budak-budak...kami tak panggil peneroka...tapi penarockers...hahaha...). Maka saya bolehlah di kategorikan sebagai anak peneroka Felda.

Keluarga kami pindah ke Felda pada penghujung Disember tahun 1977. Ngam-ngam beberapa hari sebelum saya masuk darjah 1. Bayangkan perasaan saya letika itu. Tak pernah bersekolah tadika. Tak kenal sesiapa. Terus kena masuk darjah 1. Dulu-dulu bukannya macam sekarang mak bapak bertunggu bertangga kat sekolah sampai seminggu. Abah kerja, mak hantar...terus balik pasal nak jaga adik kat rumah. Pandai-pandailah nak hidup. Perkara macam ni yang akan mengajar kita erti berdikari. Dekat sebulan jugalah saya jadi lone ranger.


Rumahnya bukanlah besar mana pun. Satu bilik tidur jer pun. Kira bersyukurlah dapat rumah. Tu pasal warga tua peneroka felda cukup marah bila ada yang menyokong pembangkang. Tak kenang budi katanya...hahaha...(btw...untuk pengetahuan...rumah ini bukannya percuma...kena bayar secara potong gaji setiap bulan)

Gambar di atas adalah kawasan ruang tamu manakala dibelakangnya kena turun tangga sedikit adalah ruang makan. Seingat saya abah ada buat renovation untuk rumah kami. Ruang makan tu dipasangnya dinding untuk di jadikan bilik tidur.


Manakala bilik tidur di sebelah ruang tamu ini dipecahkan dindingnya untuk di jadikan ruang menonton tv. Abah memang up to date dalam bab-bab teknologi. Sayangnya ketika itu Felda belum ada elektrik. Rumah lama ada. Terpaksalah abah jual set turntable dan tv toshiba jenis yang dalam kotak kerana tiada elektrik. (sayang betul kan..) tetapi diganti dengan tv yang menggunakan bateri. Tv hitam putih ajer pun. Pakai bateri yang macam kat kereta tu. Dah abis boleh hantar kedai charged semula. Tapi makan masa sehari jugaklah untuk charged. Paling sedih bila masa bateri nak abis. Dah lah tv masa tu 14 inci ajer besarnya. Gambar akan jadi mengecil bila setiap kali bateri semakin nak abis. Dah lah tengok ramai-ramai...ada masa jiran pun tumpang sama...Bayangkan lah....


Ini pula ruang dapur. Nostalgia betul nampak dapur minyak tanah tu. Zaman tu mana ada dapur gas. Dapur karen lagilah tak pernah termimpi. Ingat lagi rumah kami menggunakan jenama butterfly yang dua tungku. Minyak tanah beli satu tin besar sebagai stok. Bila abis yang kat dapur tu, sayalah yang jadi tukang pam untuk mengisi semula.

Takder pulak kat rumah contoh ni lampu pam. Itu lagi nostalgia. Zaman belum ada letrik memang lampu pam lah paling berharga. Pakai pelita leceh...banyak jelaga...bangun pagi konpem lubang hidung jadi hitam. Lagipun lampu pam lagi terang. Dekat-dekat nak maghrib pasti saya dan abang berebut nak pam lampu tu untuk dinyalakan. Berpeluh juga nak kena pam sebelum mentolnya menyala. Untunglah budak-budak sekarang tak merasa susah macam tu. Sekarang petik suis....semua ada.

Btw...yang tempat letak pinggang itu apa ek namanya. Para eh?..lupa pulak. tak jumpa dah rumah zaman sekarang ada design macam tu kan?



Yang ni para tu dari belah luar. Yang sebelah tu bilik air. Bilik air kat luar. Kena keluar rumah untuk pergi. Tu belum cerita bab tandas. Jauh kat belakang. Kena kalau sakit perut waktu malam...paham-paham sahaja lah...gelap gelita...kena bawa lampu picit atau pelita...kena pula time malam jumaat...ada dengar bunyi salakan anjing sayup-sayup pulak...iskh...makanya... kalau boleh tahan baik tahan.

Ok tu ajer la aku nak cerita. Sebenarnya aku pun ingat-ingat lupa. Maklumlah baru umur 7 tahun. Tak lama lepas tu abah dah renovate belah belakang rumah. Buat dinding batu. Kasi besar sikit dapur. Rasanya macam tak lama kami duduk dalam betuk rumah Felda yang asal. Adik-adik aku lagi la tak ingat.



Rumah kami sekarang memang dah 100 peratus berubah. Tiada satu pun yang macam asal. Nasib ada rumah contoh ni. Dapat juga mengamit memori masa kanak-kanak. Zaman tu nak beli kamera pun tak mampu. Manalah nak simpan gambar.

Tu ajer la. Panjang-panjang pun belum tentu ada yang nak baca.

Ok...Ada yang tanya...saya sokong mana? Kalau anda pengikut blog ini dari mula sudah semestinya ada tahu "sentimental value" JDT kepada saya. Makanya sudah terang lagi bersuluh.


Saya tinggalkan anda dengan lirik Blues Felda Blues - Ramli Sarip...mendalam betul liriknya untuk anak peneroka felda seperti saya...

Ayahku kebingungan
Mencari kehidupan
Menanggung kesamaran

Matanya memerhati
Anaknya tak terbilang
Sekarang bagaimana

Putus kata sambung hidup di Felda
Kerja keras asal perut beralas
Kuat cita hantarku ke sekolah
Mengharapkan aku mahir berladang

Setelah ku berjaya
Mengenai pertanian
Berubah perasaan

Harapan dari ayah
Bukitkan kejayaan
Di tanah milik Tuhan

Tak mengerti budaya jiwa ini
Rasa malas untuk turun bertani

Ayah terus meningkat usianya
Blues Felda Blues siapa
Penggantinya



"LUASKAN KUASAMU!"











Thursday, October 23, 2014

Hotter Than Hell

Yang menyambut ulangtahun ke 40 semalam (22hb Oktober)


KISS - Hotter Than Hell (1974)

Saya bukanlah "die-hard fan" KISS. Tetapi tidak dinafikan saya menyukai lagu-lagu mereka. Cd ini hanya saya miliki dalam 2 atau 3 tahun yang lalu. Walaupun saya memiliki kesemua album mereka secara MP3. Tetapi album ke 2 mereka ini bukanlah pilihan utama untuk di dengar.

Lagu yang saya tahu dan pernah dengar hanyalah "Goin' Blind", itu pun kerana lagu tersebut ada di dalam cd Greatest KISS terbitan tahun 1997. Yang lainnya tak pernah dengar. Tetapi saya tahu juga lagu "Parasite". Lagu ini pernah dibawakan semula oleh Anthrax dalam album Attack of the Killer B's. Walaupun versi Anthrax lebih berat dan lebih laju tetapi kalau nak dikirakan yang versi asal ini dirakamkan pada tahun 1974, ianya dah boleh dikategorikan sebagai berat pun pada zaman tersebut.



Hotter Than Hell sebenarnya tidak banyak berbeza dari album-album awal KISS. Cumanya album ini agak kasar dan mentah bunyinya. Mungkin ada yang tak akan suka dengan "sound" kotor sebegini. Mereka pun dalam satu temuramah yang saya baca tidak berapa mengemari produksi album ini. Tetapi maklumlah, ini tahun 1974..zaman mereka belum pun dikenali..produksi budget kecil..dan tiada producer yang memahami kehendak sound hard rock mereka.

Tetapi saya ada terbaca yang ramai peminat KISS zaman ini suka akan sound dan produksinya. Ianya seperti sound "Grunge" kata mereka. CD saya adalah versi remaster dan saya tidak pasti apakah perbezaannya dengan versi asal.

Walaubagaimanapun pada saya, Hotter Than Hell mempunyai 4 atau 5 lagu yang bagus. Mungkin statusnya yang agak "underated" menyebabkan ianya bukanlah album KISS yang selalu disebut-sebut. Tetapi jujurnya...saya suka.  "Parasite" memang mendahului zamannya. Best!.







Tuesday, October 21, 2014

Penang Street Art

Lagi cerita di Pulau Pinang...

Satu lagi tarikan terkini di sana adalah Jalan Seni atau Penang Street Art. Dalam banyak-banyak tempat yang kami lawati di Penang, inilah tempat yang anak-anak paling excited sekali nak pergi. Awal-awal lagi dah siap dengan peta dah...macam misi mencari harta karun la pulak...


Mana taknya...lukisan-lukisan di dinding ini bukanlah dekat-dekat lokasinya. Bersepah di merata kawasan bandar George Town. Ada yang kami tak jumpa pun dan ada pula yang jauh dan malas/tak cukup masa untuk pergi. Contohnya lukisan atau mural “Boy on a Bike” seperti diatas adalah di kawasan Ah Quee Street manakala mural “Reaching Up” seperti dibawah berada di Cannon Street.


Yang uniknya ianya bukan sekadar lukisan di dinding. Tetapi gabungan antara lukisan dan benda sebenar (arca). Contohnya kerusi dan motosikal seperti gambar di atas.


Lukisan mural ini dilukis oleh  pelukis dari Lithuania yang bernama Ernest Zacharevic. Memang cantik lukisannya. Tetapi ada juga lukisan yang dilukis oleh pelukis tempatan dari Penang sendiri iaitu Loius Gan. Contohnya "Brother and Sister on a Swing" seperti di atas yang terletak di kawasan Chulia Street Ghaut. Yang uniknya Loius Gan adalah seorang yang pekak dan bisu.


"Children Playing Basketball" juga di Chulia Street Ghaut adalah satu lagi hasil seni dari Loius Gan. Lukisan mural ini kalau kita perhatikan biasanya disesuaikan dengan keadaan warna asal dinding bangunan tersebut. Cat di dinding tersebut adalah cat asal yang telah pudar sebenarnya. Tetapi bila dilukiskan sesuatu dengan kreatif maka jadi cantik dan menarik pula.


Yang ini adalah mural yang terbesar. Bersaiz  "15.2 m x 15.2 m". Bertajuk "The Awaiting Trishaw Pedaler" di kawasan Penang Road. Satu lagi hasil kerja dari Ernest Zacharevic.


Ini pula adalah "I Want Pau" di Armenian Street Ghaut. Sebenarnya kawasan lukisan mural ini kebanyakkannya terletak di celah lorong-lorong yang asalnya agak kurang menyenangkan. Berlumut dan ada yang berbau. Kalau tak pasal mural ni memang la takder siapa pun nak singgah.


Yang ini pula dipanggil sebagai "Skippy". Terletak di Armenian Street Ghaut. Dilukis oleh kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai  ASA atau Artists for Stray Animals. Ianya adalah satu dari 12 mural yang dalam projek "101 Lost Kittens" yang bertemakan kucing dan anjing yang dibuat khas bersempena dengan George Town Festival 2013.

Sebenarnya di dinding sebelah ada gambar tikus. Kira sebagai sambungan dari gambar ini. Tapi malas pula nak cari dan tampal gambarnya. Lukisan ini dilukis menggunakan dakwat mesra alam. Katanya akan luntur dalam tempoh 2 tahun. So siapa-siapa yang nak tengok gambar-gambar kucing ni...sila pergi sekarang.


Yang ini sedikit berbeza. Di lukis di dinding papan di kawasan pintu masuk Chew Jetty. Mural bertajuk "Ah Mah & Ah Soon" ini adalah satu-satunya (kalau saya tak silap) dilukis oleh seorang lagi pelukis tempatan iaitu Simon Tan. Apa yang saya baca ini adalah mural beliau yang ke 2 selepas mural pertama bertajuk "Ah Kong & Ah Mah" telah di sabotaj oleh penduduk tempatan. Ianya telah pun dipadamkan. Sila google sendiri untuk cerita lebih lanjut.


Selain mural, ada juga sculpture yang diperbuat daripada batang besi. Contohnya sculpture bertajuk "Then & Now" yang terdapat di Armenian Street. Awalnya ingatkan ianya lukisan, rupa-rupanya batang besi yang dibengkokkan menjadi sculpture dan dipasang di tepi dinding.


Yang ni pun banyak. Kena rajin menyusur di lorong-lorong untuk jumpa. Yang di atas ni di beri nama "Tok Tok Mee"yang terletak diantara persimpangan China Street dan Pitt Street. Biasanya ia dibuat mengikut kesesuaian dan sejarah jalan tersebut. Contohnya mungkin jalan ini dahulunya adalah laluan penjual wantan mee.


Selain itu sculpture ini adalah berdasarkan lukisan kartunis. Contohnya "Bullock Cart Wheel" yang terletak berhadapan Pitt Street ini adalah berdasarkan kartun Reggie Lee. Dia ni jer kot kartunis yang aku kenal kat sini. Dulu kartun dia ada kat Gila Gila kan.


Tak banyak sculpture yang aku singah. Anak-anak lebih bersemangat nak cari mural berbanding sculpture. Layankan ajer la...


Selain sculpture dan mural...ada juga yang jenis macam ni...nak panggil apa ni ek...aku baca blog dipanggil artwork...


Satu lagi contoh...dia memang bersepah la benda ni. Ada banyak lagi sebenarnya. Aku jer tak larat nak menapak. Penat. Kalau tau dari awal boleh sewa basikal...aku sewa jer. Tak tanya pula berapa dorang charged.

Aku check kat handphone total menapak sepanjang mencari mural ni dekat 7.4 km....giler jauh...abis terbakar semua kalori makan nasi kandar tengahari tadi...hahaha...padanlah naik lenguh kaki...tu pun kalau ikut budak-budak dia nak cari semua mural yang ada kat dalam peta...aku yang tak larat dah...

Ada beberapa lagi gambar...malas dah nak tampal dan menceceh menulis di bawahnya...ni pun cukuplah. Bagi sesapa yang teringin nak pergi sini...aku nasihatkan pergi la cepat...aku tengok banyak mural yang lukisannya dah lusuh...ada yang dah terkopak...contohnya mural Bruce Lee terajang kucing...dah jahanam dah...


ok tu ajer...dah...



Monday, October 20, 2014

Rising Force

Album kegemaran yang dah pun 30 tahun usianya


 Yngwie J. Malmsteen's Rising Force - Rising Force (1984)

Saya bukanlah seorang guitarist…pernah bermimpi untuk jadi…tapi jari bangku dan pemalas untuk berlatih. Tetapi Malmsteen lah orang yang bertanggungjawap menjadikan saya dan ramai lagi rocker wannabe yang sebaya saya ingin menjadi gitar hero. Mungkin bagi abang-abang yang lebih tua dari saya semuanya kerana Ritchie Blackmore. Malah Malmsteen sendiri terpengaruh dari Ritchie. Tetapi bagi genarasi saya…semuanya kerana Malmsteen. Beliaulah yang mengenalkan maksud "guitar shredder" bagi kami.

Ada ramai haters di luar sana yang kondem Malmsteen. Main takder feel la. Setakat laju la. Semua tempat nak menyolo la dan bermacam-macm lagi. Tak pasti apakah pakar dan pengkritik muzik ini benar-benar mendengar muzik Malmsteen atau sekadar bias kerana nama Malmsteen itu sendiri. Mungkin mereka patut kembali mendengar album pertama ini.


Bagi saya intro lagu "Black Star" itu pun dah cukup feel dan berjiwa dah. Orang yang genius sahaja boleh menghasilkan lagu sebaik "Black Star" ataupun "Far Beyond the Sun". Bukan semua pun lagu solo laju bergulung. Sila rujuk lagu seperti "Icarus' Dream Suite Op. 4". Memang feeling. Ok..ok mungkin saya bias. Tetapi saya serahkan kepada anda untuk dengar, nilai dan nyatakan pandangan anda.

Itu belum cerita perihal vokal Jeff Scott Soto. Sayangnya kemampuan beliau hanya digunakan untuk 2 buah lagu sahaja. Sila rujuk album seterusnya, Marching Out untuk mendengar kehebatan vokal beliau.

Rekomended!


***Mungkin hanya perasaan saya, tetapi setiap kali mendengar intro "Search - Pelesit Kota" pastinya mengingatkan saya kepada intro  lagu "Evil Eye". (saya terbaca yang King Shah Metalasia mengatakan inilah lagu rock pertama beliau sebagai pemain gitar)






Friday, October 17, 2014

Vs TERENGGANU


Piala Malaysia
Suku Akhir 2nd Leg
16hb Oktober 2014

Johor Darul Takzim 3  Terengganu 1
( Safiq Rahim 15', 74' , Luciano Gabriel Figueroa 22')



Lama dah tak layan bola..kali terakhir turun Larkin bulan Jun yang lalu masa JDT angkat piala liga..ntah kenapa macam rasa malas pula nak turun stadium sekarang. Sejak-sejak golongan hipster pun dah pandai nak tengok bola….hahaha…takder la….bagus la stadium penuh….cumanya aku jer yang rasa malas dah nak bersesak-sesak…ni pun orang rumah aku yang beriya-iya ajak pergi…lepas abis liga tu hari…aku memang rasa letih nak pergi…tambah-tambah sekarang game buat hari kerja…tapi kali ni..layan ajer la..

1 – Masuk lepas maghrib…biasalah kerja…kat pintu masuk ok…tapi laluan nak masuk ke tempat duduk tu yang sendat…sesak…nasib tempat duduk aku dah ada yang tolong book…kalau tak payah jugak…5 minit sebelum pukul 8 semua tempat duduk dah penuh dah…pergh!!..memang full house…macam tak kerja pula dorang semua ni…

Full House
2 – 3,4 bulan tak pergi stadium dah ada perubahan dah…tempat sembahyang kat luar dah pindah ke tempat berbumbung (kawasan kantin lama kot…kalau tak silap)..luar banyak kerja ubahsuai…kat dinding kawasan tangga tempat duduk pun dah cantik…dan yang paling ketara led board tu dah lain…dah stail liga omputeh…bersambung semua kat corner tu (rujuk gambar)…tapi yang tetap tip-top keadaan padang la…memang klas!

The Professor
3 – Sebelum game ada majlis penganugerahan kepada Nasir “The Professor” Yusof untuk dimasukkan dalam “Johor Wall Of Fame”. Yang sedihnya ada juga yang tak kenal siapa dia Nasir Yusof...hmmm…so…tak boleh marah la kalau orang kutuk fan baru dah up…biasalah bila golongan hipster tengok bola…hahaha…

Peteh Ganu Peteh
4 – B.O.S macam biasa…sejak ada speaker kat tempat dorang lagi lah bergegar stadium…Respek juga kat penyokong Terengganu walaupun setakat 100++ orang masih tetap ada suara…terutama time dorang dapat satu gol tu la…

5 – Tentang game, 1st half JDT main memang bagus…tapi masuk 2nd half slow sikit…tak pasti la kalau itu taktikal Bojan…bila counter attack Terengganu menjadi cemas jugak la sekejap…Gol ke 3 tu terus kill the game..



6 – Suasana antara fan…ok ok ajer…rasanya majority fan JDT dah matang dah…takder la nak baling-baling batu macam kat Terengganu tu…siapa join away day kat sana tau cerita la…fan Terengganu masuk stadium pun kita orang tepuk tangan…bukannya boo…lagu negeri Terengganu pun kita orang berdiri hormat…chant terimakasih penyokong Terengganu di balas balik dengan terimakasih penyokong Johor…maknanya malam tadi semua alrite…takder hal….bola jer pun…

7 – Aku rasa pembaca blog ni bukannya orang Johor ajer…aku mungkin bias…tapi kalau korang rasa JDT ni teruk sangat…jemputlah datang Larkin…tengok sendiri depan mata…apa yang TMJ buat ni kalau anda betul-betul seorang peminat bola memang patut di sokong…bak kata TMJ pun…kalau nak baling batu…jangan baling batu pada fan JDT…tapi baling batu pada presiden team sendiri kerana tak buat kerja…

Tu ajer…semi final lawan felda nanti mungkin aku pergi kot…


Btw…kontroversi kes tendang tiang bendera tu bukannya apa pun…sebenarnya dia terjatuh sebelum tu…mungkin nak kaver kot…tu yang tendang tiang tu… :P


"LUASKAN KUASAMU"




Wednesday, October 15, 2014

'74 Jailbreak

Hari ini...15hb Oktober, EP ini menyambut ulang tahunnya yang ke 30.


AC/DC - '74 Jailbreak (1984)

Secara kebetulan, cd ini baru saya terima semalam. Ngam-ngam untuk buat cerita sempena ulangtahunnya yang ke 30. Tetapi kalau di baca sejarahnya >wiki< koleksi lagu-lagu ini sebenarnya dirakamkan pada 40 tahun yang lalu (1974).

Saya agak baru dalam mendalami muzik AC/DC. Ini adalah kali pertama saya mendengar '74 Jailbreak secara keseluruhan. Mendengar EP ini membuatkan saya faham kenapa masih ramai peminat mereka masih menyanjung mendiang Bon Scott. Memang power!


hanya tinggal 2 tajuk dari di atas yang belum dimiliki

Ntah kenapa dulu-dulu saya agak kurang terdedah dengan muzik mereka. Tetapi sedar tak sedar dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini saya sudah memiliki 13 cd mereka. Hampir lengkap dah discographynya. Sememangnya saya adalah salah seorang peminat mereka sekarang. "Better late than never". Sayang sungguh band lagenda seperti mereka ini belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

Best!






Tuesday, October 14, 2014

Pop is Dead?

Kaset yang dah 20 tahun...


V.A - Pop is Dead? (The Essential Alternative Album) (1994)

Kalau tak silap inilah tahun yang munculnya perkataan alternative. Walaupun ianya bukanlah "my cup of tea" tetapi dah hidup djaman tersebut...sedikit tempias tu terkena juga. rasanya kompilasi ini diterbitkan oleh EMI khas untuk pasaran Malaysia sahaja.


Tujuan asalnya adalah kerana inginkan lagu Creep dari Radiohead. Tak berani nak beli satu album kerana takut tak boleh hadam lagu-lagu lainnya.


Satu lagi kerana lagu No Rain dari Blind Melon. Antara lagu kegemaran saya dari zaman tersebut.

Walaupun begitu ada juga lagu-lagu dari kompilasi ini telah saya miliki kasetnya seperti Terrorvison dan Mutha's Day Out. Yang lain-lainnya kebanyakan pertama kali dengar.

Track list :

1. Radiohead - Creep
2. The Smashing Pumpkins - Today
3. Cracker - Low
4. The Auteurs - Chinese Bakery
5. Terrorvision - Middleman
6. Concrete Blonde - Heal It Up
7. Beastie Boys - Sabotage
8. Lenny Kravitz - Are You Gonna Go My Way
9. I Mother Earth  - Rain Will Fall
10. Mutha's Day Out - Locked (Tear Me Down)
11. Blind Melon - No Rain
12. Morrissey - The More You Ignore Me, The Closer I Get
13. Blur - To The End [Feat. Laetitia Sadier]

Hasil pencarian saya di internet rupa-rupanya ia juga ada di keluarkan dalam bentuk cd. Tetapi tidak pernah pula terjumpa.

Seronok juga sesekali mengimbau kenangan zaman tersebut walaupun ianya bukanlah kegemaran. Selera muzik saya tidak pernah berubah walaupun pun apa zamannya.






Monday, October 13, 2014

Dup Dap Dup Dap Part 4



Dah masuk bahagian ke 4 dah…bermakna masuk kali ni dah 4 kali dah anak-anak aku menghadapi peperiksaan besar. Kali ini anak yang no 2 pula menduduki peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga). Tetapi perasaan bapaknya tetap macam tu juga…dup dap…dup dap..

Kasihan juga anak-anak ini sekali lagi dijadikan bahan ujikaji oleh orang-orang politik. Sesiapa ibubapa yang ada anaknya mengambil peperiksaan PT3 malah cikgu-cikgu juga pasti tahulah apa kisah disebaliknya. Kadang-kadang tertanya-tanya juga adakah sememangnya orang-orang kurang cerdik yang mememang jawatan politik atau kita yang kurang cerdik kerana memilih mereka….?

Cukup tak paham kenapa sesuatu yang belum habis kajiannya…belum ada kata putus…tapi keputusannya telah di buat. Hasilnya semua jadi huru hara…Hari ini periksa, bulan Julai lepas baru buat keputusan bagaimana peperiksaanya. Bukan sahaja kasihan pada anak-anak…malah cikgu-cikgu juga….

Penat lah nak cerita perihal system pendidikan di Malaysia ni…tu belum cerita bab vernacular school lagi…

Takper lah…life goes on…khas untuk anak abah dan anak-anak lainnya yang seramai 41,106 orang yang mula menduduki peperiksaan PT3 hari ini…abah ucapkan semoga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang….Amin.


**iskh...terasa tua betul bila guna ayat "abah"...heheh,,,






Friday, October 10, 2014

Out of the Cellar

Sebuah lagi album kegemaran yang dah 30 tahun dah...


Ratt - Out of the Cellar (1984)

Dah pernah buat ceritanya 4 tahun yang lalu.. >SINI<.

Tapi disebabkan ini album kegemaran. Tambahan pula ianya adalah salah satu album rock terbaik dari tahun 1984. Kena lah cerita juga walaupun ringkas.

Bagi saya Ratt unik. Mereka agak lain dari band hair/glam metal yang biasa. Mereka menggunakan 2 gitaris. Boleh dengar riffs yang berbeza di kiri dan kanan speaker hasil kerja gitar dari Warren DeMartini dan Robbin Crosby. Set-up hi-fi atau headphone yang baik sudah pasti akan memberikan anda kepuasan yang maksima. Catchy pulak tu.

inlaynya pun dah lusuh...kena beli baru ni...ataupun mungkin cari vinyl.. :P

Semua lagu best. Berkali-kali dah saya katakan yang saya cukup suka rock yang tidak meleweh, bergumbira dan berjimba. Bukankah "Rock n roll supposed to be fun"?...Out of the Cellar mempunyai ciri-ciri yang begitu. Makanya tak hairanlah kalau saya pengemar muzik Ratt.

Terbaik!




Thursday, October 9, 2014

U.S.A

Yang menyambut ulangtahun ke 20...


Ella - U.S.A (1994)

Unik. Syuga. Asli....Sedar tak sedar dah 20 tahun rupanya usia album ini. Banyak kenangannya. Antaranya  menonton konsert tour Ella-U.S.A di Stadium Tertutup MBJB. Ketika itu Khalid Mubin (Rusty Blade), Zan (Rusty Blade) dan Yem Bai (BPR) menjadi band pengiring. Super group tu. Memang best.

Sayangnya mereka tidak bermain untuk rakaman album ini. Maklumlah, selepas kejayaan besar 30110, (mencipta rekod abum yang paling tinggi jualannya di Malaysia pada ketika itu sebelum dipotong oleh album pertama Raihan kemudiannya). EMI berbelanja besar untuk Ella. Rakaman dilakukan di California. Semua pemuziknya mat salleh kecuali mamat jepun Kyoji Yamamoto.

Siapa Kyoji Yamamoto?. Sila google Bow Wow atau Vow Wow ketika zaman mereka di UK. Seangkatan dengan Loudness dan Eartshaker ni. Memang gitaris hebat. Beliau juga bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik untuk album ini. Maka tak hairanlah sound album ini memang sangat berkualiti. Memang hebat. Tip Top.

Kaset ini dibeli ketika bulan ia dilancarkan (feb 1994)...di dalamnya ada booklet lirik,info dan gambar-gambar Ella

Yang lebih menarik pada saya Ella sendiri turut terlibat dalam proses pembikinannya. Menjadi penerbit bersama dan menulis lirik. 9 buah lagu liriknya ditulis oleh beliau. Tak kisahlah walaupun lirik-liriknya bukanlah setaraf lirik arwah Loloq.

Nak kata semua lagunya saya suka...kira boleh lah...tapi saya lebih mengemari album 30110. Album ini mengembalikan memori di tempat pertama saya berkerja. Ketika itu saya terpaksa "stay back" di pejabat hampir setiap malam...yang ada masanya hingga ke pukul 1 pagi. Album ini menjadi peneman kerana salah seorang rakan pejabat cukup sukakan Ella. Dah radio kaset dia yang punya. Terpaksalah berulang-ulang kali mendengarnya hampir setiap malam...hinggakan setiap lagunya melekat di kepala.

Versi cd kalau tak silap di beli pada tahun 2010...cd reissued ini mengandungi booklet yang lengkap sama seperti kaset...

Antara yang melekat kat kepala termasuklah lagu gedik "Mungkin" kerana ini lagu kegemaran rakan saya tersebut. (Tak pasti kat mana rakan saya ni sekarang...lama dah terputus hubungan...nama betulnya pun saya dah lupa...)

Tapi kalau untuk saya...selain lagu-lagu yang rancak...paling suka...paling feel...adalah "Rindu"...syiok layan ketika zaman bercintan cintun dulu....

untuk layan cerita dari blog Ijau...klik >SINI< dan >SINI<