Friday, November 29, 2013

Batu

Klasik rock melayu yang menyambut ulangtahun ke 30.


Sweet Charity - Batu (1983)

Ketika Batu diriliskan, saya telah mula minat muzik. Tetapi ketika itu belum berkira sangat pasal genre muzik. Maklumlah budak sekolah rendah lagi. Apa yang di radio dan apa yang dimainkan oleh abang saya itulah yang saya suka. Namun begitu saya lebih cenderung untuk menyukai band daripada artis solo. Nama-nama seperti Blues Gang, Kembara, Carefree, Black Dog Bone dan The Flaybaits adalah antara yang pop untuk budak-budak ketika itu. Tetapi memang terasa satu perasaan yang lain bila mendengar band-band seperti Sweet Charity, The Unwanted atau Kingdom In Rock. Mungkin pada ketika itu jiwa rock tu telah ada cuma belum disedari lagi.

Walaupun begitu Batu bukanlah album yang saya ikuti sangat. Abang saya pada ketika itu telah mula kemaruk dengan lagu-lagu inggeris zaman new wave. Tidak seperti Sejuta Wajah dan Penunggu, Batu memang tak pernah ada kasetnya di rumah. Maka nilai sentimental album ini agak kurang terkesan kepada saya.

Pada saya yang menariknya, Batu adalah album pertama Sweet Charity yang tiada lagu saduran atau cover version. Tiada pengaruh Indonesia. Maka tiada Rock Dangdut. Tetapi tidaklah bermakna tiada ciplak langsung. Kalau dengar betul-betul dan anda biasa dengan rock 70an sudah pasti anda akan terjumpa solo atau rif ciplak di sana sini. Contohnya dengarkan lagu "Mengejar Pelangi" dan bandingkan pula dengan "Deep Purple - Flight Of The Rat". Memang sebijik kan? Tak pun cuba pula dengarkan lagu "Dunia Perlumbaan". Solo akhirnya tu sememangnya menyamai solo akhir "Hotel California - Eagles".

Majoriti lagu-lagunya adalah ciptaan Ramli Sarip. Nampaknya di album ke 4 ini barulah mereka benar-benar berani menghasilkan lagu-lagu sendiri secara keseluruhannya. Walupun begitu tema rock rojak tetap sebati dengan mereka.  Ada bunyi Santana (Ada Kerja Ada Gaji). Ada pula yang psychedelic rock atau pun progressif seperti lagu yang menjadi tajuk album (Batu). Tetapi majoritinya adalah lagu-lagu berkonsep rock 70an ala-ala Deep Purple, Uriah Heep dan american rock seperti  Foreigner,Journey,Styx, Bad Company dan lain-lain.

hampehnya cd rilisan semula melayu...dah la inlay sekeping...info tentang band member pun tak betul...mana nama Wan Ahmad???

Mungkin rock melayu pada ketika itu agak ketinggalan. Di barat telah ujud NWOBHM dan early thrash oleh band seperti Metallica dan Slayer. Tetapi band rock mainstrem melayu pada ketika itu masih berpaksikan rock 70an. Kemunculan Search dan Battle Of The Band kemudiannya menukar senario tersebut. Ok itu cerita lain yang patut diceritakan di entri yang lain.

Kesimpulannya Batu adalah album yang menarik. Kemasukan semula Wan Ahmad memang terasa. Sentuhan keyboardnya yang ala-ala Jon Lord/Ken Hensley memang mendominasi. Rosli Mohalim masih mengekalkan status gitar hero melayunya pada ketika itu. Instrumental "Genarasi Muda" adalah lombinasi terbaik antara mereka berdua.

 Lagu perlahan yang merupakan satu-satunya lagu bertemakan cinta, "Datang Dan Pergi" membuktikan mereka sebenarnya tidak perlu terus menerus mengharapkan lagu-lagu Indonesia untuk menjadi sedap dan popular. Lagu pilihan saya adalah "Batu". Tak sangka pula penciptanya Othman Hamzah. Tak banyak lagu-lagu melayu yang progressif begini. Tetapi lagu yang mengamit memori saya selain dari "Batu" adalah "Kawan Ketawa, Kawan Menangis". Tak silap saya inilah antara lagu yang kerap dimainkan dengan gitar tong oleh abang-abang senior sekampung dengan saya.

Klasik!



Untuk dikongsi bersama - Saya terjumpa artikel lama akhbar Berita Harian Singapura bertarikh 8 June 1983 ketika mengoogle tentang album ini. Cekidot....

http://newspapers.nl.sg/Digitised/Article/beritaharian19830608-1.2.41.3.aspx




Thursday, November 28, 2013

Believe in Me

Ini khas untuk "kipas susah nak mati" GNR seperti saya. Album yang dah menyambut ulangtahun ke 20.


Duff McKagan - Believe in Me (1993)

Dalam GNR saya menyukai Izzy Stradlin. Tetapi jika hendak bercerita tentang album-album solo ahli GNR, Believe in Me dari Duff Mckagan adalah pilihan utama.

Believe in Me diterbitkan ketika beliau masih dalam GNR. Konsepnya lebih kepada punk rock. Maka dah boleh agaklah darimana datangnya pengaruh punk dalam GNR terutamanya dalam album "The Spaghetti Incident?". Beliau sememangnya berbakat. Boleh mencipta lagu, menulis lirik, menerbit, menyanyi malah bermain semua alat muzik. Bakat nyanyiannya dah boleh kita dengar dalam lagu "So Fine" dari "Use Your Illusion II". Lagu kegemaran saya dan dah pernah buat entri pun pasalnya dulu. >SINI<.


Antara yang mejadi penyumbang dalam ini adalah Slash. Solo untuk lagu  "Believe in Me" dan "Just Not There". Walaupun ada juga lagu-lagu lain yang band member GNR terlibat macam Gilby Clarke "10 Years", Matt Sorum "(F@*ked Up) Beyond Belief" dan Dizzy Reed "Could It Be You" tetapi tak berbunyi seperti GNR langsung. Tetapi yang Slash menyolo memang dah macam GNR dah. Mungkin pasal sound gitar Slash tu dah sinonim sangat dengan GNR.

Tapi solo yang paling saya suka adalah solo Jeff Beck dalam lagu "(F@*ked Up) Beyond Belief". Memang sedap. Dia pun turut meyumbang solo dalam lagu "Swamp Song". Lain-lain bintang yang terlibat adalah Lenny Kravitz vokal untuk lagu "The Majority" dan band member dari Skid RowSebastian Bach vokal untuk "Trouble" manakala Dave "The Snake" Sabo gitar untuk "Trouble" dan "Lonely Tonite". Rob Affuso pula drums untuk "Swamp Song" and "F@*k You".


Kalau anda sukakan lagu punk sempoi atau lagu2 ala "So Fine", album "Believe In Me" pasti memuaskan hati. Tak perlu jadi peminat GNR untuk suka kerana sememangnya ia tak sama seperti GNR. Best!




Wednesday, November 27, 2013

Wordless Wednesday : JDT 2014






























Tengok senarai pemain....memang wow!!!! tak sabo tunggu musim depan...






Monday, November 25, 2013

Wolverine Blues

Sebuah lagi album kegemaran dari 20 tahun yang lalu.


Entombed - Wolverine Blues (1993)

Muzik dalam Wolverine Blues adalah apa yang dipanggil sebagai Death n Roll. Saya bukanlah cekap dalam mengenrekan muzik. Telinga tak cukup terlatih untuk itu. Tapi apa yang saya faham ianya adalah muzik hard rock atau heavy rock n roll yang di"death metal"kan atau mungkin juga sebaliknya, death metal yang di"hard rock"kan. Terpulang pada tafsiran masing-masing. Yang pastinya ianya mencampurkan muzik berat death metal bersama groove dan catchy hard rock. Sebab itulah ianya dipanggil sebagai Death n Roll. Death Metal + Rock n Roll. Agaknya la kot....Tak kisah la macamana. Yang penting ianya sedap.

Tapi yang pastinya ianya masih dalam acuan death metal. Riff berat dan "angry" vokal tapi yang menariknya muziknya santai.  Mungkin album-album Entombed yang berikutnya makin kurang acuan death metalnya. Tetapi untuk Woverine Blues kerja gitarnya masih mengekalkan sound Entombed yang lama.Masih berat.



Mungkin bagi pengemar death metal sejati ataupun pengikut Gothenburg metal sound yang true, Entombed dah sold out. Tapi yang pastinya kebanyakan band death metal pada tahun 1993 telah cuba berevolusi. Mungkin zaman berubah dan mereka mahukan sesuatu yang baru. Dan Entombed telah berjaya mencipta sesuatu yang baru dan ianya menarik.

Pada saya Wolverine Blues adalah sebaris dengan album-album terbaik death metal rilisan tahun 1993 seperti Heartwork, Individual Thought Patterns ataupun Covenant.



Friday, November 22, 2013

Johor Lama

Rehat sekejap dari entri hiburan lagha dan duniawi. Jom layan entri History Chanel...

Johor Lama


Untuk yang malas nak google, Johor Lama adalah ibunegeri Johor yang lama. Ianya terletak di atas tebing muara Sungai Johor di kawasan Teluk Sengat. Iaitu kira-kira 30 km dari bandar Kota Tinggi. Di sinilah pada suatu masa dahulu (1540) terletaknya sebuah kota yang diberi nama Kota Batu. Sayangnya ia telah dimusnahkan oleh Portugis pada 15 Ogos 1587.


Sedikit sejarah yang dapat aku kongsi. Nak lebih mendalam sila buat kajian sendiri.

Sejarah Kesultanan Johor adalah kesinambungan daripada Kesultanan Melaka yang tewas kepada Portugis pada tahun 1511.  (sebut 1511 mesti ingat lagu BPR kan?...sampai sekarang kalau tanya bila Melaka jatuh ke tangan Portugis...konpem aku boleh ingat...heheh). Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka yang terakhir) telah melarikan diri ke Johor dan dari sini lah bermulanya era Kesultanan Johor. Anak beliau Sultan Alauddin Riayat Shah II yang menjadi Sultan Johor yang ke 2 dari tahun 1528 hingga 1564 adalah pengasas kegemilangan Kota Batu di Johor Lama ini.

Berdasarkan gambar, Kota Batu adalah pusat pemerintahan kerajaan Johor yang ketiga di sepanjang Sungai Johor selepas Kota Kara (1529), Kota Sayong (1536) dan sebelum Kota Seluyut (1564), Kota Batu Sawar (1587), Kota Touhid (1623), Kota Tinggi (1685) dan Kota Panchor (1716) sebelum era modennya di Johor Bahru.

Bermula dari tahun 1540, Kota ini dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri Johor. Ianya juga menjadi pusat perdagangan penting dan mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1574-1587) sehinggakan pelabuhan Melaka yang dikuasai Portugis ketika itu terjejas. Ini antara punca kota ini diserang dan dimusnahkan oleh Portugis. Segalanya dibakar dan senjata dan kekayaannya di rampas Portugis.

Gambaran Johor Lama sebagai pusat perdagangan

Walaupun begitu Portugis bukanlah yang pertama menyerang Kota ini. Pada tahun 1564 ianya telah ditawan oleh Acheh. Tetapi bangkit kembali semasa pmerintahan Sultan Johor Ke 5, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Riayat Shah. Pernah diserang sebanyak 3 kali sebelumnya oleh Portugis (1576, 1578 dan 1586) tetapi berjaya dipertahankan sehinggalah akhirnya dengan bantuan askar dari Goa, India pada tahun 1587, Kota Batu berjaya di tawan Portugis.



Sultan Ali kemudiannya berundur ke Batu Sawar dan menubuhkan kota yang baru di situ. Maka berakhirlah kegemilangan kota yang pernah menjadi ibu negeri Johor ini. Sekarang ianya hanyalah kawasan yang lengang dan sunyi sepi. Tahniah kepada Jabatan Muzium Negara atas usaha mereka mengambil alih kawasan ini yang dijadikan sebagai salah satu destinasi pelancongan bersejarah.


Muzium yang merupakan pusat informasi dengan senibinanya berbentuk rumah atau istana tradisional melayu.  Di buka pada tahun 2007 dan boleh dilawati setiap hari dari pukul 9 am hingga 6 pm termasuk cuti umum kecuali hari raya adilfitri dan aidiladha. Masuk adalah percuma. Yang uniknya rumah ini didirikan tanpa menggunakan sebarang  paku. Hanya  menggunakan tanggam atau selak.

pic name

pic name

pic name

pic name

Antara yang dipamerkan didalam muzium, meriam lama, batu nesan Acheh, pinggan mangkuk dari Dinasti Ming, sejarah Johor dan pelbagai lagi yang ada kena mengena dengan Kota Johor Lama ini. Ada keris warisan bugis, sayangnya tidak dibenarkan gambarnya di rakam. Aku pun tak pasti kenapa. Takut nanti dia ikut balik rumah kot...heheh...

Kesan peninggalan Kota Batu. Terletak dihadapan Muzium
Di hadapan muzim terletaknya Kota Batu. Bentuk kotanya bersegi empat dengan panjang 50 meter dan lebar 20 meter. Di atas bukit di muara sungai. Mengandungi  beberapa buah penjuru yang dibina khusus untuk strategi pertahanan. Benteng kota ini diperbuat dari ketul-ketul batu pejal yang pada bahagian atasnya ditambak dengan tanah serta dilengkapi dengan senjata dan meriam.


Kesan lekuk batu yang tinggal. Meriamnya dah tak ada. Dihadapan pokok-pokok tu adalah sungai yang dulunya adalah pusat perdagangan. Mesti sungai tu dulunya besar dan dalam. Kalau tak kan kapal perang Portugis boleh masuk.


Terdapat juga sebuah makam yang dikenali sebagai Makam Sultan. Tapi tak pasti pulak siapa pemiliknya. Tiada info tertulis disini.


Masih terdapat bekas kawasan yang di gali oleh ahli arkeologi. Awalnya dilakukan oleh ahli arkeologi British pada penghujung 1950an tetapi terhenti khabarnya kerana tidak mendapat kebenaran Kerajaan Johor. Kemudiannya kawasan ini sekali lagi digali untuk kajian ahli arkeologi tempatan pada tahun 2004.


 Sungai Johor dan jambatan yang merentasinya boleh nampak dari sini. Jambatan Lebuhraya Pasir Gudang - Desaru. Lebuhraya yang pada aku bukannya lebuhraya dalam erti kata sebenar. Laluan selorong yang kena tol....iskh...


Ok..stop kat sini. Kredit pada lama web Arkib Negara Malaysia yang infonya aku cilok untuk entri ni. Dengan ini bermakna aku dah sampai 3 dari 8 kota lama yang pernah jadi ibu negeri Johor. Sayong, Kota Tinggi dan kini Johor Lama. Ada rezeki boleh cuba pergi yang lainnya.


TERIMA KASIH \m/





Thursday, November 21, 2013

The Randy Rhoads Years

Lagi album yang sambut ulangtahun. Ni yang ke 20 tahun.
(Disember makin dekat...banyak lagi album nak cerita ni...kena cepat-cepat...iskhhhh...)



Quiet Riot - The Randy Rhoads Years (1993)

Quiet Riot ditubuhkan oleh Randy Rhoads. Tetapi beliau lebih dikenali ketika bersama Ozzy. Quiet Riot sendiri mencapai zaman kegemilangan selepas ketiadaan beliau (album Metal Health). Mungkin mereka tidak ada rezeki untuk terkenal secara bersama.

Album ini adalah himpunan lagu-lagu terbaik di zaman ketika beliau bersama Quiet Riot. (Quiet Riot - 1977 dan Quiet Riot II -1978). 2 album yang asalnya hanya boleh diperolehi di pasaran Jepun. Lagu-lagunya dipilih dan diterbitkan semula atas persetujuan keluarga Randy oleh vokalist Quiet Riot, mendiang Kevin DuBrow .

Mendengarnya mengingatkan saya kepada lagu-lagu Van Halen di era 70an David Lee Roth. Memang tak pelik kerana mereka adalah band pembuka tirai untuk Van Halen di zaman tersebut. Cuma nasib tidak menyebelahi mereka. Van Halen menjadi terkenal sedangkan mereka hanya mendapat kontrak rakaman untuk pasaran Jepun. Bezanya lagu-lagu mereka ada yang terlebih pop bunyinya. Seperti kata Kevin DuBrow "We desperately wanted a record deal that we sometimes lost sight of our heavy metal roots". Lagu-lagu seperti "Picking Up the Pieces" dan "Breaking Up Is a Heartache" memang kuat pengaruh popnya.


Quiet Riot di era 70an ini agak berbeza dengan Quiet Riot di era 80an. Nampak nyata pengaruh mereka adalah band rock 70an seperi yang diakui oleh Kevin sendiri. Contohnya "Trouble" dari Led Zeppelin/Boston, "Killer Girls" dari Sweet dan "Look in Any Window" pengaruh dari Alice Cooper.

Walaubagaimanpun tumpuan utama album ini adalah kerja gitar Randy. Dari zaman ini lagi dah nampak kehebatannya. Paling best kita boleh dengar solo dan riff yang kemudiannya beliau gunakan ketika bersama Ozzy. Contohnya dalam lagu "Laughing Gas". Kalau dengar betul-betul boleh perasan ada bahagian "Dee", "Goodbye to Romance" malah "Crazy Train". Manakala lagu "Force of Habit" ada riffnya yang beliau gunakan untuk "Suicide Solution".

Khas untuk peminat Randy khususnya dan peminat rock 70an amnya.




Tuesday, November 19, 2013

War of Words

Lagi album yang masuk 20 tahun....(kena cepat-cepat ni...dah nak masuk bulan 12...banyak lagi album yang belum buat)



Fight - War of Words (1993)

Entah kenapa disebalik puji-pujian dan kecermerlangan album Painkiller, Rob Halford meninggalkan Judas Priest. Mungkin sahaja beliau sudah bosan dengan muzik dan imej Judas Priest. Maka terlahirlah Fight.

Fight adalah sebuah band yang ditubuhkan oleh Rob dengan kerjasama drummer JP, Scott Travis. Anggota yang lainnya memang tidak dikenali. Imej dan muziknya sememangnya berbeza dari JP. Tiada lagi imej jaket kulit yang sinonim dengan beliau. Beliau pada ketika itu lebih selesa untuk berkemeja kotak-kotak, berseluar pendek dan berambut botak. Imej yang menyerupai gaya-gaya grunge yang sedang popular ketka itu.


Mungkin beliau ingin mengikuti peredaran zaman dan menjadi trendy. Dari segi muziknya juga agak trendy. Beliau memilih untuk menjadi Pantera ala “Cowboys From Hell”. Acuan thrash 90an dan groove metal yang lari dari tradisonal heavy metal 80an yang biasa ketika beliau bersama JP. Liriknya juga kini lebih kepada isu sosial dan politik semasa. Nak kata tak best...sebenarnya best juga. Mungkin ini adalah produk terbaik Rob Halford diluar JP.


Lagunya heavy walaupun mungkin agak kurang melodic jika nak dibandingkan dengan Painkiller tetapi Rob masih mengekalkan trademark vokal high pitchnya. Yang paling tak diduga adalah 2 orang gitarisnya, Russ Parrish dan Brian Tilse. Walaupun mereka bukanlah Glenn Tipton atau K.K. Downing tetapi twin gitar solo mereka mereka memang tak kalah atau tak keterlaluan ianya hampir setanding. Hebat!

Antara lagu yang menarik adalah "Into the Pit", "Nailed to the Gun" dan sebuah lagu slow epic "For All Eternity". Pada saya War of Words adalah lebih baik dari mana-mana album Judas Priest di zaman Tim "Ripper" Owens.


*album ini mengingatkan pada zaman aku mula2 membawa kereta ke tempat kerja (penghujung 93 atau awal 94). Antara kaset yang hari-hari aku buka sehinggakan rakan setempat kerja dan jiran sekampung (perempuan) yang tumpang kereta pada mulanya kata bising (aku peduli apa...kereta aku...heheh) tapi akhirnya suka pula lagu "For All Eternity". Ntah kat mana la minah ni sekarang. Ada jumpa di FB...segan pula nak tegur...hahaha...




Monday, November 18, 2013

Covenant

Lagi klasik death metal yang dah mencapai usia 20 tahun.


Morbid Angel - Covenant (1993)

Jujurnya kalau bercerita tentang Morbid Angel, saya lebih menyukai album A,B dan D. Album F dan seterusnya agak kurang familiar kerana tidak berapa mengikuti perkembangan mereka lagi. Tetapi bukanlah nak kata album C ni tak bagus. Tetapi kebetulan pada ketika itu saya mula kemaruk dengan death metal yang lebih teknikal dan bermelodi seperti Heartwork dan Individual Thought Patterns menjadikan Covenant agak kurang mendapat perhatian saya.

Ada beberapa lagu yang dari Covenant yang saya rasakan cukup bagus terutamanya lagu track pertama "Rapture". Lagu ni boleh masuk listing antara lagu klasik Death Metal terbaik. Lagu-lagu lain agak kurang melekat. Bagus tapi tak boleh nak tangkap. Mungkin "Pain Divine" dan "God of Emptiness" pun ok, tapi tak boleh capai tahap klasik. Tapi yang paling favourite adalah "Angel of Disease". Mungkin lagu ni agak berlainan dari lagu-lagu lainnya. Maklum lah ini lagu lama dari zaman demo Abominations of Desolation. Entah kenapa saya cukup suka lagu-lagu dari zaman Mike Browning ni. Sedap!


Producer adalah Flemming Rasmusssen. Individu yang menghasilkan album-album klasik Metallica. Sayangnya pada saya Covenant tidak berapa bagus produksinya. Bunyinya agak tenggelam. Mungkin ini album yang kurang best dari zaman David Vincent. Tetapi Trey Azagthoth (dengarkan solo beliau dalam "Blood on My Hands") dan Pete Sandoval memang cukup menyerlah. Hebat!

Bukanlah yang terbaik kalau nak ikut standard MA, tetapi untuk album death metal secara keseluruhannya kira dah bagus la ni. Tapi tak boleh la nak capai tahap klasik.




Friday, November 15, 2013

Art Fazil self titled

Antara yang terbaik dari 20 tahun yang lalu...


Art Fazil - Art Fazil (1993)

Kalau tak kerana liriknya yang berbahasa inggeris, sudah pastinya ini adalah album pop melayu terbaik pilihan saya untuk tahun 1993. Mungkin ianya lebih saya suka berbanding Canggung Mendonan.

Sayangnya saya cuma memiliki versi kaset. Pernah terjumpa versi cd di jual di mudah.my. Tetapi saya terlambat dan melepas. Album ini memang agak rare. Di internet pun tak boleh jumpa untuk di download penuh satu album. Tambah malang saya tidak mempunyai kaset player. Dah rosak. Cuma ada beberapa lagu yang dapat dijumpai di youtube dan soundcloud untuk saya menyegarkan kembali ingatan. Yang lain-lainnya saya ingat-ingat lupa.


Jika anda biasa dengan Rausyanfikir, tentu anda faham bagaimana muzik Art Fazil. Album ini mengenengahkan lagu-lagu folk pop rock melayu dengan lirik berbahasa inggeris. Memang sedap-sedap lagunya. Zaman-zaman jiwa muda beliau dengan lirik kritis, protes dan memberontak. Sekarang dah slow down kot...sekarang dah berumur...zaman Rilek brader brader rilek...heheh...



Semua lagu sedap-sedap. Antaranya macam  Mama, I can't breathe, This is the time, Sometime when I feel blue, Full moon over Marina Bay, Rainbow child, Butterfly. Semua la. Senang cerita ini memang killer album. Tapi dalam banyak lagu-lagu lirik protes tu terselit juga lagu cinta. Dan lagu ini menjadi antara favourie saya. "Anything For You". Lagu balada yang liriknya kalau bagi kat awek konpem dia cair. (kisah benar ni..hehehe...) Memang sedap. Try cari kat youtube ada.




Album ni pernah masuk dalam list "Top 10 Essential Singapore Albums" anjuran sebuah akhbar di Singapura. Rugi sebenarnya jika lagu-lagu dari album ini dilupakan dan di telan zaman. Harap-harap suatu masa nanti ianya akan diriliskan semula.

Rekomended!




Thursday, November 14, 2013

Jam

British hard rock yang dah 20 tahun...


Little Angels - Jam (1993)

Rasanya tak ramai yang tahu berkenaan band British ni. Kalau tak kerana majalah Kerrang yang biasa mempromosikan band-band British sudah pasti saya pun tidak tahu keujudan mereka. Nama gitarisnya Bruce Dickinson adalah antara punca band ini melekat di ingatan walaupun saya tidak pernah mendengar lagu mereka.

Cd ini pun dapat secara tidak sengaja. Seorang seller dari mudah.my tersilap menghantarnya. Lain yang dibeli lain pula yang dihantarnya. Tetapi disebabkan saya malas untuk berurusan dengan pejabat pos untuk proses memulangkannya. Dan seller pun sanggup menjualkannya dengan potongan harga. Untuk senang cerita, saya beli sahaja lah. Dan sememangnya ia keputusan yang tepat. Cd ini lagu-lagunya memang best.


Little Angels adalah sebuah band yang bagus. Mereka mempunyai segala formula untuk berjaya. Memang telah berjaya pun. Album ini pernah menduduki tangga pertama dalam carta album UK. Sayangnya mereka tidak berjaya mengembangkan sayap mereka di USA. Tahun album ini diriliskan adalah tahun grunge. Agak payah untuk sebuah band hard rock terutamanya dari luar US  tak kira bagaimana bagus pun mereka untuk mendapat tempat di pasaran USA.

Jam adalah sebuah album hard rock dengan sedikit sentuhan blues dan mempunyai pengaruh funk yang siap dengan horn sectionnya. Ianya Seperti kita mendengar Aerosmith digabungkan dengan Extreme tolak shredding gitar macam Nuno lah kan. Memang lagu-lagunya jenis happy dan melodic. Memang kena dengan citarasa saya.  Lagu-lagu hard rock jenis "feel good party-rock-anthems" nya memang layan untuk di "sing-a-long" kan manakala lagu-lagu slownya memang syahdu.

Sangat sesuai bagi sesiapa yang berminat dengan hard rock 90an. Best!





Tuesday, November 12, 2013

Kedai Kaset/cd....

Membaca etri deaf pasal Kedai HMV yang dah tutup buat aku terajin nak tulis pasal ni.

sekadar gambar hiasan
Sedih memang sedih. Pada sesiapa yang jenis macam aku dan deaf jer yang akan paham perasaannya bila satu demi satu kedai kaset/cd kena tutup. Kat JB ni lagi la hampeh. Majoriti kedai-kedai kaset yang dulunya tempat aku beli, lepak, tempat lari dari masalah dah kena tutup.

Dia sama lah macam ulat buku yang sanggup mengabiskan masa berjam-jam kat kedai buku. Spesis macam aku ni pulak sanggup berjam-jam membelek kaset dan cd. Heaven beb. Satu sifat aku yang orang rumah aku pun malas nak layan...tapi...sama la macam aku pun malas nak layan kalau time dia bershoping...aku ni jenis "awak pergi la nak tengok kasut ker handbag ker apa...saya duduk kedai kaset ni...nanti awak dah abis call saya"....Romantik Korea la sangat nak tolong pegangkan handbag sambil ikut bini bershoping.....hahaha...

Mungkin generasi macam kami semakin pupus. Generasi sekarang adalah generasi yang sangup mengadap pc berjam-jam untuk mendownload atau mendengar mp3 ataupun Youtube. Sedangkan bagi aku kepuasan mendengar muzik bukanlah hanya setakat di halwa telinga. Tetapi ianya juga untuk tatapan mata dan tapak tangan. Membelek-belek cover dan inlay sambil membaca lirik, thanks list, gambar adalah satu perasaan yang tak boleh nak digambarkan. Heaven!!!!

Tapi tu lah apa nak buat...zaman dah berubah...orang zaman sekarang dah tak beli cd...tu yang kedai cd banyak lingkup dah...membeli cd dan mengumpulnya dah macam hobi yang mahal pulak...apatah lagi vinyl...ni macam hobi orang-orang kaya dah...aku pun tak larat...

JB ni lagi banyak giler dah kedai kaset yang tutup. Yang tinggal jenis jual dvd karaoke atau cd lagu indon atau cina jer yang banyak. Bosan. Aku pun sekarang lebih pada beli on-line. Mana la nak cari cd-cd metal kat kedai cd kat JB ni....Tapi tu la...feel beli on-line tak sama macam beli kat kedai. Kena macam zaman kaset dulu....tak cakap pun towkey kedai tetap bukak try dengar dulu...sekarang mana ada try2 kan?...

Komtar renovate. Kotaraya dah takder kedai cd. Angsana tinggal satu kedai tapi jenis hampeh. Tower Record Permas dah lama bungkus. City Square lagu cina. Plaza Pelangi pun sama jer. Tinggal harap Jusco Tebrau jer...tu pun Harris ngan Speedy banyak jual lagu cina/kpop jer. Mungkin orang cina jer kot masih banyak beli cd...ntah la...tempat lain aku tak pergi sangat...jauh dari rumah dan tempat kerja...

Nantilah rajin aku sambung part 2 kedai-kedai kaset yang jadi kenangan untuk aku...